Home ]

2002/06/22:::Salah Melayu atau Pemimpin Melayu

Back ] Next ]

 

SALAH MELAYU ATAU SALAH PEMIMPIN MELAYU?

 

(Nik Abdul Aziz Nik Mat )

Menteri Besar Kelantan.

 

      Saya ingat,saya perlu ulas sedikit keluhan Perdana Menteri . Beliau berkata , beliau sudah tidak tahu nak buat apa dengan orang Melayu . Saya nak campur sikitlah kerana saya pun orang Melayu .

 

      Orang Melayu ni , dia ada kiblat .Dia ada Quran dan Hadith . Islam bertapak di Tanah Melayu mengikut penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada tahun 1303 . Pengislaman Parameswara di tahun 1414 di Melaka adalah satu lagi titik tolak . Kita juga ada mendengar kisah seorang sultan di alam Melayu yang bermimpi disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini semua ada tercatat di dalam sejarah dan kisah-kisah riwayat orang Melayu . Ada teori kedatangan Islam ke alam Melayu . Jangan dibuat mudah .Orang Melayu ada sejarahnya . Ada kiblatnya . Ada pancangnya. Jangan dipecat sesuka hati . Huru-hara jadinya .

 

      Orang Melayu ini telah menjadi Islam sejak kira-kira 600 tahun yang lalu . Ini menunjukkan mereka telah lama berpegang,berkeyakinan dan beriman dengan Al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w . Sepatutnya , jika adalah serba sedikit lagi kepercayaan khurafat, syirik dan tahyul , kerajaan yang memerintah di sepanjang tempoh itulah yang bertanggungjawab mengikisnya . Saya perhatikan ini juga telah turut berlaku . Bagaimanapun , dengan kemasukan penjajah Inggeris , terbantut teruslah segala usaha ini .Yang ada ialah urusan pemerintahan di monopoli oleh Inggeris . Islam tinggal setakat amalan mengucap , sembahyang , puasa , zakat , haji dan nikah kahwin sahaja .

 

      Datang kemerdekaan , UMNO terus menyambung cara sekular ini . Agama suku , politik suku . Ini yang kita tubuhkan PAS . Kita letak semula asas kiblat orang Melayu supaya bergerak kembali kepada paksi Al-Quran dan Sunnah . Oleh kerana benda ini betul , orang Islam mula kembali . Ini kerana dari sejak turun-temurun , mereka memang mempunyai asas beragama . Mereka mudah faham . Dengan sedikit dakwah,tarbiyyah dan pendedahan , lama-kelamaan orang Melayu mulai kembali kepada kerangka Islam yang sebenar dan yang telah sebahagiannya menjadi amalan nenek – moyang mereka .

 

      Sementara itu , UMNO  masih ditakuk lama . Dia masih sibuk menjaja idea penjajah . Politik suku , agama suku . Yang cuba dia bawa ke tengah hanyalah untuk membesarkan Melayu dalam semangat kebangsaan yang sempit . Sudahlah begitu , dia melawan Islam pulaKalau perlu ,tinggalkan Islam pun tinggallah asalkan Melayu boleh cemerlang .Dah Melayu sekarang ini sudah cemerlang setelah 45 tahun kita merdeka ?

 

      Mari Perdana Menteri sekarang pun inilah juga yang menjadi tekanan . Dia malah mahu lebih cepat bangunkan orang Melayu . Kalau patut ubah suai Islam , ubah suailah . Kalau patut tinggal sebahagian dari Islam, tinggalkan lah. Kalau patut tafsir semula Quran,tafsir semulalah . Janji , Melayu maju dan menjadi bangsa yang maju di dunia . Akhirat itu masing-masinglah . Inilah cerita sekular UMNO yang jelas bercanggah dengan Islam .

 

      Mulai dari situlah , disepanjang 21 tahun kita lihat UMNO tidak pernah tetap pendiriannya . Dia mencari formula dan kaedah mengikut petunjuk hawa nafsu semata –mata . Sebab itu , setelah 21 tahun dibawah pemerintahan UMNO , Perdana Menteri mengaku dah semalam dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Jun 2002 bahawa beliau sudah bingung dan habis ikhtiar . Sejak tahun 1991 di Perhimpunan Agung UMNO , beliau telah bercakap tentang melahirkan Melayu baru.Mengikut Dr Mahathir , “ Melayu baru itu mesti mempunyai budaya yang sesuai dengan aliran zaman , yang sanggup menghadapi segala cabaran , yang dapat bersaing tanpa bantuan , yang terpelajar dan berilmu , canggih , jujur , berdisiplin , amanah dan cekap “. Semalam di Perhimpunan Agung pada 20 Jun 2002 , dia masih mengulangi hal yang sama . Cuba perhatikan , tidak disebut langsung pun soal melahirkan orang Melayu yang bertaqwa dan beramal soleh sebagai agenda pembentukan ummah. Pada tahun lepas , beliau menangis dan  kesal dangan Melayu yang lupa . Melayu yang bertaqwa di mana? .

 

      Jadi , tidak mustahillah tidak lahirnya Melayu yang baru itu . Baru yang sebenar ialah apabila diperbaharui dengan usaha tajdid , usaha untuk kembali kepada nilai-nilai asal kejadian insan  yang telah dimusnahkan oleh penjajah . Dengan kembali kepada Islam sahajalah akan lahirnya pembaharuan dalam jiwa dan cara hidup orang Melayu . Ini tidak. Dia seru benda lain dan gunakan kaedah yang lain . Kaedah logik akal yang Islam pun tidak, Melayu pun bukan . Oleh sebab itu sekarang dia masih mengeluh dan mengaku telah gagal untuk mengubah orang Melayu . Ini pengakuan seorang Perdana Menteri . Baru semalam . Gagal bermakna , gagallah .Apalagi ! Apa tak gagalnya apabila semua bukti menunjukkan begitu . Penagih dadah terbesar negara adalah orang Melayu . Golongan termiskin rata-ratanya orang Melayu . Peratus yang rasuah dan pecah amanah tinggi di kalangan orang Melayu . Tidak kurang juga dengan skandal penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu . Mereka yang ketinggalan dalam pelajaran adalah anak Melayu . Penguasaan di bidang teknologi dan perniagaan menampakkan kekurangan orang Melayu . Peratus kes-kes pecah rumah , lepak , vandalisme , sumbang mahram , rogol , judi , penghidu gam ,pengambilan pil-pil khayal , GRO , penghibur di nite club  termasuk pelbagai jenayah kolar putih rata-ratanya melibatkan anak Melayu . Ini kegagalan UMNO . Tidak ada kena-mengena dengan PAS .Yang tidak berubah adalah orang UMNO . Yang kedekut dan pemalas adalah orang UMNO .Yang tamakkan kuasa adalah orang UMNO .Yang buat salah tetapi dilindungi dan tidak mengaku salah ialah orang UMNO . Yang jual baja subsidi dan lesen-lesen kontrak ialah orang UMNO .Semua mahu cepat kaya macam Pak Man Telo dalam mengaut pengaruh .Yang tangkap orang tanpa bukti dan sumbat lokap ISA ialah kerja UMNO . Yang hilang duit dalam Tabung Haji , Baitulmal Selangor ,AIM , PPRT , kerugian MAS dan kerugian PERWAJA ada kaitan dengan UMNO.Hatta , nak buang kuota Melayu dari tangan orang Melayu juga kerja pemimpin UMNO .Bagaimana orang Melayu nak jadikan pemimpin UMNO sebagai contoh . Bersih,cekap dan amanah ; konon ! Mana?

 

      Pemimpin UMNO lah juga yang putuskan nak haramkan penggunaan perkataan Islam . Pemimpin UMNO jugalah yang menyuruh kitab suci Al-Quran ditafsirkan semula . Pemimpin UMNO jugalah yang menghina janggut Nabi . Pemimpin UMNO lah juga yang mengatakan “ kalau nak makan sup tangan , silalah ke Kelantan .” Akhir-akhir ini pula orang yang pakai kopiah sudah mula dicemuh . Pemimpin UMNO lah juga yang kata bermacam-macam lagi mengenai hukum Islam.Semuanya seakan-akan menyemai benih-benih penolakkan kepada semangat taqwa dan cintakan syariat Islam . Macamana orang Melayu mahu hormat . Ini yang mereka mencari PAS sebagai alternatif . Ini yang hampir 70 % pengundi Melayu berpihak kepada BA di tahun 1999 .  Jangan terkejut jika meningkat lagi sokongan kepada BA di dalam pilihanraya akan  datang . Orang Melayu sebenarnya sudah naik muak dan bingung . Tak bingung macamana . Sekali disuruh orang Melayu berjimat cermat sedangkan pemimpin membuat istana dan membeli jet peribadi bernilai beratus juta .Selamba saja . Pemimpin nasihat orang Melayu simpan duit dalam Tabung Haji , tetapi rupanya masih tidak selamat . Rakyat Melayu diingatkan jangan membazir , tetapi pemimpin Melayu sibuk membazir dalam projek-projek mega untuk memperkayakan  dua tiga kerat ahli korporat proksi pemimpin  UMNO . Bila mereka rugi , duit rakyat yang di korbankan untuk membuat “ bail-out”.Kesian orang Melayu ! Memang gawat dan memang membingungkan .

 

      Sementara ini semua berlaku , orang Melayu dalam PAS dan mereka yang berkecenderungan agama terus berubah . Dari malas menjadi rajin. Dari kedekut menjadi pemurah . Dari mendedah aurat kepada menutup aurat . Dari mengamalkan Islam setakat sembahyang puasa kepada Islam dalam bentuk yang komprehensif untuk memerintah negeri dan negara demi memartabatkan agama Islam . Kebahagiaan yang dituju ialah dunia dan akhirat . Mereka terus tetap memilih untuk berada di bawah PAS di Kelantan dan Terengganu walaupun mereka faham PAS adalah parti yang miskin . Orang PAS tetap berubah bersama pemimpin mereka yang sentiasa menganjur dan mempelopori perubahan . Mereka  Membangun Bersama Islam. Mereka tidak bingung kerana pemimpin mereka tidak bingung .

 

      Bingung –bingung ini apabila pemimpin sendiri tidak jelas  nak  bawa rakyat ke mana . Dia tidak faham destinasi . Orang Melayu yang menyokong dan menaiki bas ekspres UMNO sebagai penumpang naik bingung dan keliru apabila pemandu bas sekejap-sekejap berpatah balik , sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri . Sekali go ahead , dan sekali gostan . Misalnya dulu nak daulat penggunaan Bahasa Melayu . Apabila hampir tercapai , berpatah balik pula nak guna Bahasa Inggeris . Dulu isytihar penggunaan bahasa baku . Punya sibuklah penguatkuasaan sehingga bulat mata – mata pengacara TV3sebut perkataan baku.Semua sekolah di seluruh Malaysia di paksa menggunakan bahasa baku . Kini bila Anwar Ibrahim di buang , bahasa baku pun turut dikuburkan . Dulu elok-elok ada tulisan jawi , Menteri Pelajaran UMNO pada ketika itu juga yang buang . Sekarang mula nak galakkan pula orang Melayu belajar tulisan jawi . Dulu bukan main berjuang untuk adakan fasal Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Perlembagaan . Kini bila hak itu sudah termaktub dan tidak boleh dibangkit-bangkitkan lagi , pemimpin UMNO jugalah yang nak cungkil dan cuba-cuba hapuskan pula . Dulu anak Melayu dapat biasiswa kini mana pergi biasiswa . Dulu kata Islam tidak boleh laksana kerana masyarakat majmuk , sekarang negara diisytiharkan negara Islam walaupun masyarakat masih majmuk . Boleh Islam tetapi tidak boleh pinda Perlembagaan.Pulak ! Walaupun negara sudah Islam , tidak boleh laksana undang-undang Islam.Pulak! Dulu cabar Kelantan laksana hudud . Sekarang sekat . Pulak!Begitu juga di Terengganu . Dulu ITM dan MRSM adalah hak mutlak orang Melayu . Dulu ada tanah simpanan Melayu . Tak lama yang tinggal hanyalah Keretapi Tanah Melayu . Pendek kata terlalu banyak dilemma . Tak satu pun yang tetap . Bila di soal , dia kata demokratiklah , pragmatiklah , Islamiklah , dinamiklah – semuanya penuh dengan dolak-dalik .Sudahnya orang Melayu pula yang nak di salahkan . Semua dosa dihumban untuk dipikul oleh orang Melayu . Pemimpin UMNO Melayu lepas tangan . Dilepaskan batuk dalam bentuk pertanyaan ; “salah beliau atau salah orang Melayu ?” (U.M 20 Jun 2002 )

 

      Patutlah . Sudah 21 tahun memandu tempat yang dituju tak sampai – sampai .Sudahnya dibumi tak jejak ke langit tak sampai . Allah pun tak sembah , berhala pun tak puja . Jika dilaut,nakhoda begini dipanggil orang sebagai tidak tahu meletak sauh dan tidak tahu pun dasar laut tohor atau dalam.Jika bahtera pun dia sudah tidak tahu ke mana nak pergi. Arah kompas dan pedoman pelayaran di dunia untuk ke Akhirat pun dia tidak faham .Munasabahlah penumpang menjadi bingung sebingung-bingungnya. Jangan terkejut jika 21 tahun kemudian orang yang sama akan mengeluh yang dia kata dia sudah tidak tahu apalagi yang nak dibuat .

 

      Dalam keadaan inilah jawapan boleh dicari samada orang Melayu yang patut disalahkan atau para pemimpin Melayu yang mungkin sudah tidak relevan. Siapa agaknya yang bersalah ?

 

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 11 Rabiulakhir 1423

                  22 Jun 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates