Jika UMNO masih tidak puas hati dengan
keislaman Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan PAS
sebagai badan bebas dan parti politik Islam yang
berdaftar, cuba tunjukkan kepada kita mana satukah
lagi pertubuhan yang benar-benar Islam. UMNO tentu
sah tidak. Perlembagaan Partinya tidak.
Perlembagaan Negara yang berkuatkuasa sekarang pun
tidak. Setiap kali Undang-undang Sivil mahu digubal
atau dipinda, tidak pernahpun kita dengar Al-Quran dan
Hadith dibuka dan dirujuk terlebih dahulu. Apa yang
dikaji dan ditelaah di atas meja ialah benda lain. AG
dan Jabatan Peguam Negara boleh sahkan perkara ini.
Yang kita lihat benar-benar
membuka Al-Quran dan Hadith sebelum sebarang
penggubalan undang-undang dibuat ialah penyediaan
semasa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan
Qisas) Terengganu 2002 atau Enakmen Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993.
Persatuan Ulama’ Malaysia pun turut terbukti amat
istiqamah dengan amalan merujuk Al-Quran dan Hadith
terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan
dan membuat pendirian.
Jika UMNO boleh tunjukkan kepada saya
pertubuhan yang meletakkan Al-Quran dan Hadith sebagai
sumber tertinggi, silakan.
Saya dan seluruh masyarakat Islam di
Malaysia amat mengalu-alukan. Boleh kita sama-sama
periksa, teliti dan jadikan contoh (jika boleh). PAS
boleh terima jika benar-benar ada. Jika tidak ada
lagi, maka periksalah PAS dari segi Perlembagaannya,
sejarahnya, sikap dan pendiriannya dalam pelbagai isu.
Semua pegangan sama ada bantahan atau sokongan, baik
yang lalu atau kini bertolak dari sikap menegak
makruf dan menentang kemungkaran. Hatta diketika DAP
memutuskan untuk keluar dari Barisan Alternatif disaat
genting kita amat memerlukan sokongan mereka sekalipun,
PAS masih sedia menerimanya walaupun berdukacita. Ini
membuktikan yang kita tidak sanggup menggadai
prinsip. PAS konsistan dan berpendirian. Islam itu
terlalu mahal bagi kami. Tiada harga jual beli.
Demikianlah.
Kami bukan hanya tegakkan
makruf secara selektif dan menentang kemungkaran ikut
suka-suka sebagaimana UMNO. Kami buka Al-Quran dan
berpegang kepada Hadith, baik dalam soal hudud, qisas,
takzir, aurat, ibadat, perpaduan, ekonomi, pergaulan,
pendidikan, hubungan luar, pembangunan; malah apa
sahaja. Kami beristiqamah. Kami menentang
kezaliman, rasuah, pembaziran dan segala bentuk
kemungkaran UMNO berpandukan hujah Al-Quran serta
Hadith. Kami berdakwah. Kami menegur. Kami
mengkritik.
Kami mencuba segenap kaedah dan cara
walaupun dihalang dan dihimpit dari segenap penjuru.
Semakin disekat, semakin terserlah. Islam itu
bagaikan air yang mengalir. Dia bergerak. Dia
sebuah kebenaran. Dia serasi dengan fitrah. Dia
meresap dan terkumpul tenang atau boleh juga melanda
jika disekat keterlaluan. Dia boleh menjadi arus
deras yang mampu menghanyutkan. Dia menghilangkan
dahaga. Islam adalah segala-galanya. Inilah acuan
dakwah Islam yang dipakai oleh PAS. PAS tetap
bersamanya dalam suka atau duka. UMNO perlu faham.
Perkara yang benar akan tegak lurus pada bila-bila.
Tidak hari ini, esok. Tidak esok, lusa. Tengoklah.
Soalnya, jika Persatuan
Ulama’ Malaysia dan PAS kini cuba dituduh sebagai
bersama, tidak mengapalah. Bagaimanapun, UMNO pula
bersama siapa? Lihat UMNO, lihatlah amalannya dan
siapa yang bersama dengannya.