Home ]

MB Kelantan minta kaji ringankan beban tugas wanita bekerja

Back ] Next ]

 

MB Kelantan minta kaji ringankan beban tugas wanita bekerja

Petikan daripada ucapan YAB  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, yang menyentuh tentang wanita bekerja, ketika beliau merasmikan majlis Wacana  Islam dan Kemakmuran Ekonomi, pada 16 Mac lalu di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Ucapan ini merupakan satu hasrat Kerajaan PAS Kelantan agar kajian dibuat bagi meringankan beban tugas dan tanggungjawab bagi wanita bekerja.  Tetapi akhbar harian dan juga ulasan-ulasan melalui alat sebaran am yang memusuhi Kerajaan PAS Kelantan telah memutarbelikan ucapan ini dengan mengatakan ‘PAS kaji larang wanita bekerja’.

Semoga petikan ucapan yang disiarkan ini dapat memperbetulkan segala kekeliruan yang dilakukan oleh alat-alat sebaran am itu. 


    . . . DI DUNIA ini ada lelaki dan ada perempuan. Dan saya sebagai ketua kerajaan negeri ini, di bawah saya ada pegawai lelaki, ada pegawai perempuan. Sepatutnya perempuan tidak bekerja - sepatutnya - kerana segala makan minum isteri, kain pakai isteri, rumah tangga isteri adalah tanggungjawab wajib di atas suami.  Almat'am walmalbas walmaskan dalam pengajian fekah disebut tiga perkara asas ini tanggungjawab suami.  Maka sepatutnya si isteri tidak lagi bekerja tetapi mereka terpaksa bekerja dan kadang-kadang terpaksa -  suami tak ada, suami mati, suami tak balik-balik, duduk rumah bini muda.  Macam-macam kerenah yang timbul atas manusia maka mahu tak mahu pegawai perempuan terpaksa diterima dan diberi gaji. Sedangkan, kalau kita buat kajian sikit sahaja, tanggungjawab laki-laki tidak banyak: cari duit,terima gaji, bawa balik beri kepada isteri; masalah rumah berselerak atau tak berselerak, itu kerja kamu hei isteri, anak cucu berhinguskah, tak berhinguskah, kacau mangkuk pinggan di dapurkah, itu kerja kamu, wahai isteri.

    Rumah tangga tanggungjawab isteri, jaga anak-anak tanggungjawab isteri,kerja di pejabat juga tanggungjawab isteri kalau dia pegawai bekerja. Sudahlah hamba Allah ini letih: dengan mengandungnya, dengan darah bulanannya, dengan urat sarafnya yang tidak begitu sekali kental sebagaimana laki-laki, kita beban pada dia pula bermacam-macam masalah. Kita (lelaki) pegang satu sahaja, cari duit sahaja, rumahtangga kamu urus, anak cucu kamu urus, aku yang cari duit. Tetapi perempuan sendiri cari duit pun dia - pasal dia bekerja , anak-anak di rumah pun tanggungjawab dia, rumah tangga sendiri - muka tangganya, belakang rumahnya, dapurnya, bilik airnya - tetap semua tanggungjawab perempuan.
    Adakah kita sebagai orang Islam dan saya sebagai ketua kepada kerajaan yang hendak jalankan Islam, kita hendak biar begini terus menerus? Satu penganiayaan kepada golongan wanita kalau dibiarkan benda begini.

    Dan apabila kita baca buku-buku kajian kita dapati orang perempuan dari Barat sendiri -  dari Jerman, dari Amerika -  mula  meraung sekarang ini, minta nak balik semula ke rumah, teruk sangat menjadi pegawai sama ada pegawai kerajaan atau pegawai korporat. Nak tumpu kepada pejabat, rumah tertinggal. Bila rumah tertinggal, anak tak balik ke rumah, suami pula pergi ke disko.  Nak tumpu ke rumah kena potong gaji, kena itu, kena ini.

    Timbul satu masalah di dalam kepala pekerja-pekerja wanita kerana mereka pandai-pandai - sesetengah itu tidaklah pandai-pandai kerana terpaksa bekerja - kerana masalah-masalah tadi, dan sesetengah itu anak orang kaya dah nak kerja juga kerana apa? Kerana nak bangun pagi, pakai cantik-cantik, pergi ke bilik air-cond. siapa tak nak, boleh mengurat lagi. Macam-macam masalah.

    Jadi, kepada pengkaji khasnya saya tuju, cuba tolong kaji masalah ini.  Apa yang saya rangka dalam kerangka fikiran saya setelah saya banyak baca buku ini sejak semasa di AlAzhar dulu.  Di al-Azhar dulu,  kebetulan ketika (saya di sana), didatangi oleh seorang perempuan dari Jerman memberi tahniah khusus kepada Sheikul Azhar - berlaku dalam akhir tahun 50an awal tahun 60an -  begitulah, ucap tahniah kepada orang Islam, melalui Sheikul Azhar, bahawa cara Islam beri peluang kepada suami kahwin cara poligami, itu cara yang paling baik, kerana 'kami di Jerman setelah kami berperang, melalui Hitler melawan Pasukan Bersekutu, maka tiap-tiap satu laki-laki kami ada lapan perempuan, kerana laki-laki dah mati di medan perang', ada mati di medan perang, ada mati accident dan sebagainya.  Perempuan tidak mati di medan perang kerana mereka duduk di dalam kubu begitu sahaja.

    Jadi, macam mana hendak selesai masalah lapan perempuan sedangkan laki-laki hanya seorang. Manusia bukan nak makan nasi sahaja, seks pun nak makan juga, berseronok, nak bermanja, nak bercumbu, nak apa, ini memang kerja manusia.  Islam pun, dalam kitab fekah saya selalu sebut, dalam Fatul Qarib yang kecil sahaja, bagi suami isteri. . . . belum lagi melakukan persetubuhan kena ada institaam, kena ada cumbu, kena ada itu, kena ada gurau senda, barulah ada asam garam itu cukup lengkap molek.

    Jadi, hak (yang) ada suami tak apalah.  Hak (yang) tak ada suami hendak macam mana? (Daripada) ini timbullah masalah lepak, masalah zina, masalah apa (sahaja). Jadi, satu daripada cara penyelesaian Islam sejak awal azali lagi, diberi peluang kepada lelaki kahwin hingga empat, seorang laki-laki boleh kahwin empat. Insya'Allah, segala kekurangan laki-laki di tempat perempuan lebih, dapat disempurnakan melalui kahwin poligami. Itu cerita mulanya poligami, tetapi jika  disalahguna atau apa lagi, itu masalah yang kedua.

    Jadi, sekarang ini, masalahnya pegawai wanita datang ke pejabat, tetapi di kepala dia bukan duduk di pejabat; duduk di rumah: 'anak aku lagu (macam) mana, balik karang   menanakkah tidak, suami aku balik karang marahkah tidak?  Ini di kepala dia, di pejabat pun di kepala dia, di rumah pun di kepala dia, di dapur pun di kepala dia, di bilik tidur pun di kepala dia. Masuk-masuk tidur, tengok suami dia kata: mengapa bilik bersepah? Kena marah, menangis.  Itu sahajalah cara, senjata perempuan itu: air mata.
    Inilah bendanya di dalam kepala saya sejak dari dulu lagi. Ditakdir Allah sampai saya pegang kerajaan ini, kerana kepala saya berkisar perkara ini, menyebabkan di fikiran saya tercetusnya fikiran nak beri cuti bersalin sampai 60 hari. Nak beri lagi boleh sampai enam bulan, tapi dah berputik dalam perut cuti pula, tak selesai masalah.

    Jadi, tuan-tuan sebagai pengkaji tolong, buat kajian, beri kepada saya, mudah-mudahan, insya'Allah, negeri Kelantan, negeri yang pertama kemuka satu teori baru bagaimana cara pekerja perempuan ini duit pun dapat, kerja pun boleh dan masalah rumah tangga, layanan kepada suami tidak terjejas.  Macam mana nak buat? Rumah tangga pun terjaga, suami pun dapat dihiburkan dan anak-anak pun terjaga, wang pun dapat.
    Lebih kurang bendanya begini,  sama ada kita kurangkan masa bekerja bagi pekerja wanita, yang isterinya, gaji dia pun jadi kecil,  kita kurangkan masa dia (bekerja).  Kalau orang lain start kerja pukul lapan balik pukul empat, kita mula beri kepada dia start pukul sembilan atau pukul sepuluh, dia balik pukul tiga, misalnya. Maka masalah rumahtangga dapat selesai dengan baik, masalah anak-anak  juga dapat selesai dengan baik. Tetapi gaji kena kurang. Duit pun boleh, anak pun terjaga dan insya'Allah, kesihatan pun tidak jadi teruk.  Masalah kesihatan, saya tak belum sebut (belum sentuh).  Masalah kesihatan wanita itu tak sebut (belum sentuh). Kajian memang ada sebut iaitu masalah kesakitan urat saraf dia, mental dia banyak terganggu, pada perempuan yang bekerja.

    Ataupun kita bayar elaun bulanan pada semua wanita yang mempunyai anak. ' Mak cik tak usah kerja, setiap kali mak cik lahirkan anak, kerajaan akan beri duit, macam welfare state, macam London buat.  Kita bagi duit.  Ertinya, masalah duit, dia dapat. Duit ini kena beri dalam akaun perempuan, janagan beri kepada suami dia.  Beri suami dia habis lesap. Beri kepada perempuan terus. Sama ada hendak beri elaun anak dia sekian banyak, yang beranak satu sekian, yang anak kedua sekian, semakin banyak anak makin banyak kita bagi elaun, tambah.

    Harta kita banyak. Rakyat Malaysia ini sikit. Bahan mentahnya banyak. KDNKnya terlalu banyak. Padan kalau kita buat begini kalau kita tidak buat membazir dan memboroskan duit ini kepada perkara-perkara membazir, projek itu, projek ini.

    Akhir tahun  (baru-baru) ini, saya nak beritahu punya karutnya cara perbelanjaan kita (apabila)   akhirnya saya terpaksa keluar duit poket , beberapa ribu (ringgit), untuk tolong bayar duit buku sekolah rakyat.  Dari Gua Musang, dia mari, minta duit sekolah kerana apa? Kerana tak bayar, tak boleh sekolah(kan) anak.  Banyak mana duit nak? Enam puluh rial, seratus rial.

    Duit begitu banyak, beratus ribu, berbilion ke mana pergi? Sedangkan sekolah rakyat, duit sekolah 60 rial pun tak boleh duit kepada rakyat.  Bukan kerana tak ada duit.  Malaysia negeri kaya, dengan petrol, balak lagi, dengan logam bermacam-macam logam,  dengan bermacam-macam perkara, tapi kerana karut (di) pihak pemimpin, membazir (di) pihak pemimpin.

    Yang kita semak - bertanggungjawab memperbetulkan(nya) kerana kita ini orang politik  - lima tahun sekali mengundi. Dan mana-mana makhluk yang membazir ini kita buang, naik(kan) makhluk yang reti, dan tidak ada orang yang reti di kalangan pemimpin negeri, selain daripada fuqaha, daripada orang yang mengaji feqah.  Kalau orang yang mengaji feqah, dia mengaji semua masalah ini: masalah dia dengan Tuhan dan masalah dia dengan manusia.  Itu cara mudah.  Orang fakih, orang fuqahalah orang paling pandai membetulkan manusia di muka dunia.

    Ataupun kita menentukan kerja-kerja tertentu sahaja kepada wanita: ' macam lapangan perguruan, ah! mak cik boleh,' saudari boleh bekerja jadi guru, jadi pegawai dalam lapangan perguruan; lapangan kedoktoran, lapangan elektronik, hak (yang) baiki radio, baiki tv kita bagi kepada orang perempuan kerana kerja ini kerja tidak berpeluh; urat saraf dia tidak banyak berfungsi.

    Jadi, ini kerangka-kerangka yang saya buat yang kalau berjaya pada masa depan ini, insya'Allah, Kelantan orang yang pertama akan memberi kehormatan kepada wanita. An-nisa syakaul al rijal, orang perempuan ini ibarat buah pinang belah dua.  Sebelah ini lelaki, sebelah ini perempuan.  Kalau lelaki sakit orang perempuan juga sakit.  As-syakaul al rijal, yang memerlukan orang lelaki ini memikir bagaimana hendak menyalamatkan orang perempuan daripada tekanan kerja yang dibawa dariapda Eropah dan sebagainya.
    Para hadirin semua, itulah ucapan saya, itulah kerangka dalam fikiran saya kepada golongan pengkaji. Insya' Allah kalau boleh dibuat kajian mengenai ini  bagaimana caranya hendak memartabatkan wanita kita supaya dia tidak kerja sebagaimana orang lelaki. Orang lelaki bekerja, dia (wanita) juga bekerja dan tanggungjawab dia lebih daripada orang laki-laki. Jangan benda ini berlaku begitu.

    .  . .  Siti Aishah berpantun: perempuan ini kuntum-kuntum bunga, kuntum-kuntum mekar, yang sengaja Tuhan buat untuk laki-laki.  Dan semua orang hendak kepada bunga dan hendak kepada perempuan.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates