Home ]

"Dapat Pahala". Kami Jelas

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

“Dapat Pahala”.   Kami Jelas

 

Tajuk  berita dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 5 Jun 2002 yang berbunyi:      “PAS guna lagi isu undi dapat pahala”  sungguh mengecewakan.

 

PAS dianggap oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abd. Hamid Othman sebagai mengelirukan Umat Islam.   Apa yang keliru pun saya tidak tahu.   Bagi saya jelas.  Semakin ramai ADUN dan Ahli Parlimen yang berfikrah Islam menang hasil undi majoriti dari rakyat, maka semakin rancaklah program-program menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran.   Menolong untuk menaikkan pemimpin yang mengharamkan riba, menggalakkan wanita menutup aurat, membangunkan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahn), memperkenalkan konsep hotel berasaskan Islam, adakan program Bulan Sembahyang , Ihya Ramadhan, tidak menyediakan premis judi, memastikan rumah awam kos rendah yang boleh mencegah amalan zina dan sumbang mahram, dan berbagai-bagai lagi  -  Tidakkah pengundi yang mengangkat pemimpin sebegini turut menegakkan makruf dan turut mencegah kemungkaran?

 

          Soalnya, kalau badan NGO  anjurkan perkara yang serupa, dikira mendapat pahala.   Jika parti politik perjuangkan perkara yang sama melalui ceramah, tazkirah, perbahasan di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara, itu tidak ada pahala?   Begitukah cara berfikir.   Kalau begitulah cara dan stail Penasihat Agama Perdana Menteri,  patutlah PM juga menjadi keliru.  Penasihatnya keliru rupanya! 

 

          Al-Quran ada menggunakan perkataan Hizbullah.   Dalam bahasa kebangsaan ia dipanggil puak.     Dalam ilmu Islam ia disebut jemaah.   Dalam politik ia disebut parti.   Jika Al-Quran itu bersambung sampai ke kiamat, Islam itu tidak akan padam hingga ke kiamat dan kebenaran Ilahi itu dijamin terpelihara hingga ke kiamat   -  tentu ada pihak atau jemaah atau parti yang menyambungnya.   Pihak yang menyambung kerja Nabi dan Rasul ialah pihak alim ulama’, para da’i dan ustaz yang menyuburkan makruf dan menentang kemungkaran.  Mereka mendapat pahala dan orang yang menyokong mereka dapat pahala.   Sifirnya amat mudah.

 

          Baiklah.  Di kalangan parti-parti politik sekarang ini, mana satukah parti yang beristiqamah menyeru manusia kepada makruf dari sejak merdeka hingga sekarang dan menentang kemungkaran secara berpanjangan.   Jika UMNO tidak, MCA tidak, MIC tidak, maka siapa lagi kalau tidak PAS.   Jika PAS pun tidak dapat pahala dan UMNO lagi jauh dari mendapat pahala maka kena buat parti baru.   Parti baru itu nanti tentu kena berjuang atas landasan Al-Quran dan Hadith.   Baru dapat pahala.   Soalnya berjuang dengan Al-Quran dan Hadith ini telah ada dalam amalan PAS.  Bermula dari Perlembagaannya hinggalah ke dasar-dasar perjuangan dan ucapan serta amalan pemimpinnya, PAS begitu konsisten.  UMNO pula penuh dengan hipokrit.   Perlembagaannya tidak pernah komited dengan Islam.  Pemimpinnya berdolak dalik.  Segala  gerak  geri  dan ucapan pemimpinnya sering keliru dan mengelirukan.   Kebanyakannya memperkecil dan memperlekehkan kemampuan Islam.   Sekali nak haramkan penggunaan perkataan ‘Islam’ dalam pertubuhan.   Sekali pula mendakwa negara ini sudah Islam.   Hati tidak pernah tetap dengan Islam.  Sekali kata Islam tidak boleh laksana kerana masyarakat majmuk.  Sekarang sudah tidak majmuk lagikah?  Isytihar Negara Islam, tapi tak boleh bahas.   Isytihar Negara Islam tetapi  tidak mahu pinda isi Perlembagaan sekularnya.   Sekali menghina Nabi.  Sekali berarak sekeliling bandar dan kampung konon kasihkan Nabi.    Nabi suruh lain, dibuat lain.   Islam apa benda, bila Al-Quran dan Hadith tidak diberi tempat?   Kalau UMNO cemburukan PAS sangat dan rasa kepingin benar nak sebut “undi UMNO dapat pahala”  maka sebutlah.   Kami tidak ada masalah.   Katakan dan kempenlah yang mengundi UMNO dapat pahala sebab UMNO tidak halang pemimpin dan rakyat nak dedah aurat, nak mainum arak, nak berjudi dan dakwa dan sabit kesalahan orang tanpa perlukan bukti lagi melalui ISA.   PAS tidak pernah halang UMNO untuk kempen rakyat Malaysia mengundinya kerana dapat pahala.   Soal rakyat percaya atau tidak, itu PAS tidak mahu campur.   

 

          Sebenarnya UMNO tiada keikhlasan untuk memperjuangkan Islam.   Keikhlasan ini pula cukup penting.   Kalau tidak, masakan Masjid Dhirar telah dibakar oleh 2 orang sahabat atas arahan Rasulullah S.A.W. sendiri.   Ini semata-mata kerana ia tidak dibina dengan keikhlasan.    Ia dibina untuk memecah belahkan perpaduan orang mukmin dan menunggu orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya.   Ikuti tafsir dan syarah kepada Surah  At-Taubah  Ayat 107  dan  108  untuk  menghayati  sikap Islam yang amat menekankan taqwa dan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.   Kita cuma bimbangkan sikap UMNO yang menyamai sikap orang yang membina Masjid Dhirar yang telah diruntuhkan itu.

 

Pendek kata,  UMNO ni makin lama makin keliru.   Sikap pragmatik dan oportunisnya mengatasi keikhlasan dan kejujuran.  UMNO ni jenis parti apa pun rakyat sudah tidak tahu lagi.   Nak dikatakan  parti kebangsaan Melayu, orang Dayak, Iban dan India pun boleh masuk UMNO.   Nak dikata dia parti Islam, jauh sama sekali.   Nak dikatakan dia parti demokratik, tiada pula kelihatan tanda-tanda yang dia jujur dengan amanah demokrasi.     Nak dipanggil belut tidak; nak dikata ular pun bukan.  Orang sebut pahala pun salah, sebut dosa pun susah.   Semuanya tak kena.  Semuanya serba salah.   Sebab itu, sudah ramai penyokong UMNO yang ada benih iman kata  “Ah! Susah-susah, masuk PAS.”   Dia orang kata.   Saya cuma dengar jah. Yang saya kata, nak masuk, masuklah.   Pintu kami terbuka luas.   Kami jelas.

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

KOTA BHARU

Bertarikh: 24 Rabiul Awal 1424 / 6 Jun 2002.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates