| 
                           
                          
                          MINDA TOK GURU 
                          
                            
                          
                          
                           HUDUD TAK ADIL? 
                          
                          Perdana Menteri buka 
                          gelanggang Persidangan UMNO Ke 56 dan memberi taklimat kepada 2,033 perwakilan dengan terus mengherdik PAS semalam, 18 Jun 
                          2002.   Draf Enakmen Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang dicadang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan 
                          Undangan Negeri Terengganu pada awal bulan Julai 2002 nanti telah
                          diserang sebagai tidak adil.    Tidak adil maka 
                          tidak Islam.   Betulkah tidak adil?   PAS tidak pernah diberi ruang yang selesa untuk menjawab sepenuhnya di akhbar atau 
                          lain-lain media elektronik mengenai aspek yang diserang itu.   Ini masalahnya.  Yang ada ialah semua tafsiran dan ulasan 
                          diberi oleh pemimpin UMNO.   Malah semalam Ketua Wanita UMNO dah menggosok tapak tangan tanda tak sabar untuk mengganyang 
                          PAS dengan “tidak adil”.  Menteri Pembangunan 
                          Wanita pula sibuk mencanangkan wanita Malaysia akan menjadi macam wanita Pakistan, Nigeria dan Afghanistan. 
                          
                            
                          
                                    Saya nak 
                          tanyalah.   Tidak beri peluang kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjelaskan isu yang ditimbulkan tu, adilkah?   ISA 
                          itu pula adilkah?   Tahan orang tanpa bukti, masa dalam soal siasat 60 hari itu  -  entah apa yang dibuatnya hanya Allahlah 
                          yang Maha mengetahui  -   itu adilkah?    Anak isteri meratap menangis, siapa yang nak tanggung nafkah,  membeli susu anak, 
                          yuran anak-anak sekolah, beras, lauk pauk, nak bayar duit sewa rumah, bil elektrik, air, insuran kereta dan pelbagai 
                          cukai.   Itu adilkah?   Pemimpin UMNO senyap sunyi melihat ISA yang tidak adil.    Kita tanya pula berapa ramai, orang UMNO 
                          yang kena ISA berbanding dengan orang yang tidak UMNO?    Kemudian Menteri Dalam Negeri sibuk nak pertahankan yang konon ISA 
                          bukan anti pembangkang.   Kalau halusi lagi, ISA ni nampak menghina Mahkamah.   Mahkamah sangat pentingkan bukti.   
                          Seseorang itu dikira tidak bersalah selagi Mahkamah tidak membukti dan mensabitkan bahawa dia bersalah.   Dah tangkap, 
                          kurung, siksa untuk akhirnya disumbat ke Penjara Kemunting itu apa?   Saya kata ini hina Mahkamah.   Bercanggah terus dengan 
                          Perlembagaan.   Negara Islam apa kalau tidak adil.   Tidak adil maka tidak Islam.   PM sebut macam itu, saya pun nak sebut 
                          macam itu jugaklah. 
                          
                            
                          
                                    Sebab itu, kita 
                          tengok ramai rakyat terlibat dalam demonstrasi membantah ISA.  Kempen hapuskan  ISA, bebaskan mogok puasa turun ke jalan.   
                          Orang tidak bantahpun hukum gantung ke atas pengedar dadah.  Kenapa?   Inilah; kena faham mana yang adil mana yang tidak. 
                          
                            
                          
                                    Saya lihat kita 
                          orang Malaysia ni terlalu lama duduk di bawah penjajah.    Kita sunting dan timbang keadilan dalam kayu ukur keadilan 
                          Eropah.   Kita terbawa-bawa sampai ke hari ini.   Sebab itu, apabila datang keadilan dari kaca mata Islam, kita  jadi keliru 
                          dan teragak-agak.   Tidak ada sebenarnya keadilan yang lebih baik daripada Undang-Undang Islam.   Cubalah fahami kebenaran 
                          Islam ini dari kaca mata seorang Islam.   Bebaskan diri dari menggunakan kayu ukur Eropah.   Saya anjurkan semua pihak 
                          mencuba kaedah ini.  
                          
                            
                          
                                    Saya tengok 
                          dalam Utusan Malaysia 19 Jun 2002, muka surat 2, bukan main lagi PM sebut “yang Menteri Besar 
                          Terengganu akan buat dosa dan kalau mati besok dia akan hadapi neraka.   Dia akan terima balasan di
                          akhirat.”  Begitulah bunyi fatwa PM.  Sekarang dah 
                          pandai sebut fasal dosa pula.   Dulu kata tidak ada sesiapa yang boleh tentukan orang itu masuk Syurga atau Neraka.   
                          Sekarang boleh pula?   Ini kira-kira dah bercanggah dengan Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.   Kita nak dengarlah pendapat 
                          Majlis Fatwa berkenaan mengenai perkembangan ini.   Pelik sungguh.    Orang  sedang  berusaha  untuk  laksanakan  perintah 
                          Allah dan Hukum Allah, tiba-tiba dia boleh tentukan pula yang ‘orang itu’ 
                          akan hadapi Neraka. 
                          
                            
                          
                                    Kita suruh dia 
                          laksana Hudud, dia buat alasan macam-macam.  Sampai berpuluh tahun.   Masa Kerajaan Negeri Kelantan buat Enakmen 
                          Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II, ditahun 1993, dia tentang juga.    Dia kata Pusat bersetuju menubuhkan sebuah badan 
                          bagi mengkaji Undang-Undang tersebut.   Itu ada dalam Utusan Malaysia pada 5 Mac 1994.    
                          Dah masuk 8 tahun dah.    Apa jadi?   Dah tubuh ke belum?    Siapa anggotanya?   
                          Berapa kali bersidang?   Mana drafnya?   Waktu itu saya sudah minta UMNO buat Hudud UMNO kalau dah ni Hudud PAS.    Kita 
                          tengok mana satu yang lebih dekat dengan Islam.   Semaklah akhbar.   Boleh jumpa.   Mana draf Rang Undang-Undang Hudud UMNO, 
                          kita nak tengok?   Lama benar kaji!   Waktu tahun 1994, cakap sedang kaji dan belum tamat.  Dah, sekarang macam mana?   Saya 
                          ada simpan semua guntingan surat khabar.   
                          
                                    
                           
                          
                          Pendek 
                          kata, UMNO dah mati hujah dengan PAS; apa jadi berdepan dengan Tok Munkar Nakir?  Belum tanya lagi tentang soal jawab di 
                          Padang Mahsyar.  Sah dah.   UMNO terbelit dan terperangkap dalam lidahnya yang bercabang-cabang.   Orang yang selalu 
                          berbohong biasanya akan berjumpa buku dengan ruas.   Lambat laun, begitulah.   Itu orang.   Parti politik pula, saya tak 
                          tahu lah.   Boleh jadi begitu juga lah tu.   Dulu Islam sederhana.   Sekarang Islam fundamentalis.   Dulu tak boleh tentukan 
                          siapa masuk Syurga Neraka, sekarang boleh pula.   Dulu nak tubuh badan kaji Hudud, sekarang mana Hudud yang telah dikaji 
                          itu.   Hudud PAS tidak adil, Hudud UMNO mana?  Mana? Ke lagu mana? 
                          
                            
                          
                            
                          
                            
                          
                          
                          Pejabat Menteri Besar Kelantan 
                          
                          Kota 
                          Darulnaim 
                          
                          Kota 
                          Bharu.  
                          
                          
                          Bertarikh:    8 Rabiul Akhir 1423 / 
                          19 Jun 2002. 
                           |