MINDA TOK GURU
GIMIK DR. MAHATHIR MENGENAI DOSA
Saya
mahu mulakan komentar ini dengan mengutip kata-kata
Awang Sulung yang berbunyi
“Percayalah, disebabkan Mahathir hanya berkelulusan
doktor perubatan, maka cakap beliau akan dianggap
sekadar cakap politik.” (Bisik-Bisik, Utusan
Malaysia 17 Ogos 2002).
Saya kurang pastilah sama ada bolehkah
saya beranggapan bahawa dengan ini bermakna Dr.
Mahathir hanya benar dan hanya boleh dipercayai
pandangan beliau dalam isu-isu perubatan sahaja.
Lain-lain pandangan beliau, baik dalam perkara
pendidikan, pertanian, agama, sukan, pembangunan dan
undang-undang; semuanya sekadar cakap dan gimik
politik. Saya tidak nampak huraian lain selain
daripada ini. Dari segi perubatanpun, setakat yang
saya ingat, Dr. Mahathir tidaklah pula
mengeluarkan panduan-panduan saintifik
dibidang itu disepanjang 21 tahun menjadi Perdana
Menteri untuk manfaat rakyat Malaysia. Dengan
demikian bolehkah kita mengatakan bahawa selama ini
beliau cuma bergimik dan bermain dengan kata-kata
politik dalam cuba-cuba membangunkan rakyat, bangsa
dan negara. Hakikat betapa bercelarunya segenap
cabang pemerintahan baik kehakiman, bahasa, pendidikan,
seni, Islam, sosial dan perhubungan antara kaum yang
boleh kita sama-sama saksikan terkini mungkin berpunca
dari terlalu banyak amalan Dr. Mahathir yang
cuma bergimik.
Segala sesuatu diberikan selera politik
berkepentingan perseorangan yang
menjadikan agama, bangsa, bahasa dan tanah air tidak
lebih dari menjadi sebagai bahan pertaruhan
semata-mata.
Sebaliknya, PAS tidak percaya dan tidak suka bermain
dengan gimik. Kita berjuang diatas landasan
keyakinan. Bila saya
mengatakan “Siapa yang mengundi PAS ditahun 1990
mendapat pahala kerana menyokong
menentang amalan riba (Lihat NST 27
Januari 2002 - Pahala and the PAS link),
saya bercakap dari suara keimanan. Dr.
Mahathir dan Dr. Ab. Hamid Othman yang begitu
tersinggung dengan kata-kata ini lantas melenting
mengatakan tidak siapa berhak menentukan pahala atau
dosa. Anehnya, dalam nafsu yang tinggi mengkritik
Hukum Hudud, Dr. Mahathir telah membuat kenyataan
mengenai dosa yang berbunyi:
“Dia (Hadi) akan buat dosa kerana lulus undang-undang
tak adil dan kalau mati esok dia akan hadapi neraka
kerana buat undang-undang yang tidak sebenarnya
undang-undang Islam.”
(Utusan
Malaysia, 19 Jun 2002, PM: PAS hina Islam jika
laksana hukum tak adil)
Baru
semalam pula Dr. Mahathir masih bercakap lagi
mengenai dosa. Ia berbunyi: “Pengikut PAS
telah sesat dan mereka berdosa.” Ditempat yang
lain, kata Dr. Mahathir,
“Orang PAS yang ikut PAS ikut berdosa dan akan terima
balasan di akhirat.”
(Lihat
Berita Harian 17 Ogos 2002).
Perkara yang berkaitan di sini ialah pahala dosa.
Semasa Dr. Mahathir marahkan saya menggunakan pahala
dosa pada 23 Januari 2002 dahulu adakah itu gimik
politik atau semasa beliau “berfatwa” kini
bahawa “menyokong PAS berdosa” inikah gimik.
Mana satukah gimik atau keseluruhan cara hidup dan
kenyataan Dr. Mahathir adalah gimik? Dia boleh kata
saya merasuahkan pengundi bila sebut dosa pahala dan
Syurga Neraka dan dia pula boleh sebut perkara
“dosa pahala” jika dia suka. Mana satu gimik
dan mana satu yang betul-betul antara dua larangan ini?
Kini UMNO ghairah benar menyebut “Tolak
PAS boleh pahala.” Ini sekaligus membuktikan
yang politik dan agama ini perkara yang tidak boleh
dipisahkan. Dosa dan pahala adalah perkara agama.
Dulu UMNO kata politik suku agama suku. Sekarang
bagaimana? Mana satu yang gimik dan mana satu yang
sebenar? PAS sudah berpuluh tahun menyebutkan
tentang konsep dosa pahala dalam perjuangan
mendaulatkan Islam melalui politik dan kuasa
pemerintahan. Cuma sekarang sahaja, baru UMNO mulai
faham. Baguslah.
Nampak jelaslah di sini bahawa UMNO sekarang
sudah tersepit. Dia hampir angkat kedua-dua belah
tangannya. Kaedah dosa pahala yang menjadi pegangan
PAS telah diakui mujarab dan berkesan. UMNO dah mula
“curi-curi” pakai kaedah kami. Ini dah kira
kali ketiga UMNO tersungkur. Pusingan pertama
ialah ketika UMNO ghairah sangat
mahu haramkan penggunaan Islam dalam mana-mana
pertubuhan. Ia dihalang oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
Kali kedua ialah apabila terpaksa mengisytihar
Malaysia sebagai negara Islam. Sebelum ini, PASlah
satu-satunya parti politik
berdaftar yang menuntut Negara Malaysia agar
diIslamkan. Ertinya di sini, UMNO sudah tersasul,
rebah dan terjatuh di gelanggang politik di banyak
tempat. Dalam sorak sorai penonton yang secara
majoriti mahukan perubahan, UMNO perlu faham
signal-signal penolakan yang semakin lantang. UMNO
harus nilai kesan luka baru dan parut luka-luka lama
yang berdarah kembali. Memang saya akui Dr. Mahathir
seorang doktor perubatan seperti yang disahkan oleh
Awang Sulung tetapi tidak semestinya setiap penyakit
itu terubat dengan hunusan pisau bedah yang menggertak
sesiapa sahaja baik dalam isu penggunaan Bahasa
Inggeris atau kes dakwaan rasuah Menteri oleh BA yang
akhirnya menghantar pejuang keadilan ke pukat ISA.
Jadi, sebelum jatuh dan terjatuh lagi dalam
gelanggang silat, saya mohonlah pemimpin UMNO supaya
menerima dasar-dasar Al-Quran dan Hadith secara
bertulis dalam Perlembagaan Malaysia. Jika perlukan
pindaan, pindalah. PAS dan BA akan sokong,
InsyaAllah. Kalau Dr. Mahathir pun sudah mulai
menyebut soal dosa dan pahala sedangkan kedua-dua
perkara ini adalah agama, maka alihlah dan letakkan
kedua-dua belah kaki ke dalam Islam. Hentikan sikap
munafik dan amalan bermuka-muka. Anjakan paradigma
kepada Al-Quran dan Hadith sebagai asas baru adalah
jaminan pemulihan keadilan, perpaduan dan kebenaran
bagi seluruh rakyat Malaysia. Malaysia telah
tergelincir dari landasan Islam sebegitu lama.
Apakah menjelang 31 Ogos 2002 nanti, UMNO sedia
mengakui kelemahan dan kesilapan dengan penuh
keberanian? Atau terus mahu bergimik di atas liuk
lintuk pragmatisme, terpulanglah. Dalam sejarah
Islam, Abdullah bin Ubai telah lama mempelopori kaedah
ini dan beliau berakhir dengan kegagalan yang amat
memalukan. Bila serangan berdepan menemui kegagalan,
beliau mengubah strategi dengan membina masjid dan
berceramah dalam masjid untuk menyaingi dakwah dan
tazkirah Rasulullah S.A.W. UMNO pun saya lihat
hampir serupa.
PAS, disepanjang berdepan dengan UMNO, lebih
mengambil pendekatan antara doktor dengan pesakit.
Kita menegur, mengkritik dan menyediakan hidangan ubat
alternatif. Diatas nama keimanan dan keyakinan yang
sungguh-sungguh terhadap Islam, kami berdiri. Kami
mahu melihat pemulihan. Kami percaya Islam mempunyai
segala rahsia ke arah ini. Jika UMNO boleh terima
premis ini secara bertulis, kita boleh ikhtiarkan
proses pengislaman negara secara berperingkat tetapi
jitu dan bermatlamat.
Saya masih menaruh harapan yang tinggi dalam
menunggu saat kewarasan UMNO. Tibakah?
(NIK
ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 11 Jamadil Akhir 1423 / 20 Ogos 2002 |