Home ]

‘Pahala’ Dan ‘Rahmat’ Menyokong PAS

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

‘Pahala’  Dan ‘Rahmat’ Menyokong PAS

(Menjawab Awang Sulung UM 8 Jun 2002)

 

Saya perlu memuji dan mengucapkan terima kasih diatas sikap Awang Sulung  yang cuba meluaskan skop ‘dosa’ dan ‘pahala’ dengan perkara ‘rahmat’  pula.   Sikap beliau yang bertanyakan khabar mengenai “dengan pahalakah atau dengan rahmatkah seseorang itu dimasukkan ke Syurga”; adalah baik.   Ini akan memberi ruang kepada adanya soal jawab.   Dalam hubungan ini, saya teringatkan sikap Nabi S.A.W. yang tidak pernah  menutup mulut sesiapa juga termasuk orang bukan Islam untuk melahirkan pendapat yang berbeza.   Apa yang ada ialah mengemukakan  jawapan balas.   Nabi juga tidak pernah kenakan ISA dan Nabi tidak pernah menutup mulut sesiapa pun.   Kalau Nabi begitu, maka begitulah juga kita.   Itulah cara Nabi.    Cara sekat orang dari bersoal jawab tidak betul.  Cara Awang Sulung mengendalikan ruangan ‘BISIK-BISIK’ dalam Utusan Malaysia keluaran 8 Jun 2002 sudah betul; sekurang-kurangnya untuk hari itu.    Dia buat cara yang betul.

 

          Sebagai jawapan, saya boleh terimalah bahawa  jawapan “Manusia boleh dimasukkan ke Syurga pada akhirnya kerana rahmat Allah.”    Ini jawapan yang berkecenderungan Tasauf.    Bagaimanapun saya masih suka mengambil pendekatan dakwah secara biasa yakni turun ke akar umbi.  

 

         Apabila kita bercakap mengenai akar umbi, kita mesti menyebutkan soal dosa dan pahala.   Ini merupakan kaedah tauhid.   Orang sufi bercakap memasuki  Syurga  dengan  rahmat  tetapi  bagi  orang  awam  yang  terdiri daripada rakyat majoriti,  saya lebih suka mengambil pendekatan mendidik melalui pahala dan dosa yang agak mudah.    Perkataan ‘rahmat’ itu adab berbahasa sahaja kerana dikhuatiri  menjadi terlalu ‘muktazilah’, sekadar itu sahaja.    Sekadar untuk mengelak daripada lidah kita seolah-olah memaksa Tuhan memasukkan kita ke dalam Syurga kerana pahala semata-mata.   Jika Awang Sulung masih mahu menukarkan semua perkataan ‘pahala’ kepada ‘rahmat’ maka terpaksalah beliau bekerja keras untuk mencari perkataan ‘pahala’ dan menukarnya kepada perkataan ‘rahmat’ satu persatu.   Barulah beliau boleh menukarkan kenyataan saya iaitu “Mengundi PAS di tahun 1990 mendapat ‘rahmat’ daripada Allah S.W.T.”   Bagi saya, undi PAS dapat ‘rahmat’ atau undi PAS dapat ‘pahala’,  tidak menjadi masalah.   ‘Rahmat’ pun tidak mengapa dan ‘pahala’ pun tidak mengapa.

 

          Dalam ‘BISIK-BISIK’, Awang Sulung ada menyentuh tentang “orang-orang yang beriman kepada Allah dituntut bertakwa dan beramal soleh”.      Iman itu apa?    Tentunya bermakna menyakini 6 Rukun Iman iaitu asas-asas  kepercayaan seorang Islam.  Diantara 6 perkara Rukun Iman itu, tidakkah kita dikehendaki percaya kepada Kitab, yakni Al-Quran.   Dalam Al-Quran ada disebutkan perkataan “Athawwa atau Al Ajrun”.   Ini bermakna pahala.   Ada pula disebut perkataan “Al Ithmu”  atau  dosa.    Cuba  lihat  dalam  Surah  Al-Hadiid Ayat 7  sebagai misalnya.    Ia membawa maksud    “Orang yang beriman dan berderma itu adalah memperolehi pahala yang besar”.    Di sini, beranikah ‘BISIK-BISIK’ tukarkan perkataan ‘pahala’ kepada perkataan ‘rahmat’?   Munasabahkah atau tidak berdosakah?

 

          Dalam hal beriman juga, ia menyentuh tentang kepercayaan kepada adanya Hari Kiamat.   Jumhur Ulama’ memahami hari selepas kiamat adalah Hari Pembalasan dimana ‘pahala’ dan ‘dosa’ yang dibuat oleh seseorang manusia di masa hidupnya akan dihitung dan diadili.   ‘Pahala’ dan ‘dosa’ itu sebagai kaedah.    Ia cara untuk membalas segala ‘dosa’ dan segala ‘pahala’ dengan Syurga atau Neraka.     Ia sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang sukakan penghargaan.  “Reward” akan menaikkan semangat beribadat.   Walaupun Allah S.W.T boleh membuat paksaan , tetapi kaedah menawarkan pahala lebih serasi dengan fitrah manusia.  Sungguhpun kita akui bahawa Allah memasukkan seseorang ke Syurga pada akhirnya dengan rahmatNya tetapi Allah tidak berikan ‘rahmat’ sesuka hati.   Sebab itu ia kirim Nabi untuk mengajar umat manusia dengan kaedah-kaedah berupa amalan dan perbuatan yang boleh menjadikan ianya  taat atau maksiat; pahala atau dosa.  Allah tidak memasukkan seseorang ke Syurga atau melemparkan ke Neraka sesuka hati.   Para Nabilah yang mengajar kaedah-kaedah yang menjadi ikutan dan dipanggil Sunnah.   Contohnya di Kelantan, kita haramkan riba kerana Islam, kita kempen menutup aurat kerana Islam.   Kita adakan rumah awam kos rendah 3 bilik kerana Islam,  kita beri cuti lebih  sehari dalam seminggu kerana Islam, kita adakan Bulan Sembahyang dan  Ihya Ramadhan  kerana  Islam.    Kita  asuh  rakyat  kita  supaya  tidak mendekati maksiat kerana Islam.   Kita tutup night club dan tidak benarkan premis judi kerana Islam.   Kita jumpa dengan pemimpin agama lain untuk mengembangkan Islam.   Kita adakan dialog Islam – Kristian yang dipengerusikan oleh Dr. Jomo Sundram di Kuala Lumpur pada bulan Februari 2001 kerana  Islam.   Oleh sebab itulah saya  akhirnya menyatakan bahawa mengundi PAS dalam Pilihanraya 1990 itu mendapat pahala.   Ini kerana PAS membuat kerja-kerja yang menghapuskan kemungkaran dan menyuburkan kebaikan.   Kaedah ini adalah kaedah yang diajar oleh Nabi S.A.W.    Dalam soal Hari Pembalasan juga,  dalam Surah Al-Faatihah sendiri menyebut tentang “Allahlah penguasa di Hari Pembalasan.”    Apa itu hari pembalasan di akhirat, jika tidak Tuhan mahu membalas kerja-kerja baik dengan ‘pahala’ dan kerja-kerja jahat dengan ‘dosa’.    Mahu balas dengan apa?   Balasannya ialah dengan Syurga atau Neraka.

 

          Ada juga disebut bahawa Nik Abd. Aziz  “tidak habis-habis mahu bercakap fasal pahala mengundi PAS”.   Jawabnya, memang saya tidak akan puas-puas menyebutkan tentang dosa dan pahala.   Saya akan tetap sebut sampai bila-bila.   Selagi PAS memainkan peranan menegakkan makruf dan menentang kemungkaran maka selagi itulah mereka yang menyokong parti PAS akan mendapat ‘pahala’.   UMNO pun kalau nak sebut undi UMNO dapat pahala pun tak apa.  Sebutlah.   Biar rakyat pakat dengar. Kenapa kalau badan NGO membuat kerja-kerja amal dianggap berpahala.    Mengapa bila parti PAS yang berdaftar dan mempunyai perlembagaan tiba-tiba pula dianggap sebagai tidak mendapat ‘pahala’ apabila membuat kerja yang sama.   Sebenarnya perkara asas untuk mendapat  ‘pahala’  ialah  setiap  amal  yang  ikhlas  berasaskan  kepada Al-Quran dan Sunnah.   Dasar dan sandaran adalah Al-Quran dan Sunnah.  Jika nakkan parti berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah, PAS ada dah dan jika nakkan parti yang tidak pakai Al-Quran dan Sunnah, UMNO ada dah  -   pah Awang Sulung nak buat lagu mana?   Kena buat parti ketigalah nampaknya.    Parti baru itu mestilah berjuang atas Al-Quran dan Sunnah.   Nak berjuang atas Al-Quran dan Sunnah bagaimana kalau  parti sedemikian sudah ada iaitu Parti PAS.  Perlembagaan kita jelas mahu Al-Quran dan Sunnah.   Hukum Hudud yang kita cadangkan jelas didasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah dan dasar-dasar yang kita putuskan di negeri-negeri yang kita perintah semuanya  bersemangatkan  Islam.

 

          Demi melaksanakan tuntutan sebagai hambalah Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS sedang menggunakan Al-Quran dan Hadith sebagai panduan.   Kita mencari ‘pahala’ dan mengelakkan diri dari melakukan dosa-dosa sambil berdoa agar sentiasa diberi ‘rahmat’ oleh Allah S.W.T.  baik di dunia dan di akhirat nanti.

 

          Saya berterima kasih kepada Awang  Sulung.   Jawapan saya ini kira-kiranya sudah jelas dan tak mungkin lagi boleh menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang mahu mengerti.

 

 

Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

Kota Bharu.

Bertarikh:   28 Rabiul Awal 1423 / 10 Jun 2002 

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates