. . . DI DUNIA ini ada lelaki dan ada
perempuan. Dan saya sebagai ketua kerajaan negeri ini, di bawah saya ada
pegawai lelaki, ada pegawai perempuan. Sepatutnya perempuan tidak
bekerja - sepatutnya - kerana segala makan minum isteri, kain pakai
isteri, rumah tangga isteri adalah tanggungjawab wajib di atas suami.
Almat'am walmalbas walmaskan dalam pengajian fekah disebut tiga perkara
asas ini tanggungjawab suami. Maka sepatutnya si isteri tidak lagi
bekerja tetapi mereka terpaksa bekerja dan kadang-kadang terpaksa -
suami tak ada, suami mati, suami tak balik-balik, duduk rumah bini muda.
Macam-macam kerenah yang timbul atas manusia maka mahu tak mahu pegawai
perempuan terpaksa diterima dan diberi gaji. Sedangkan, kalau kita buat
kajian sikit sahaja, tanggungjawab laki-laki tidak banyak: cari
duit,terima gaji, bawa balik beri kepada isteri; masalah rumah
berselerak atau tak berselerak, itu kerja kamu hei isteri, anak cucu
berhinguskah, tak berhinguskah, kacau mangkuk pinggan di dapurkah, itu
kerja kamu, wahai isteri.
Rumah tangga tanggungjawab isteri, jaga
anak-anak tanggungjawab isteri,kerja di pejabat juga tanggungjawab
isteri kalau dia pegawai bekerja. Sudahlah hamba Allah ini letih: dengan
mengandungnya, dengan darah bulanannya, dengan urat sarafnya yang tidak
begitu sekali kental sebagaimana laki-laki, kita beban pada dia pula
bermacam-macam masalah. Kita (lelaki) pegang satu sahaja, cari duit
sahaja, rumahtangga kamu urus, anak cucu kamu urus, aku yang cari duit.
Tetapi perempuan sendiri cari duit pun dia - pasal dia bekerja ,
anak-anak di rumah pun tanggungjawab dia, rumah tangga sendiri - muka
tangganya, belakang rumahnya, dapurnya, bilik airnya - tetap semua
tanggungjawab perempuan.
Adakah kita sebagai orang Islam dan saya sebagai ketua kepada kerajaan
yang hendak jalankan Islam, kita hendak biar begini terus menerus? Satu
penganiayaan kepada golongan wanita kalau dibiarkan benda begini.
Dan apabila kita baca buku-buku kajian
kita dapati orang perempuan dari Barat sendiri - dari Jerman, dari
Amerika - mula meraung sekarang ini, minta nak balik semula
ke rumah, teruk sangat menjadi pegawai sama ada pegawai kerajaan atau
pegawai korporat. Nak tumpu kepada pejabat, rumah tertinggal. Bila rumah
tertinggal, anak tak balik ke rumah, suami pula pergi ke disko.
Nak tumpu ke rumah kena potong gaji, kena itu, kena ini.
Timbul satu masalah di dalam kepala
pekerja-pekerja wanita kerana mereka pandai-pandai - sesetengah itu
tidaklah pandai-pandai kerana terpaksa bekerja - kerana masalah-masalah
tadi, dan sesetengah itu anak orang kaya dah nak kerja juga kerana apa?
Kerana nak bangun pagi, pakai cantik-cantik, pergi ke bilik air-cond.
siapa tak nak, boleh mengurat lagi. Macam-macam masalah.
Jadi, kepada pengkaji khasnya saya tuju,
cuba tolong kaji masalah ini. Apa yang saya rangka dalam kerangka
fikiran saya setelah saya banyak baca buku ini sejak semasa di AlAzhar
dulu. Di al-Azhar dulu, kebetulan ketika (saya di sana),
didatangi oleh seorang perempuan dari Jerman memberi tahniah khusus
kepada Sheikul Azhar - berlaku dalam akhir tahun 50an awal tahun 60an -
begitulah, ucap tahniah kepada orang Islam, melalui Sheikul Azhar,
bahawa cara Islam beri peluang kepada suami kahwin cara poligami, itu
cara yang paling baik, kerana 'kami di Jerman setelah kami berperang,
melalui Hitler melawan Pasukan Bersekutu, maka tiap-tiap satu laki-laki
kami ada lapan perempuan, kerana laki-laki dah mati di medan perang',
ada mati di medan perang, ada mati accident dan sebagainya.
Perempuan tidak mati di medan perang kerana mereka duduk di dalam kubu
begitu sahaja.
Jadi, macam mana hendak selesai masalah
lapan perempuan sedangkan laki-laki hanya seorang. Manusia bukan nak
makan nasi sahaja, seks pun nak makan juga, berseronok, nak bermanja,
nak bercumbu, nak apa, ini memang kerja manusia. Islam pun, dalam
kitab fekah saya selalu sebut, dalam Fatul Qarib yang kecil sahaja, bagi
suami isteri. . . . belum lagi melakukan persetubuhan kena ada institaam,
kena ada cumbu, kena ada itu, kena ada gurau senda, barulah ada asam
garam itu cukup lengkap molek.
Jadi, hak (yang) ada suami tak apalah.
Hak (yang) tak ada suami hendak macam mana? (Daripada) ini timbullah
masalah lepak, masalah zina, masalah apa (sahaja). Jadi, satu daripada
cara penyelesaian Islam sejak awal azali lagi, diberi peluang kepada
lelaki kahwin hingga empat, seorang laki-laki boleh kahwin empat.
Insya'Allah, segala kekurangan laki-laki di tempat perempuan lebih,
dapat disempurnakan melalui kahwin poligami. Itu cerita mulanya poligami,
tetapi jika disalahguna atau apa lagi, itu masalah yang kedua.
Jadi, sekarang ini, masalahnya pegawai
wanita datang ke pejabat, tetapi di kepala dia bukan duduk di pejabat;
duduk di rumah: 'anak aku lagu (macam) mana, balik karang
menanakkah tidak, suami aku balik karang marahkah tidak? Ini di
kepala dia, di pejabat pun di kepala dia, di rumah pun di kepala dia, di
dapur pun di kepala dia, di bilik tidur pun di kepala dia. Masuk-masuk
tidur, tengok suami dia kata: mengapa bilik bersepah? Kena marah,
menangis. Itu sahajalah cara, senjata perempuan itu: air mata.
Inilah bendanya di dalam kepala saya sejak dari dulu lagi. Ditakdir
Allah sampai saya pegang kerajaan ini, kerana kepala saya berkisar
perkara ini, menyebabkan di fikiran saya tercetusnya fikiran nak beri
cuti bersalin sampai 60 hari. Nak beri lagi boleh sampai enam bulan,
tapi dah berputik dalam perut cuti pula, tak selesai masalah.
Jadi, tuan-tuan sebagai pengkaji tolong,
buat kajian, beri kepada saya, mudah-mudahan, insya'Allah, negeri
Kelantan, negeri yang pertama kemuka satu teori baru bagaimana cara
pekerja perempuan ini duit pun dapat, kerja pun boleh dan masalah rumah
tangga, layanan kepada suami tidak terjejas. Macam mana nak buat?
Rumah tangga pun terjaga, suami pun dapat dihiburkan dan anak-anak pun
terjaga, wang pun dapat.
Lebih kurang bendanya begini, sama ada kita kurangkan masa bekerja
bagi pekerja wanita, yang isterinya, gaji dia pun jadi kecil, kita
kurangkan masa dia (bekerja). Kalau orang lain start kerja pukul
lapan balik pukul empat, kita mula beri kepada dia start pukul sembilan
atau pukul sepuluh, dia balik pukul tiga, misalnya. Maka masalah
rumahtangga dapat selesai dengan baik, masalah anak-anak juga
dapat selesai dengan baik. Tetapi gaji kena kurang. Duit pun boleh, anak
pun terjaga dan insya'Allah, kesihatan pun tidak jadi teruk.
Masalah kesihatan, saya tak belum sebut (belum sentuh). Masalah
kesihatan wanita itu tak sebut (belum sentuh). Kajian memang ada sebut
iaitu masalah kesakitan urat saraf dia, mental dia banyak terganggu,
pada perempuan yang bekerja.
Ataupun kita bayar elaun bulanan pada
semua wanita yang mempunyai anak. ' Mak cik tak usah kerja, setiap kali
mak cik lahirkan anak, kerajaan akan beri duit, macam welfare state,
macam London buat. Kita bagi duit. Ertinya, masalah duit,
dia dapat. Duit ini kena beri dalam akaun perempuan, janagan beri kepada
suami dia. Beri suami dia habis lesap. Beri kepada perempuan terus.
Sama ada hendak beri elaun anak dia sekian banyak, yang beranak satu
sekian, yang anak kedua sekian, semakin banyak anak makin banyak kita
bagi elaun, tambah.
Harta kita banyak. Rakyat Malaysia ini
sikit. Bahan mentahnya banyak. KDNKnya terlalu banyak. Padan kalau kita
buat begini kalau kita tidak buat membazir dan memboroskan duit ini
kepada perkara-perkara membazir, projek itu, projek ini.
Akhir tahun (baru-baru) ini, saya
nak beritahu punya karutnya cara perbelanjaan kita (apabila)
akhirnya saya terpaksa keluar duit poket , beberapa ribu (ringgit),
untuk tolong bayar duit buku sekolah rakyat. Dari Gua Musang, dia
mari, minta duit sekolah kerana apa? Kerana tak bayar, tak boleh
sekolah(kan) anak. Banyak mana duit nak? Enam puluh rial, seratus
rial.
Duit begitu banyak, beratus ribu,
berbilion ke mana pergi? Sedangkan sekolah rakyat, duit sekolah 60 rial
pun tak boleh duit kepada rakyat. Bukan kerana tak ada duit.
Malaysia negeri kaya, dengan petrol, balak lagi, dengan logam
bermacam-macam logam, dengan bermacam-macam perkara, tapi kerana
karut (di) pihak pemimpin, membazir (di) pihak pemimpin.
Yang kita semak - bertanggungjawab
memperbetulkan(nya) kerana kita ini orang politik - lima tahun
sekali mengundi. Dan mana-mana makhluk yang membazir ini kita buang,
naik(kan) makhluk yang reti, dan tidak ada orang yang reti di kalangan
pemimpin negeri, selain daripada fuqaha, daripada orang yang mengaji
feqah. Kalau orang yang mengaji feqah, dia mengaji semua masalah
ini: masalah dia dengan Tuhan dan masalah dia dengan manusia. Itu
cara mudah. Orang fakih, orang fuqahalah orang paling pandai
membetulkan manusia di muka dunia.
Ataupun kita menentukan kerja-kerja
tertentu sahaja kepada wanita: ' macam lapangan perguruan, ah! mak cik
boleh,' saudari boleh bekerja jadi guru, jadi pegawai dalam lapangan
perguruan; lapangan kedoktoran, lapangan elektronik, hak (yang) baiki
radio, baiki tv kita bagi kepada orang perempuan kerana kerja ini kerja
tidak berpeluh; urat saraf dia tidak banyak berfungsi.
Jadi, ini kerangka-kerangka yang saya
buat yang kalau berjaya pada masa depan ini, insya'Allah, Kelantan orang
yang pertama akan memberi kehormatan kepada wanita. An-nisa syakaul al
rijal, orang perempuan ini ibarat buah pinang belah dua. Sebelah
ini lelaki, sebelah ini perempuan. Kalau lelaki sakit orang
perempuan juga sakit. As-syakaul al rijal, yang memerlukan orang
lelaki ini memikir bagaimana hendak menyalamatkan orang perempuan
daripada tekanan kerja yang dibawa dariapda Eropah dan sebagainya.
Para hadirin semua, itulah ucapan saya, itulah kerangka dalam fikiran
saya kepada golongan pengkaji. Insya' Allah kalau boleh dibuat kajian
mengenai ini bagaimana caranya hendak memartabatkan wanita kita
supaya dia tidak kerja sebagaimana orang lelaki. Orang lelaki bekerja,
dia (wanita) juga bekerja dan tanggungjawab dia lebih daripada orang
laki-laki. Jangan benda ini berlaku begitu.
. . . Siti Aishah berpantun:
perempuan ini kuntum-kuntum bunga, kuntum-kuntum mekar, yang sengaja
Tuhan buat untuk laki-laki. Dan semua orang hendak kepada bunga
dan hendak kepada perempuan.