MINDA
TOK GURU
UMNO PERLU BERUBAH KEPADA ISLAM
Mengikuti ucapan Presiden UMNO di Padang Sekolah
Menengah Sultan Ismail di Kota Bharu pada 15 Januari
2003 yang lalu samalah seperti mengikuti jiwa seorang
pemimpin yang amat gelisah. Kandungannya benar-benar
berbentuk melepas geram. Dalam banyak hal dia cuba
menyerang walaupun ramai orang melihat yang Perdana
Menteri Malaysia yang berjanji untuk berundur pada
sekitar bulan Oktober ini sedang penat mempertahankan
diri. Beliau begitu defensif. UMNO sedang
bersandar di tali menghadapi asakan tinju dan penumbuk
berbentuk kritik kiri kanan dari pelbagai lapisan
rakyat dalam isu Sekolah Agama Rakyat (SAR). Beliau
sampai serak-serak mahu meyakinkan masyarakat Kelantan
tentang niat baiknya dengan menyekat pemberian bantuan
perkapita dan memotong sumbangan kepada semua SAR
seratus peratus. Maka bertepuklah kira-kira 7,000
penonton yang diangkut dan kebanyakannya digertak dari
warga pendidikan serata negeri untuk mengambil hati
beliau. Jemputan adalah dalam bentuk paksa dan
dipantau kedatangannya melalui buku register besar
mengikut pecahan 4 khemah berdasarkan zon PPD (Pejabat
Pendidikan Daerah). Sasaran asal kehadiran yang jauh
dari tercapai benar-benar mengisyaratkan UMNO yang
tinggal nyawa-nyawa ikan. Jika UMNO adalah seekor
ayam, lama sudah dia perlu di bawa ke Jabatan
Haiwan untuk dirawat. Jika pesakit jantung, UMNO
perlu diusung ke CCU untuk perhatian intensif.
SAR dikatakan membawa Islam yang menyeleweng. Tenaga
penggerak SAR dituduh mengaut keuntungan besar dan
menjadikan pelajar sebagai mangsa. Murid-murid diajar
membenci pemimpin. Memanggil beliau sebagai Firaun.
Guru SAR tidak terlatih. Infrastruktur SAR tidak
mencukupi. Semuanya tanpa bukti. Cukupkah dengan
kenyataan “saya diberitahu”? Dalam kes perlucutan
DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2
September 1998 dahulupun pendekatan inilah yang
digunakan. Kini sudah hampir 6 tahun. Api
kepanasannya tidak pernah reda.
Ambil sahaja tuduhan Timbalan Menteri
Pendidikan yang mengatakan guru-guru SAR
menakut-nakutkan murid yang mahu berpindah ke Sekolah
Kebangsaan sebagai akan memasuki neraka. Berita di
akhbar keesokan harinya pula mendedahkan 2 orang ADUN
PAS telah mengeluarkan anak mereka dari SAR dan
memasukkan ke Sekolah Kebangsaan. Lihat bagaimana
fitnah berputar dan menjerat batang tengkok UMNO
sendiri tanpa perlu dijawab.
Perangai UMNO tidak pernah berubah. Buat sesuatu
tanpa fikir. Isytihar secara tergesa-gesa dan
mencari kewajaran kemudian. Jika dilihat isu
berpanjangan, mulalah gunakan ISA sebagai senjata
akhir. Hatta dalam NST bertarikh 20 Januari 2003 Dato’
Mustapa masih menyebutkan bahawa tindakan ke atas SAR
ini adalah untuk memperkukuhkan SAR “Infact, we are
trying to strengthen Islamic Education”. Kata beliau.
Adakah agaknya orang boleh menerima kenyataan ini.
Tidak memberi dedak kepada ayam supaya ayam menjadi
gemuk? Benarkah pengukuhan boleh berlaku apabila
bantuan perkapita dihentikan di semua sekolah SAR dan
ibubapa diberi tempoh sehingga 6 Februari 2003
untuk mengosongkan semua sekolah SAR dan memindahkan
semua anak ke Sekolah-Sekolah Kebangsaan seluruh
negara? Jika tidak, bagaimana? Ugut lagi! Lihatlah
sebuah sandiwara yang tidak sukar untuk difahami jalan
ceritanya inilah yang selalu dikatakan oleh orang Arab
“ Nasib baik engkau dilanggar, jika tidak engkau masih
tidak kenal apa itu Hospital ! “. Dalam hal ini UMNO
bernasib baik kerana berpeluang ditegur oleh PAS dan
rakyat boleh membuat penilaian. Perdana Menteri
pernah menggunakan istilah ‘pakatan jahat oleh
pembangkang’. Saya tahu beliau meniru kata-kata
George W. Bush yang menujukan label itu kepada Iraq,
Iran dan Korea Utara. Dalam konteks di Malaysia, BA
lah dikira menjadi kumpulan pakatan jahat yang
dimaksudkan. Apa yang jahatnya saya tidak tahu.
Kita mahu kembali kepada Al Quran dan Hadith, jahatkah?
Islam mahu keadilan dipertahankan, jahatkah?
Pejuang Islam mahu hak kebebasan bersuara seperti yang
dijamin oleh Islam, Perlembagaan dan Sistem Demokrasi
Berparlimen dinikmati oleh seluruh rakyat, jahatkah?
Kita, pejuang Islam sedang memperjuangkan sistem
pemerintahan yang telus, mengurangkan rasuah tanpa
mengira orang UMNO atau bukan UMNO, jahatkah? Kita
mahu ISA dihapuskan, jahatkah? Kita mahu melahirkan
sebuah masyarakat Malaysia yang tidak menjadi mangsa
kepada nasionalis Melayu yang mengherdik orang Melayu
di depan orang Cina dan orang Cina di depan orang
Melayu, jahat dan berdosakah?
Rupa-rupanya di penghujung lawatan
beliau, walaupun Dato’ Ibrahim Ali kelihatan
menangis-nangis di dalam salah satu ucapan yang dibuat
liputan oleh TV1 dan tidak diketahui tujuan
kesedihannya, Presiden UMNO mengisytiharkan juga
rombakan pucuk pimpinan UMNO Negeri. Jika sudah
kukuh, kenapa perlu dirombak? Tepatkah rombakan yang
dibuat dan pengganti baru yang dipilih untuk menerajui
UMNO di Kelantan? Perdana Menteri sendiri pernah
menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Begitu juga YBM Tengku Razaleigh dalam tempoh 13
tahun yang lalu - kedua-dua mereka sudah dikira
berada dalam kelas satu kepimpinan UMNO. Pendek kata
Kelantan sudah jatuh ke tangan UMNO jika ukurannya
adalah perubahan dalam orang. Setengah orang
beranalisis, perkembangan ini menghantar UMNO kepada
perbalahan baru antara “UMNO tua dengan UMNO muda”.
Ini adalah seperti kata-kata: “Kita (UMNO tua) yang
kait buah, mereka (UMNO muda) yang tukang makan”.
Walaupun itu urusan UMNO tetapi saya khuatir apabila
melihat kereta UMNO yang kehabisan minyak, tiba-tiba
tayar pula yang diganti. Kami di dalam PAS
tidak berminat menukarkan orang. Kita menukar
minda orang. Saudara Abdul Razak Abas (Abe Jak) dan
Dato’ Kamaruddin Jaafar adalah dua contoh orang kuat
UMNO yang telah bertukar minda. Oleh kerana itu
kita tidak takut dengan pasukan baru UMNO yang baru
diisytiharkan oleh Presiden UMNO. Selaku pemimpin
UMNO, mereka tetap sekular dan membawa wajah
kebangsaan yang serba pragmatik. Cakap dari orang
dan parti yang pragmatik akan sentiasa berdolak dalik.
Tidak satupun dari perkataan orang UMNO yang boleh
dipegang. Perhatikan dalam isu SAR yang telah
disebut lebih awal. Demikian juga dalam hal Negara
Islam, penentangan terhadap Hudud, rampasan terhadap
royalti Negeri Terengganu, membuka kuota bukan
bumiputera dalam kemasukan ke MRSM, Tanah Rizab Melayu,
KMM dan BN yang disenaraikan sebagai pengganas oleh
PBB baru seketika. Semuanya penuh bermasalah.
Seperti kelaziman, ucapan Presiden UMNO
telah menabur banyak janji. Pembangunan akan menjadi
lebih rancak. Pembangunan serancak Pahang Darul
Makmur dan sehebat Pulau Pinang atau Johor Bahru.
Begitulah agaknya. Mungkin juga perubahan yang
dimaksudkan akan membuka semula kelab-kelab malam,
pusat judi dan pelbagai jenis hiburan yang telah
berjaya dikurangkan oleh Kerajaan Negeri yang ada
sekarang. Kelantan akan dibanjiri semula dengan
limpahan rezeki yang tidak kira halal atau haram
asalkan negeri membangun. Akhlak manusia runtuh
barangkali bagi UMNO tidak mengapa. Begitulah, jika
mampu saya bayangkan kaedah pembangunan dan
pembaharuan yang akan dibuat oleh UMNO nanti.
Dalam ucapan Dr. Mahathir juga, beliau
mati-matian mahu menetapkan UMNO sebagai pejuang
Islam. Saya tidak mahu menjadi seorang yang
dituduh cuba menegakkan benang yang basah. Jika
itulah yang cuba didakwa oleh Dr. Mahathir maka kita
serahkan kepada rakyat. Pengundi biasanya tahu
membezakan diantara itik dengan ayam. Lebih-lebih
lagi di Kelantan; mereka fasih benar dan tahu benar
yang mana ayam dan yang mana musang. Cuma saya
kehairanan juga apabila sebuah parti dan Presiden
parti yang kira-kiranya menjadi pejuang Islam,
tiba-tiba terpaksa menggunakan kerahan untuk
meramaikan orang di padang. Semua orang tahu
bagaimana beredarnya Surat Arahan daripada Jabatan
Pendidikan Negeri yang diedarkan ke semua sekolah
bagi menjemput dalam nada yang berunsur paksa.
Setelah pelbagai ikhtiar dilakukan, orang ramai yang
menyambut Presiden Parti yang kononnya memperjuangkan
Islam itu tidak seramai yang dicita-citakan.
Kata-katanya yang disasarkan adalah 50,000 orang
tetapi yang hadir… 7,000 orang, 8,000 orang… entah!
UMNO akan menabur duit untuk menghadapi
pilihan raya. UMNO memang ketandusan akidah
Islam. Dia tidak faham cara untuk membangunkan
manusia di dunia dan menyelamatkan manusia di akhirat.
Rakyat Kelantan telah masak dengan kekurangan UMNO
ini. Nampaknya sekali lagilah rakyat Kelantan akan
mendapat limpahan rezeki. Jalan baru, bangunan baru,
longkang baru, padang baru, basikal baru, payung baru,
periuk baru, kain baru dan pelbagai subsidi. Tidak
terkejut jika ada lembu dan unta percuma sebagai
hadiah dimusim-musim perayaan Aidil Adha. Sendawa
besarlah orang Kelantan. Tidak mengapa. Kita
bersyukur kepada Allah. Alhamdulillah. Undi adalah
rahsia. Ia adalah selera masing-masing. Apa yang
saya khuatir ialah berkembangnya semangat rasuah di
hati rakyat. Tidak khuatirkah UMNO bahawa cara
politik begini akan menyebabkan menjalarnya semangat
rasuah? Perdana Menteri nak buang tongkat orang
Melayu. Kalau tidak buang amalan rasuah yang sedang
disuburkan oleh UMNO kini, sampai bilapun tidak akan
dapat dibuang tongkat itu. Orang memberi sesuatu
kerana wang dan habuan. Akhirnya UMNO juga yang
bising dan sibuk mahu membanteras politik wang. UMNO
yang gali lubang dan dia pula yang bimbangkan lubang
itu menjadi gaung yang boleh membunuh mangsanya.
Saya takut lubang yang digali itu akan menguburkan
UMNO sendiri.
Alangkah baiknya jika Presiden UMNO
mengeluarkan kata-kata manis kepada rakyat sebagai
sebuah cenderahati sebelum beliau bersara daripada
jawatan Perdana Menteri menjelang bulan Oktober
2003. Ini akan menjadi lebih menarik untuk didengar
oleh rakyat jelata. Lebihkan berwasiat daripada
memberi amanat yang merepek dan meleret-leret.
Pesankan rakyat supaya hidup baik-baik di bawah
pimpinan Islam. Banyakkan solat dan taubat.
Kelantan perlu menjadi Negeri Tadahan Wahyu. Sarankan
cara-cara untuk memperkukuhkan pendidikan Islam.
Galakkan rakyat menutup aurat. Gesa umat Islam di
Kelantan memakmurkan masjid dan ambil kesempatan
diatas dasar-dasar MBI yang sedang rancak diatur oleh
Kerajaan Negeri. Tegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan
akan membenarkan PAS melaksanakan Hudud apabila rakyat
telah memahami hikmahnya. Umumkan bantuan mengejut
kepada SAR sebagai bukti yang UMNO menyokong
pendidikan Islam. Dengan demikian, ingatan kita
terhadap mati akan lebih hampir dan kita akan
bercakap dengan nada yang lebih waras.
Ini tidak. Dalam suasana mahu bersara,
Presiden UMNO itu masih menunjukkan taring kuasanya
untuk menindas SAR. Semasa berucap di Sidang
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), beliau
telah menyindir kuasa-kuasa besar yang
menggunakan kaedah kekuatan yang menyamai zaman batu.
Bagaimanapun nampaknya Perdana Menteri telah mengguna
kaedah yang sama apabila melayani parti-parti
pembangkang dan rakyat jelata yang tidak sependapat
dengan beliau. Saya khuatir, ludah oleh UMNO akan
jatuh ke muka sendiri.
Pada saya, UMNO sedang kembali ke zaman
batu dengan hati yang sekeras batu. Dia tidak mahu
mendengar suara rakyatnya. Yang UMNO tahu
ialah
memaksa rakyat supaya masuk UMNO. Mereka yang
memilih selain dari UMNO akan dihukum dalam bermacam
cara. Percayalah, UMNO/BN sedang ditolak oleh rakyat.
Tukarlah drebar dua kali sehari sekalipun. Jika UMNO
mengkhianati agama dan bangsanya sendiri, tengoklah
kesudahannya. Cuba fikir. Boleh bertahan selama
manakah apabila kerajaan berkelahi dengan rakyatnya?
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh
: 18 Zulkaedah 1423 / 21 Januari 2003
|