Beri ruangan
persaingan politik sihat- MB Kelantan
KUALA
LUMPUR: Mursyidul Am
PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, menggesa ruang
persaingan politik yang lebih sihat diberi kepada rakyat untuk
membolehkan mereka bebas memilih dengan penuh keadilan.
"Persaingan dalam
berpolitik juga harus diberikan peluang kepada rakyat di negara
ini. Selagi halangan-halangan rasuah, politik wang dan
kampen-kempen palsu wujud di Malaysia, selagi itulah rakyat
tidak boleh menunjukan kemampuan yang sebenar," kata beliau
selepas menghadiri Simposium Antarabangsa Kerajaan Elektronik di
Hotel Shangri-La, baru-baru (Khamis) ini.
Katanya, persaingan ini akan
menjadikan manusia lebih berkualiti dan Islam sendiri mengajar
manusia hidup berkualiti dalam apa jua sekali pun.
"Supaya amalan manusia
berkualiti, Allah sengaja meletakkan naluri bersaing dalam tubuh
manusia. Dan Allah akan memberikan ganjaran syurga di akhirat
kelak," kata beliau.
Beliau mengatakan jika rakyat
diberi kebebasan untuk menyokong PAS, DAP, PRM, Umno dan
parti-parti lain tanpa dihalang, beliau yakin politik Malaysia
akan cemerlang.
"Sekarang parti politik
pembangkang tidak diberi peluang, antaranya dalam kem-kem askar,
kami (PAS) tidak diberi peluang untuk memeriksa (cara mereka
mengundi) dengan sepenuh," kata beliau kesal.
Katanya lagi, ini termasuk juga
televisyen, dan radio yang tidak memberikan peluang kepada
parti-parti pembangkang untuk siaran, tidak seperti parti-parti
komponen kerajaan.
"Kalaulah dikatakan polisi
stesyen tv itu sendiri, yang menghalang kami. Berikan lesen tv
kepada kami sama. Kenapa pula kami tidak diberikan permit untuk
bina stesyen tv atau radio?
"Lesen-lesen semua
diberikan kepada penyokong-penyokong kerajaan. Sudah lama kami
minta lesen untuk mengadakan stesyen radio sendiri, tetapi dia (kerajaan
BN) tidak bagi (berikan)," kata beliau lagi.
|