MINDA
TOK GURU
BN Undur BA Masuk
Seronok juga mengikuti
telatah pemimpin-pemimpin UMNO di Perak, di Pahang dan
Perlis yang menyatakan kesediaan untuk berundur
secara sukarela dan tidak bertanding dalam Pilihan
Raya Umum akan datang. Ia dipelopori oleh
ketiga-tiga Menteri Besar . PAS memandang berita
pengakuan yang bertalu-talu itu dengan ya pun tidak,
tidak pun tidak. Itu masalah anda. Jika semua
Menteri Besar dan Ketua Menteri UMNO mahu meletakkan
jawatan, itupun juga masalah anda. Yang kurang
seronoknya ialah anda yang makan nangka, anda yang
kena getah tetapi anda yang mahu melumurkan getah
nangka itu ke muka PAS. Ini yang orang panggil “tak
ada pasal dicari pasal” atau “tak pasal-pasal”.
Adakah munasabah, dengan tidak semena-mena seorang
Menteri Besar Perlis menggesa pemimpin PAS pula
meletak jawatan. Orang yang bermasalah yang patut
berbuat demikian.
Dalam ucapan
Presiden UMNO pada 22 Jun 2002, beliau telah
menyenaraikan kegagalan UMNO untuk menyelesaikan
masalah orang Melayu. Jika kita ringkaskan kegagalan
Melayu, ia adalah seperti berikut:-
· Penagih dadah
terbesar negara adalah Melayu;
· Golongan
termiskin rata-ratanya orang Melayu. Peratus yang
rasuah dan pecah amanah tinggi di kalangan orang
Melayu;
· Skandal
penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu;
· Mereka yang
ketinggalan dalam pelajaran adalah anak Melayu;
· Penguasaan di
bidang teknologi dan perniagaan menampakkan kekurangan
orang Melayu;
· Peratus kes-kes
pecah rumah, lepak, vandalisme, sumbang mahram, rogol,
judi, penghidu gam, pengambil pil-pil khayal, GRO,
penghibur di nite club termasuk pelbagai jenayah kolar
putih rata-ratanya melibatkan anak Melayu.
Mustahil semua ini tidak
ada kaitan dengan UMNO/BN sebagai parti pemerintah.
Tidak pernah lagi masyarakat Melayu dilanda krisis
moral dan keruntuhan akhlak yang segawat ini.
Jika dah
gagal apa lagi? Pemimpin PAS tidak pernah sebut mahu
berundur dan sememangnya tidak perlu berundur.
Dasarnya tepat. Selagi PAS berpegang kepada Islam,
PAS akan sentiasa relevan. PAS anggap duduk atas
tikar Sembahyang sama juga dengan menduduki
kerusi-kerusi EXCO Kerajaan Negeri dalam rangka
beribadat kepada Allah. Kami berpegang kepada Islam
dan amat menghormati prinsip dan amalan demokrasi.
PAS tidak menangkap orang. PAS tidak pernah
mengenakan ISA kepada sesiapa. PAS tidak terlibat
dengan menyalahgunakan wang rakyat. PAS tidak pernah
mengherdik dan menghina bangsa dan orang Melayu.
PAS tidak mahu mengharamkan penggunaan perkataan
Islam. PAS mempertahankan Sekolah Agama Rakyat
(SAR) kerana menghormati hak rakyat. PAS tidak
menghina Bahasa Melayu dan PAS juga tidak bermuka-muka
dengan orang yang bukan Islam. Kita konsisten.
Kita beristiqamah dengan apa yang disebut oleh Al
Quran dan Hadith dalam semua keadaan.
Sesungguhnya pengakuan
untuk berundur oleh pemimpin-pemimpin UMNO menandakan
status UMNO yang nazak. Jika sudah Presiden UMNO
sendiri yang meminta pengakuan berundur ini dihentikan,
ini menandakan yang ia sedang berada dalam kegawatan
yang amat sangat.
si dimana
pemimpin-pemimpinnya sedang menurunkan pelampung
dengan cemasnya bagi menyelamatkan diri. Ada yang
bergayut di tiang-tiang panji yang patah. Ada juga
yang tercungap-cungap cuba menyeberang dan
meninjau-ninjau kapal lain yang berdekatan untuk
mencari tempat berlindung. Mungkin UMNO akan ditimpa
nasib yang sama seperti ‘Columbia Disaster’ yang
terhempas di Texas. Tidak mustahil jika ada 2, 3
kerat dari mereka yang mungkin sedang membelek-belek
Passport Antarabangsa untuk satu rancangan yang saya
sendiri pun tidak mengetahui. Ini telah berlaku
kepada mendiang Presiden Marcos, Pinochet, Milosevic
dan Robert Mugabe.
BA kini
sedang menyediakan alternatif kepimpinan yang terbaik.
Kami ada alim ulama’. Kami ada professional. Kami
ada bekas-bekas pemimpin UMNO yang tahu rahsia dan
segala selok belok, gerak kerja dan konspirasi UMNO.
Kami ada orang muda yang bertenaga. Kami ada grass
root dari masyarakat marhaen di pinggir bandar dan di
desa yang meluas. Kami ada pemimpin
mahasiswa-mahasiswi di semua IPTA dan IPTS yang bakal
menjadi pelapis. Kami ada penjawat awam yang besar
sebagai “silent majority”. Kami ada sebuah keratan
rentas sokongan non Islam pelbagai kaum yang sudah
mesra dan tidak takut dengan Islam. Ia
melangkaui batas-batas kaum yang chauvanistik.
Kami ada Islam yang global dan universal. Kami ada
Perdana Menteri Menanti (waiting Prime Minister) yang
sedang dizalimi di Penjara Sungai Buloh. Kami ada
bertimbun-timbun isu untuk dikupas dan dinilai oleh
rakyat tentang perihal cerita UMNO/BN yang semakin
tidak relevan.
Rakyat sedar
semua mengenai perkara ini. UMNO pun arif tentang
hidup mereka yang sedang dikelilingi oleh ancaman api.
Wap kepanasan dalam rumah UMNO/BN sedang membakar dari
dalam, luar, atas, bawah, depan, belakang, kiri dan
kanan, tengah dan tepi.
Kerana
dengki dan tidak dapat menahan sambutan rakyat, maka
kami disekat. Suara kami baik secara tazkirah,
ceramah, kuliah dan rally politik terbuka sering
disambut dengan semburan air asid, cotar-cotar dan
kadang-kala gas-gas pemedih mata dalam kepungan
pasukan FRU yang dikerah dengan tidak pasal-pasal.
Kami sampai
sekarang tidak faham. Islam mengizinkan kita untuk
berbeza pendapat. Sistem demokrasi pun membenarkan
kita untuk menyatakan pandangan secara aman.
Perlembagaan kita pun menjamin hak-hak ini. SUHAKAM
juga turut meminta dilonggarkan perkara ini baik
dimasa Dato’ Musa Hitam menjadi Pengerusi atau Tan Sri
Abu Talib iaitu Pengerusi yang ada sekarang. Saya
tahu, UMNO/BN sebenarnya tidak mampu lagi berdepan
dengan hujah BA yang cukup konkrit. Sepatutnya, jika
dalam sebuah perniagaan, kita tidak boleh sekat untuk
orang berkerumun memasuki mana-mana kedai. Jangan
disekat. Dia punya sukalah. Apa yang boleh dibuat
ialah UMNO teruslah berkempen untuk meramaikan orang
memasuki kedai makan atau supermarketnya. Jika saya
boleh memberi sedikit panduan, UMNO barangkali
perlulah semak menu dan jenis masakan yang
dihidangkan atau kebersihan semua barang yang dikotori
dengan rasuah yang ada dalam pasarayanya. Jangan
jangan basi atau jangan jangan sudah habis tempoh
“expiry date”nya. Jual produk yang sudah tidak
sesuai dengan peredaran masa dan memenuhi citarasa
pelanggan semasa. Mestilah ada sebab orang tidak
masuk ke kedai kita. Mungkin UMNO terlupa yang
kita telah berada di tahun 2003. Ini bukan tahun
1960an dimana land rover penerangan membuat
penghebahan dengan masuk kampung keluar kampung
semata-mata untuk mengingatkan rakyat yang pemimpin
UMNO akan datang di sana sini. Kerah penjawat awam
untuk hadir. Ini semua berlaku semasa lawatan
Timbalan Presiden UMNO yakni Pak Lah pada 22 Disember
2002 dan Presiden UMNO di Padang SIC Kota Bharu pada
15 Januari 2003. Ini kisah benar.
Kita tidak
meminta yang bukan-bukan. Tidak perlu Jeep
Penerangan dan alat PA System kerajaan. Tidak perlu
juga siaran langsung oleh Radio dan Televisyen
Malaysia. Tidak juga perlu liputan akhbar yang
besar-besaran sebelum, semasa dan selepas
majlis-majlis PAS dan BA. Jika kami mintapun
sememangnya tidak akan dilayan. Kami cuma meminta
cukuplah jangan diganggu ceramah-ceramah dan tazkirah
BA yang dibuat secara aman. Jika tidak beri permit di
luar premis parti dan lain-lain tempat awam, maka
berilah permit dalam kawasan persendirian. Kalau
takutkan gangguan lalu lintas, berilah kami berkumpul
untuk mengulas isu semasa di ladang-ladang sawit atau
kebun-kebun getah. Kami ini pertubuhan politik yang
berdaftar. Kami bukan pertubuhan “underground”.
Kami bergerak ditengah-tengah ruang demokrasi yang
terang benderang. Saya sebenarnya tidak nampak
alasan lain selain daripada melihat UMNO yang
kehilangan daya tahan. Kudis sekularnya sudah
menyerang kulit kepala. Nanah bisulnya perlu dipicit
bersama-sama dengan tunas bisulnya. Eloklah isyarat
yang diberikan oleh pemimpin UMNO terkini. Mereka
mahu meninggalkan kerusi masing-masing. Perdana
Menteri pun dengar khabarnya sudah berjanji untuk
turun dari takhtanya selepas bulan Oktober 2003.
Sama-samalah kita ikuti episod-episod UMNO di muka
surat selanjutnya. Mudah-mudahan tidak ada lagi
drama. Rakyat mahu tengok janji ditepati. Yang
sudah tu sudahlah! Kalau sudah tak larat sangat,
undur sajalah. Bagi PAS pula yang masuk. UMNO nak
undur, undurlah. Izinkan saya akhiri dengan
sepotong maksud Al Quran dari Surah Muhammad Ayat
38:
“Dan Allahlah Yang Maha
Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang memerlukan(Nya);
dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu)
dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti
kamu (ini).”
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK
MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh:2 Zulhijjah
1423 / 4 Februari 2003 |