1) Kenyataan berputar belit Dato’
Noh Omar, Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri
di Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat bertarikh 8
Oktober 2002 (Lihat Berita Harian 9 Oktober 2002)
sudah sampai keparas kecemasan yang membimbangkan.
Jika musim banjir, ia mungkin boleh melemas dan
menghanyutkan demokrasi.
Dalam percubaan menangkis hujah YB Mohd.
Apandi Mohamed (PAS Jeli) yang kukuh, Noh Omar telah
menggelabah dan kelihatan cuba menyondol apa sahaja;
dinding, pusu, semak atau umbi getah. Apa sahaja
yang tercapai di tangan akan dibaling. Kena atau
tidak kena sudah barangkali tidak memberi makna
apa-apa lagi. Hatta jika sampai ke peringkat
berbohongpun, itu akan tetap dilakukan.
Sekurang-kurangnya terdapat dua fakta yang telah
dipalsukan oleh beliau iaitu:
i)“Keberkesanan laporan
polis ini dapat dilihat apabila Menteri Besar Kelantan
membuat kesilapan kedua dengan mengatakan Perdana
Menteri tak pandai baca al-Quran.
“Apabila dipanggil oleh polis dan
dilakukan siasatan beliau mengaku apa yang dimaksudkan
ialah Perdana Menteri tidak tahu berbahasa Arab.”
(Berita Harian 9
Oktober 2002, m.s. 15)
ii) PAS memutar belit “kononnya
Perdana Menteri anti Hudud dan pada masa yang sama
tiada sebarang tindakan memperbetulkan kelemahan
Enakmen tersebut dilakukan.”
(Berita
Harian 9 Oktober 2002, m.s. 15)
2) Saya dengan ini menyeru seluruh
rakyat untuk bertenang sementara waktu sebelum memberi
kepercayaan kepada “fakta” yang cuba
dipermainkan oleh YB Noh Omar ini. Fakta sebenar
ada pada kami. Saya mahu lihat tarian beliau
yang selanjutnya. Jika seorang Setiausaha Parlimen
Jabatan Perdana Menteri boleh memutar belitkan fakta
disebuah ‘Dewan sesuci Parlimen’ (dalam
pengertian demokrasi), saya tidak dapat bayangkan
tahap putar belit UMNO dengan rakyat di
kampung-kampung.
3)Saya sengaja tidak
mahu memberitahu fakta sebenar buat sementara waktu.
Saya mahu memberikan kesempatan YB Noh membuat semakan
kerja rumah sekali lagi secara yang
lebih teliti sebelum menyondol bagi
kali kedua. Jangan sampai tersangkut di pukat dan
patah tanduk, taring, gigi dan gusi! Sakitnya
menanggung fitnah; dan sayalah mangsa yang diberi
tempat “paling istimewa” setakat ini. Maruah
saya dihiris sesuka hati dalam sebuah pertempuran
propaganda dimana segala alat senjata hampir semua
diborong sepihak.
4. Semoga saya boleh kongsikan
sedikit kesakitan kesan hirisan untuk turut ditanggung
oleh Noh Omar. Ini bukan fitnah tetapi peluang bagi
beliau membetulkan putar belitnya sendiri. Tidaklah
salah jika saya mengatakan saya sedang mengikuti
rentak beliau dari sekarang.