Pilihanraya terkini di Pakistan
menyaksikan satu trend penerimaan rakyat pelbagai
agama terhadap Islam. Jika sebelum langkah tahaluf,
Parti Islam di Pakistan cuma memenangi antara 6
hingga 7 kerusi sahaja tetapi keputusan pilihanraya
di Pakistan yang lepas mencatat kemenangan sebanyak 66
buah kerusi. PAS telah mengamalkan prinsip tahaluf
sejak awal penubuhannya ditahun 1951. Tidak mustahil
langkah Parti-Parti Islam Pakistan yang kelihatan
meniru strategi tahaluf PAS benar-benar membuahkan
hasil.
Pesta 3 hari Sambutan
Kebudayaan dan Kesenian Cina Kelantan yang disertai
oleh lebih 46 Persatuan-Persatuan Cina pelbagai
kepentingan dari seluruh Malaysia pada hari Jumaat 11
hingga 13 Oktober 2002 yang telah diadakan di Dewan
Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu sekali
lagi membuktikan hakikat penerimaan ini. Ditahun
2000, cuma terdapat 13 NGO Cina manakala ia meningkat
sedikit ditahun 2001 menjadi 36 buah penyertaan.
Ertinya pakatan tahaluf atau langkah mencari
persefahaman berteraskan “prinsip mendaulatkan
Islam, kebenarandan keadilan secara aman
melalui saluran demokrasi” seperti amalan PAS
telah kelihatan menjadi. Ia benar-benar menyakinkan
semua pihak tentang usaha penyatuan dan pentauhidan
harus dengan keikhlasan bermula dari Islam. Ia agama
fitrah. Islam mengiktiraf
prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang
dari Adam dan Hawa. Islam datang untuk membebaskan
manusia dari segala faham kebangsaan yang sempit.
Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan
berasaskan bangsa, bahasa dan suku kaum.
Kalaupun manusia boleh berbeza agama,
bangsa dan keturunan, tetapi Islam wajib ditampilkan
untuk mempelopori penyatuan. Dalam Islam ada
toleransi dan tolak ansur. Dalam Islam ada jaminan
keselamatan terhadap nyawa, maruah, harta, nasab dan
keturunan. PAS sedang membawa falsafah perjuangan
universal ini dengan penuh keyakinan.
Bermula dari Gerak, PAS terus melangkah
dengan gagah dan bermaruah mempelopori Gagasan Barisan
Alternatif (BA). Seluruh kerabat BA termasuk DAP
menerima Islam dalam persefahaman tahaluf. Diatas
nama menerima Islamlah, kita sedia untuk bersama.
Walaupun, kita terpaksa melepaskan DAP dengan penuh
hiba, tetapi kerana apa yang dituntut oleh DAP
menyentuh prinsip dasar Islam itu sendiri, kami
terpaksa membuat keputusan yang pahit. Walaupun
sukar, pengwujudan “Negara Islam” adalah
premis utama perjuangan kita. PAS tidak akan
berkompromi dengan nafsu sempit perkiraan dan
kepentingan politik jangka pendek demi kuasa
semata-mata. Menggugurkan Negara Islam samalah
seperti menggugurkan Islam itu sendiri. Kami jelas.
UMNO yang telah begitu lama membuka
persefahaman dengan MCA dan MIC nampaknya semakin
kucar-kacir. Ini tidak lain berpunca dari dasar asas
persefahaman yang dijalin sesama mereka diteraskan
kepada semangat kebangsaan. Bagaimana mungkin satu
bangsa boleh jujur dan melaksanakan keadilan
semata-mata berpandukan faham bangsa tanpa panduan
agama. Kalau UMNO cuba bersikap adil pun, ia cuma
curi-curi ambil dari nilai keadilan yang ada di dalam
Islam itu sendiri. Itulah yang menjadikan nilai
amalan adil UMNO tidak pernah konsisten; tidak
stabil sestabil mata dacing yang digambarkannya di
poster-poster pilihanraya. Lalu hiduplah mereka
dalam curiga prejudis dan prasangka.
Jika kita kembali kepada
sejarah, kita dapat melihat bagaimana Nabi S.A.W.
telah didatangi Jibril A.S. di Masjid Nabawi yang
menjelma berupa manusia yang berpakaian bersih serba
putih. Didalam dialog yang bertemu lutut dengan
Rasulullah S.A.W., Islam telah dikuliahkan dalam
hubungan dengan Iman, Ehsan dan Hari Kiamat. Islam
itu sendiri adalah penyerahan diri manusia kepada
segala kekuasaan Allah yang sepenuhnya. Imanlah
puncak keyakinan yang menentukan tindak tanduk.
Ehsan pula adalah kepercayaan yang sesungguhnya bahawa
segala sesuatu itu perlu diyakini tentang sentiasa
berada didalam pengetahuan Allah. Manusia perlu
hidup dan beribadah seolah-olah dia sedang melihat
Allah dan jika dia tidak melihat Allah, maka
yakinlah yang Allah sedang
melihatnya. Segala amal baik dan jahat akan diadili
oleh Allah S.W.T. mengikut kebenaran Al Quran dan
akan diberikan pembalasan di Hari Akhirat kelak.
Inilah paksi tahaluf yang dibawa oleh PAS dalam
mana-mana ikatan persefahaman. Ia telah menerima
peranan pengabdian kepada Allah S.W.T. dari sejak mula
lagi dengan penuh keyakinan tentang kebenaran Islam.
Melalui Islam yang serba sempurna itulah, segala
ajaran yang bersifat universal telah diperkenalkan
melalui dakwah dan kuliah bagi menyelesaikan sebarang
masalah dan menyelamatkan umat manusia baik di dunia
lebih-lebih lagi di akhirat. PAS tidak akan
meneruskan tahaluf jika hanya bersyaratkan keuntungan
politik jangka pendek semata-mata diatas korban
kepentingan Islam.
Diatas kesetiaan dan istiqamah inilah
PAS sedang membina pendirian dan mengembangkan
sayapnya. UMNO perlu faham. Sebarang sandiwara yang
hanya mahu “kelihatan seakan-akan Islam” tetapi
“tidak sebenar-benar Islam” adalah satu
pengeliruan yang merosakkan dan akan mengorbankan UMNO
itu sendiri.
UMNO hanya berminat mengambil
Islam. Dia meninggalkan “iman wal yaumil akhir.”
UMNO tidak pernah bersedia untuk memberi gambaran
Islam yang sebenar dan lengkap seperti yang ada di
dalam Al Quran secara syumul dan “cohesive”
kepada rakan-rakan kongsinya MCA dan MIC. Jika
Islam yang sebenar itu
sempurna dimaklumkan, UMNO khuatir segala rasuah,
penyalahgunaan kuasa penyelewengan, fitnah, pemalsuan
fakta, kronisme penindasan dan skandal pembaziran wang
rakyatnya akan terbongkar. Selagi MCA dan MIC
bersekongkol dengan UMNO, mereka tidak akan faham apa
itu Islam yang original seperti yang ada di dalam Al
Quran. Sebaliknya rakan-rakan di luar Islam dalam BA
sedang menikmati kefahaman Islam yang sihat. Berkat
tahaluf dan muzakarah berterusan, Islam sedang muncul
sebagai punca kuasa alternatif.
Hanya tinggal sedikit sahaja
masa yang ada lagi untuk menentukan terserlahnya
sebuah kemenangan.