Home ]

2002/07/28:::JAWAB BALAS TUDUHAN PERDANA MENTERI

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

JAWAB BALAS TUDUHAN PERDANA MENTERI

Dukacitalah  juga saya mendengar tuduhan  ‘Ekstremisme Kaum’ yang dihubungkan dengan PAS.   Demikianlah sebahagian dari kata-kata rasmi Dr. Mahathir selaku Pengerusi BN selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Kali Ke 49 di Wisma MCA.  (Lihat muka depan Mingguan Malaysia 28 Julai 2002).  Perdana Menteri menuduh PAS yang sengaja mengajar anak mereka supaya tidak bercampur dengan rakan dari kaum lain.   Tegas beliau:   “Walaupun mereka hendak undi daripada kaum tersebut ketika pilihan raya, setakat ini tidak ada tanda-tanda yang mereka mahu bekerja dengan kaum lain.”   (Mingguan Malaysia 28 Julai 2002).    Saya memandang serius tuduhan terbuka yang dibuat di hadapan pemimpin masyarakat Cina yang berlangsung di Wisma MCA itu.

 

Tuduhan yang sebegini sungguh tidak berasas.   Adalah sangat memalukan bagi seorang pemimpin sebesar Dr. Mahathir yang telah tersilap fakta dalam menuduh PAS.   Mungkin beliau telah diberikan nasihat yang tidak betul oleh wazir-wazir beliau.    Itulah sedikit sangka baik, kalau pun boleh saya bersangka baik dengan Perdana Menteri dalam perkara ini.

 

          Sejak daripada awal menjadi Menteri Besar Kelantan ditahun 1990, saya sering  menekankan tentang kita semua ini berasal daripada Adam dan Hawa.    Kita semua adalah bersaudara.  Maksud Ayat 1, Surah An Nisaa’:

 

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.   Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan  (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain) dan (peliharalah) hubungan silaturrahim.   Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

 

Saya bukan setakat sebutkan Ayat ini, malah saya beriman dan percaya dengannya.    Diatas keimanan ini, kami memutuskan untuk membuka ruang kepimpinan kepada masyarakat bukan Islam mengikut kesesuaian  dan kelayakan.  Ini sedang dilaksanakan.    Bukan kerja Islam untuk asaskan pemerintahan berasaskan bangsa. Kita melantik seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang berbangsa Cina tetapi beragama Islam yang diberikan amanah memimpin Fortfolio ‘Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan Dan NGO’.     Kita ada senarai yang panjang mengenai jawatan Penghulu Tanpa Mukim dan Ahli Majlis Perbandaran/Majlis Daerah yang memberi tempat kepada bukan Islam dan bukan Melayu.     Jika perlukan contoh, suka saya turunkan identiti mereka mengikut nama, agama, bangsa dan amanah kepimpinan yang telah diberikan mandat:

 

  1. Musa bin Amin - Ahli Majlis Perbandaran/Daerah   - MPKB (berbangsa India dan beragama Islam)

  2. Renugopal - Majlis Daerah K.Krai Selatan (berbangsa India dan beragama Hindu)

  3. Hoo Pang Chau - MPKB (berbangsa Cina dan beragama Buddha)

  4. Eh Long A/L Cha Sar - Majlis Daerah Pasir Mas

  5. Ting Lai Hong - Majlis Daerah Pasir Mas

  6. Tan Keng Liang - Majlis Daerah Bachok

  7. Lee Chong Seng - Majlis Daerah Bachok

  8. Gen Gang @Tan Gim Yong - Majlis Daerah Pasir Puteh

  9. Lim Min Wang - Majlis Daerah Pasir Puteh

  10. Amavasay A/L - Majlis Daerah K.Krai Selatan

  11. Munusamy Sri Seva A/L George - Majlis Daerah Tanah Merah

  12. Tion Lit Tee - Majlis Daerah Tanah Merah

  13. Foo Sheek Chiang - Majlis Daerah K.Krai Utara

  14. Renu Gopal A/L Senigi Rayah - Majlis Daerah K.Krai Utara

  15. Chong Khek Yong - Majlis Daerah Gua Musang

  16. Balasalthiram A/L Parasupramaniam - Majlis Daerah Gua Musang

 

Penghulu Tanpa Mukim

  1. Kha So Cheng - Perupok, Bachok

  2. Lee Yih Yeong - Kota, Kota Bharu

  3. Khoo Lye Hock - Panji, Kota Bharu

  4. Wee Chee Chai - Peringat, Kota Bharu

  5. Chua Ing Ching - Salor, Kota Bharu

  6. Amavasay A/L Munisamy - Kuala Krai

  7. Leong Loy Nyek - Pulai Chondong, Machang

  8. Ooi Kee Siang - Temangan, Machang

  9. Eh Lian A/L Cha Chai - Gual Periok, Pasir Mas

  10. Lee Bong Hai - Limbongan, Pasir Puteh

  11. Eh Pot A/L Eh Boom - Semerak, Pasir Puteh

  12. Kho Kim Siong - Ulu Kusial, Tanah Merah

  13. Ngappan A/L Renu - Ulu Kusial, Tanah Merah

  14. Eh Chon A/L Cha Di - Jal, Tumpat

  15. Chia Wang Song - Terbak, Tumpat

  16. Loke Yuan - Wakaf Bharu, Tumpat

 

Mari kita bandingkan dengan tuduhan Perdana Menteri yang berbunyi:   “tidak ada tanda-tanda yang mereka mahu bekerja dengan kaum lain.”   Entahlah!    Cakap Perdana Menteri semakin sehari semakin tidak cermat dan kehilangan asas.  Berehatlah.   Beliau perlu banyak beristighfar dan banyak bertenang.          

 

          Begitu juga dengan cara hidup masyarakat berbilang kaum di Kelantan.   Mereka sudah hidup   12 tahun dengan penuh  harmoni.    Mereka  memenuhi  Pasar  Siti Khadijah, restoran, kedai kopi, supermarket dan bazar, baik di bandar mahupun di luar bandar tanpa sentimen kebencian seperti yang cuba digemparkan oleh Perdana Menteri.   Malah terdapat perkampungan masyarakat Siam atau Cina yang hidup di tengah-tengah lautan perkampungan orang Melayu.   Kami tidak ada masalah.   Islam yang dibawa penuh dengan toleransi,  tolak  ansur,  hormat  menghormati,   walaupun  mereka berada dalam perbezaan cara hidup dan adat resam serta  amalan beragama.    Saya ambil contoh di Kelantan semata-mata untuk membuktikan perihal munasabah dan relevannya Islam.   Tidak timbul  sama sekali suasana yang disebutkan  oleh  Perdana Menteri.    Kononnya  PAS  memburukkan keadaan dengan merenggangkan hubungan antara anak-anak orang Melayu dan orang Cina supaya mereka tidak bercampur dengan rakan daripada kaum lain (Mingguan Malaysia 28 Julai 2002).   Jelaslah di sini ianya karut.

 

          Baru semalam, sebuah pasar yang bernama ‘Pasar Pohon Pinang’ telah dilancarkan di Bandar Kota Bharu sebagai Pasar Pelbagai Kaum.    Pasar ini mengandungi 80 peniaga yang bercampur antara peniaga Melayu, Cina dan Siam.   Pasar ini telah berjalan hampir 40 tahun.   Tidak pernah satu ketika pun disepanjang tempoh tersebut, berlaku rusuhan dan konflik yang menggugurkan sehelai bulu roma orang Cina, Siam atau India.

 

          Saya sungguh khuatir, jangan-jangan UMNO sengaja mahu menimbulkan kerosakan dan sikap prejudis antara bangsa-bangsa di Malaysia.    Keadaan yang reda dan tenang mungkin kurang menyelamatkan UMNO.    Dengan ketenangan, UMNO khuatir masyarakat bukan Islam lebih berupaya memerhati dan terpikat dengan amalan Islam yang dibawa oleh PAS.   Mereka bimbang.   UMNO seolah-seolah sengaja timbulkan prasangka kaum.  Inilah modal dan strategi UMNO.   Perhatikanlah.  Sekali UMNO takut-takutkan masyarakat bukan Islam dengan bahaya puak pelampau.  

Setelah dikira ketakutan telah mulai dirasai, maka mulalah dia memperlihatkan wajahnya yang kononnya sederhana.  UMNO pernah hina Hudud.   UMNO pernah hina janggut Nabi.   UMNO pernah mahu mengharamkan penggunaan Perkataan Islam.  UMNO

 

pernah hina Ulama’.   Ini semua perkara sensitif.   Usahkan antara kaum, masyarakat Islam dan Melayu yang  memahami Islam pun tentunya gelisah dengan tindak tanduk pemimpin UMNO.   Sebab itu mengikut penganalisis politik, undi orang Melayu kepada BA telah meningkat kepada 80 peratus dalam Pilihanraya Kecil  Anak Bukit dan Parlimen Pendang. Politik pecah dan perintah (divide dan rule) tidak sukar difahami kerana UMNO itu sendiripun wujud diatas dasar kaum bangsa yakni bangsa Melayu.   Bila akan selesai apabila formula Melayu yang meninggalkan Al-Quran dan Hadith diberi amanah untuk memikul tanggungjawab bagi melahirkan kedamaian, keharmonian, keadilan dan kestabilan.

 

          PAS membawa Islam bersamanya.  Dalam Islam, ada formula berpandukan kerjasama dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.   Dalam Islam, ada tuntutan untuk menghormati perbezaan dalam cara hidup.    Firman Allah yang bermaksud:

 

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.   Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus.   Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

                                                           

(Surah Al-Baqarah:  Ayat 256)

Ini adalah sebuah jaminan toleransi yang amat besar maknanya dalam kehidupan bernegara.    PAS telah menunjukkan komitmennya dalam memenuhi janji ini.   Contohnya ada di Kelantan sekarang.   Sudah 12 tahun ianya begitu.   Kini ianya berkembang di Negeri Terengganu pula.  InsyaAllah,   tuduhan Perdana Menteri akan dilihat oleh rakyat Malaysia dengan segala kesangsian apabila mereka membandingkan suasana kedamaian dan toleransi di Negeri Kelantan Darulnaim.

 

          Jemputlah ke Kelantan dalam Musim ‘Cuti-Cuti Malaysia’ yang terdekat.   “Welcome to Kelantan in peace”.

 

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

Kota Bharu.

Bertarikh:17 Jamadil Awal 1423 / 28 Julai 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates