Home ]

2002/08/06:::TAUBAT: NIK AZIZ ATAU AB. HAMID ATAU SIAPA?

Back ] Next ]

 

MINDA  TOK  GURU

 

TAUBAT:    NIK AZIZ ATAU AB. HAMID ATAU SIAPA?

 

Saya ingat dengan penjelasan seperti yang telah saya lakukan dan dilaporkan dengan baik oleh Berita Harian bertarikh 1 Ogos 2002, isu ‘samseng’ selesai, rupa-rupanya tidak.    Masih ada seorang lagi warganegara Malaysia yang berpangkat Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang masih belum puas nafsunya.    Sementara rata-rata masyarakat Malaysia yang waras dan sempat ditemui menghela nafas lega dengan penjelasan saya itu, satu-satunya Penasihat Agama kepada Dr. Mahathir ini telah mendesak saya agar tetap masih perlu bertaubat.    Beliau ini Mufti atau penasihat?     Ini kerja Mufti.  Jika mahu nasihat, nasihatlah dengan baik.   Jangan main pakai borong tugas Mufti pula.

 

          Keduanya, beliau ada mengatakan bahawa “tanyalah mana-mana orang alim, jawapannya tetap sama.”    Saya nak tanyalah.   Sudahkah beliau bertanyakan orang alim.   Kalau sudah, rakyat Malaysia mahu tahu, siapa!    Kalau belum, saya minta beliau berbuat demikian terlebih dahulu.    Ambil keseluruhan teks kuliah saya dalam konteksnya yang penuh, asli dan tanpa penyesuaian, baru bertanyakan  ‘orang alim’  yang  mahu dirujuk.   Kemudian, kembali semula kepada rakyat Malaysia. 

 

          Ketiganya, saya mahu ajak Ustaz Ab. Hamid Othman kembali menghayati semula pengajian mengenai  ‘Sifat 20’.   Ambil satu contoh sifat Allah yang pertama iaitu  Wujud  yang bererti  Ada.   Makhluk pun mempunyai sifat wujud yakni ada.    Adakah wujud makhluk,  sama dengan Wujudnya Allah?   Tentunya tidak.    Ini diajar dan berakar umbi dalam pengajian  ‘Sifat 20’.   Sudah berkurun ianya diterima oleh Umat Islam.    Kaedah ini cuma menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk diperingkat muqaddimah.

 

          Setelah dihurai dalam bentuk perbandingan, tahulah Umat Islam bahawa mesejnya ialah untuk membesarkan kewujudan Allah serta kekuasaannya jika dibandingkan dengan nisbah kewujudan manusia atau makhluk yang serba lemah dan bersifat ‘dijadi’.    Hakikat “adanya”  itu, walaupun wujud tetapi tidak sekali-kali sama dengan kewujudan Allah yang Maha Sempurna.    Begitulah dengan Qidam, Baqa’ dan seterusnya.   Kelirukah?     Soalnya di sini, salahkah untuk meminjam perkataan Mutakabbir milik Allah yang mutlak itu buat sementara untuk dibandingkan dengan apa yang kononnya ada pada makhluk?  Kemudian, salahkah untuk menggunakan sikap takabbur yang kononnya ada pada manusia itu lalu dibandingkan dengan sifat  Al-Mutakabbirin Allah?    Perkataan mutakabbir itu pun berasal dari bahasa Arab dan perkataan takabbur itu pun juga berasal dari bahasa Arab.   Perkataan bahasa Melayu yang mudah difahami dalam budaya masyarakat Kelantan, tempat yang kebetulan saya berkuliah mengenai  maudhu’  ini ialah ‘samseng’.   Samseng atau ‘gedebe’ amat mudah difahami di sini.   Selaku seorang ustaz, mustahil Tan Sri Dr. Ab. Hamid bin Othman tidak faham tentang perihal keperluan berbijaksana dalam memilih uslub dakwah ketika berceramah.  Atau Dr. Ab. Hamid telah lama meninggalkan bidang ini, tak tahulah pula saya?

 

          Lebih-lebih lagi bila diterjemahkan sifat (as-Samii’) dengan makna Yang Mendengar, (al-Bashir) dengan makna Yang Melihat, (al-Mutakallim) dengan makna Yang Berkata-kata dan lain-lain; semua terjemahan itu tentu ada persamaan dengan sifat makhluk.

 

Untuk mengelak daripada takut serupa, bolehkah saya kata bahawa:

 

-         Beliau sendiri tidak mendengar (tuli) kerana takut serupa dengan sifat Tuhan?

 

-         Beliau sendiri tidak melihat (buta) kerana takut sama dengan sifat Tuhan?

 

-         Bahkan beliau sendiri tidak ada di dunia ini, kerana takut serupa dengan sifat Tuhan? 

 

          Betulkah kenyataan saya seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian (Lihat Berita Harian 2  Ogos 2002) menyebabkan orang ramai terkeliru atau Dr. Ab. Hamid sahaja yang keliru atau buat-buat keliru?  Saya lebih merasakan Dr. Ab. Hamid yang perlu bertaubat kerana cuba-cuba menimbulkan kekeliruan keatas sesuatu yang sudah jelas.   Dengan kekeliruan sebeginilah barangkali sering Perdana Menteri kita pula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang serba mencuriga dan mengelirukan mengenai Islam.

 

          Selaras dengan ini, jika bolehlah saya menasihati Ustaz Ab. Hamid, saya benar-benar berharap agar beliau kembali bermuhasabah tentang dirinya.   Berperananlah sebagai Penasihat Agama Islam yang beramanah.    Jika beliau sudah merasakan beliau sudah memainkan peranan sebaik penasihat-penasihat agama di zaman kegemilangan Islam terdahulu, maka saya ucapkan syabas.   Tiadalah daya upaya saya.   Saya dengan ini berlepas tangan.   Mungkin perlu saya ucapkan:    “Teruskan khidmat  cemerlang anda”.    Sebaliknya jika dhamir dan suara hati beliau memahami dan  mampu  menyelami  maksud  kebenaran  apa  yang  saya cuba sampaikan maka saya pohon beliau bertaubatlah.   Mohonlah keampunan sama ada secara tertutup atau terbuka.   Berpegang dan  berpihaklah kepada kebenaran.     Bukankah Allah S.W.T.  Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui tentang setiap gerak dari segala isi hati?   Saya percaya masanya masih belum terlambat.   Sesat di hujung  jalan,  kembalilah  ke pangkal jalan.    Jangan rosakkan ilmu kerana menurut nafsu keduniaan.    Bukankah kita akhirnya akan diadili secara berseorangan di hadapan Allah S.W.T.  termasuk saya!     Hidup kita bukannya lama.   Beringatlah:

 

“Dan demikian (pula) diantara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya).   Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hambaNya, hanyalah ulama’.   Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” 

                                                                                         (Surah  Faathir:  Ayat 28)

 

 

Tidak mungkin maksud Ayat ini tidak ada kena mengena dengan seorang yang berpangkat Penasihat Agama kepada seorang Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya.

 

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

Kota Bharu. 

Bertarikh: 24 Jamadil Awal 1423 / 4 Ogos 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates