| 
                  MINDA TOK GURU  
                  SAMSENG:SAYA MENUNGGU 
                  HAMID OTHMAN 
                  
                    
                     Saya perhatikan jawapan yang 
                  cuba dikemukakan oleh Dato’ Zainuddin Maidin, Setiausaha 
                  Parlimen Kementerian Penerangan sangat mengelirukan .Walaupun 
                  beliau cuba mewajarkan klip video “Isu Samseng” digunakan oleh 
                  RTM , namun ia lebih menyesatkan orang ramai . Saya tidak 
                  faham benang basah yang cuba ditegakkan oleh beliau itu . RTM 
                  tidak mensensasikan bagaimana kalau ucapan penuh yang 
                  mengambil masa satu jam cuma dipotong dan di klip dalam tempoh 
                  tak sampai 10 saat . 
                    
                     Saya tahu ilmu agama Tan Sri 
                  Dr Abd. Hamid Othman lebih mendalam dari Zainuddin.  
                  Bagaimanapun tak lah pula saya sangka yang ilmu agama beliau 
                  sebegitu cetek . Mana ada nama Tuhan  Al-Muttaqin. 
                  Al-Muttaqin 
                  bermakna” orang yang bertaqwa .”Apa yang saya tunggu ialah 
                  respon Dr. Abdul Hamid yang sehingga kini masih berdiam diri 
                  di atas hujah saya yang pernah dimuatkan dalam akhbar Berita 
                  Harian bertarikh: 5     Ogos 2002. Selagi Dr. Abd. Hamid 
                  berdiam diri, saya tetap masih menunggu . Mana boleh menyebut seorang pejuang agama dengan rosak aqidah dan meminta 
                  agar bertaubat tanpa  cukup bukti .Dengan segala sangka baik 
                  dan kepercayaan masyarakat Islam , saya telah diberikan amanah 
                  sehingga dilantik menjadi Mursyidul Am PAS . Maruah adalah 
                  harga diri yang wajib dipertahankan apalagi apabila berdepan 
                  dengan fitnah dan khianat media yang sangat berniat 
                  jahat. Usaha Zainudin Maidin ini kalau tak silap saya sesuai 
                  sangat dipanggil dalam peribahasa Melayu sebagai “Hidung tak 
                  mancung, pipi tersorong-sorong .”  
                    
                              Kepada   beliau, 
                  suka saya  berpesan satu sahaja.  Barangkali tidak payahlah 
                  beliau membuang masa untuk menasihati penduduk-penduduk di 
                  Kelantan mengenai apa itu Ulama’ ,apa itu Tok 
                  Guru dan siapakah orang yang patut diberikan penghormatan. Ini Serambi Mekah. Ilmu agama  
                  menjadi sebahagian daripada cara hidup disini .Ia bertapak 
                  berkurun lamanya. Yakinkah RTM bahawa video klip sedemikian 
                  akan memberi kesedaran kepada masyarakat seperti yang 
                  dikhayalkan oleh Zainuddin? Samada beliau faham istilah ibadat 
                  dan istilah candu yang dimainkan oleh beliau itu; entahlah! 
                  Beliau sesungguhnya perlu mengaji lagi. Mengatakan saya 
                  menggunakan agama sebagai candu adalah percubaan untuk 
                  menyamakan ideologi komunis dalam memahami agama. Agama adalah 
                  benda yang mengkhayalkan mengikut mereka. 
                    
                     Bagi fahaman Komunis , Tuhan 
                  itu ciptaan dan hasil khayalan manusia . Ia candu masyarakat. 
                  Sebaliknya, seperti mana-mana orang mukmin, saya beriman dengan 
                  Allah sepenuhnya. Saya berusaha mengikut jejak langkah Nabi 
                  Muhammad s.a.w , nabi-nabi dan para rasul sebelumnya. Jika saya 
                  dituduh berkhayal dan memberi candu kepada masyarakat 
                  sedangkan saya mematuhi Allah dan rasulNya , apakah bermakna 
                  Rasulullah s.a.w juga turut mahu dituduh sebagai pengkhayal 
                  yang menyogok candu kepada umatnya? Zainuddin nampaknya 
                  membuat tuduhan yang cukup serius . Candu dan dadah adalah 
                  musuh agama dan negara. Menuduh saya sebagai candu yang 
                  mengkhayalkan masyarakat adalah unsur “defamation” . Ia amat 
                  bersifat “mala fide” yang boleh menggugat maruah dan integriti 
                  saya. Jangan terkejut jika mendengar saya sedang mendapatkan 
                  nasihat undang-undang untuk membawa orang ini ke kamar 
                  pengadilan. Saksikanlah!  
                    
                   Saya tidak pernah berkhayal 
                  malah saya sedang melaksanakan Islam sudah 12 tahun di 
                  Kelantan Darul Naim . Ini bukan kerja main-main atau mimpi Mat 
                  Jenin . Masyarakat pengundi di Kelantan sudah rela menerima 
                  Islam. Disebabkan mereka fahamlah, mereka memilih PAS. Dari 
                  fahamlah timbul kecerdikan. Perkara kecerdikan orang Kelantan 
                  turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri . Saya khuatir 
                  jangan–jangan mereka lebih cerdik daripada Saudara Zainuddin 
                  . Kalau sudah nama Allah pun disebut sebagai Al-Muttaqin, yang 
                  bermakna” orang yang bertaqwa,”(Lihat Berita Harian 14 OGOS 
                  2002) . Saya tidak tahulah maqam dan status ilmu orang ini. 
                  Kononnya beliau mahu mengajar  orang Kelantan. 
                  Masyaallah! Tidak cukup dengan itu, “ustaz” Zainuddin kita ini 
                  mahu mengajar pula tentang definisi apa itu ibadat.  Kita 
                  jangan sampai ditertawakan oleh si bisu! 
                    
                     Sementara kita tinggalkan 
                  Zainuddin Maidin bermenung disitu, saya nak bertanya satu 
                  soalan yang mudah daripada “isu samseng” yang 
                  digembar-gemburkan ini . Apa tujuannya ? Adakah ianya untuk 
                  menjaga aqidah saya atau aqidah rakyat daripada terpesong ? 
                  Kalau kononnya terlalu “ concern” mengenai pencemaran aqidah, 
                  mengapa tidak dipersoalkan mereka yang dengan jelas 
                  mempersenda-sendakan agama . 
                    
                  
                  Contohnya: 
                  a) Kenyataan Dr. Mahathir 
                  di Seremban . 
                  “Kita tahu ia (hukum hudud 
                  ) memang tidak boleh dilaksanakan. Saya tidak khuatir jika ada orang kata saya tak Islam , malah pendirian saya 
                  lebih Islam.” 
                  (Berita Harian,13 Ogos 
                  1999,Gaji guru terjamin) 
                    
                  
                  b)
                  Kenyataan Yang 
                  Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dato’ Mohd Nakhaei 
                  Ahmad, di Seremban. 
                  “Hukum hudud tidak wajib 
                  dilaksanakan di negara ini”. 
                  (Berita Harian,16 
                  Disember 1991, hukum hudud belum wajib: Nakhaei) 
                    
                  c) Kenyataan Ahli 
                  Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Dr Yusof Nor, di Jerteh 
                  “Apa yang lebih penting (ialah) 
                  berusaha memberi kesedaran kepada setiap     masyarakat Islam 
                  mengenai perkara yang dilarang dan bukannya memaksa dengan 
                  hukuman(hudud)”. 
                  (Berita Minggu,19April 
                  1992, Betulkan solat sebelum hudud) 
                    
                  d)
                  Rencana Setiausaha 
                  Politik Perdana Menteri, Dato’ Dusuki Ahmad. 
                  “Tidak melaksanakan hukum hudud 
                  dalam keadaan dan suasana sekeliling yang ada hari ini juga 
                  adalah menurut hukum Allah”. 
                  (Berita Harian ,8 Mei 1992,Hudud: keadilan atau sekadar satu pelarian) 
                    
                  e)
                  Kenyataan Yang 
                  Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dato’ Mohd Nakhaei 
                  Ahmad, di Shah Alam. 
                  “Tidak berdosa jika kita tidak 
                  melaksanakan hukum hudud”. 
                  (Berita Harian,10 Ogos 
                  1992, Zalim jika tidak teliti) 
                    
                  f)
                  Kenyataan 
                  Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abd Hamid 
                  Othman, di Seremban . 
                  “Tidak benar jika dikatakan akan 
                  masuk Neraka jika tiada hukum hudud”. 
                  (Berita Harian,12 Jun 
                  2002, Pelaksanaan secara berperingkat) 
                    
                  g) Kenyataan Dr 
                  Mahathir di Pekan, Pahang. 
                  “Kalau disesuatu tempat 
                  penduduknya seratus peratus Islam dan tidak ada sebarang 
                  masalah, kita boleh laksanakan apa yang dikehendaki oleh agama 
                  bagi tempat yang seratus peratus penduduk Islam(hukum hudud). 
                  (Berita 
                  Harian,26,November 1993,Hudud: Pusat kaji tujuan PAS) 
                    
                  h) Kenyataan Dr  
                  Mahathir di Papar, Sabah . 
                  “Hukum hudud tidak sesuai 
                  dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat yang 
                  berbilang kaum dan agama.” 
                  (Utusan Malaysia,2 Mei 
                  1992,PM: Hudud tanpa adil kepada semua tak boleh dilaksanakan).  
                    
                  (Semua petikan dan perbincangan 
                  terperinci boleh diikuti  dari  buku bertajuk “UMNO tolak 
                  Hudud “- Saudara Anual Bakhri Haron). 
                    
                  Ini belum lagi disentuh tentang 
                  kes menghina janggut Nabi dan mengatakan “Tuhan sudah mati.”  
                    
                     Semua perkara ini  boleh 
                  merosakkan aqidah. Daripada contoh yang banyak seperti di atas, 
                  cuba kita ambil satu sahaja. Perkara Islam tidak dibenarkan 
                  dilaksanakan kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat 
                  majmuk. Di sini  bolehkah UMNO tunjukkan tempat yang tiada 
                  masyarakat majmuk . Sampai kiamat pun masyarakat tetap majmuk 
                  dimana-mana. Ini bermakna, UMNO memang mahu menepis Islam dari 
                  diamalkan di Malaysia secara komprehensif. Dengan demikian 
                  juga, jelaslah UMNO lebih kurang sama dengan kuasa besar dunia 
                  atau mungkin sedang menyertai satu usaha antarabangsa yang 
                  amat jahat demi memusuhi Islam dari ditegakkan dan 
                  dilaksanakan dimana-mana penjuru di planet Bumi . 
                    
                     Berbalik kepada Dr. Abd. 
                  Hamid Othman, saya tetap masih menunggu jawapan secara ilmu 
                  daripada beliau. Adakah beliau sedang mabuk menghidu candu 
                  sehingga terlalai untuk memberikan jawapan selaras dengan 
                  teori karut Zainuddin Maidin? Atau beliau sudah menjadi 
                  umpama kambing yang bertemu butir bachang; nak ditelan tidak 
                  boleh dan nak diluah terasa  sayang. Jika beliau tidak mampu 
                  mengemukakan jawapan, saya tuntut beliau memohon maaf secara 
                  terbuka. Adalah suatu kesalahan besar untuk menuduh pejuang 
                  agama terpesong aqidahnya dan mengharapkan saya agar bertaubat. Beliau perlu memilih samada menjawab persoalan yang saya 
                  kemukakan dengan penuh ilmu atau mengaku bersalah. Saya 
                  sedang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang jika 
                  beliau terus-menerus mengambil sikap tidak bertanggungjawab. 
                  Saya perhatikan terdapat banyak instrumen undang-undang yang 
                  boleh membawa beliau ke tengah dalam hal tuduhan yang 
                  berkaitan. Semua orang tahu bahawa menyuruh seseorang 
                  bertaubat adalah bagi mereka yang melakukan dosa-dosa besar 
                  atau melakukan murtad atau kafir. Hakikat pendirian Persatuan 
                  Ulama’ Malaysia yang mengesahkan letak duduknya persoalan 
                  “samseng” dari neraca kebenaran Islam cukup jelas. Terdapat 7 
                  sandaran ayat Al-Quran yang telah dikemukakan dalam mendukung 
                  kebenaran yang saya bawa dari hal sifat-sifat Allah dalam 
                  konteks perbandingan dengan sifat makhluk. Saya mahu melihat 
                  fakta yang kukuh dalam jawapan Penasihat Agama Kepada Perdana 
                  Menteri itu. Saya menunggu. 
                    
                    
                    
                    
                  NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT. 
                  MENTERI BESAR KELANTAN. 
                  BERTARIKH:15 OGOS 2002 |