Home ]

* 2002/08/21::: GIMIK DR. MAHATHIR MENGENAI DOSA

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

GIMIK DR. MAHATHIR MENGENAI DOSA

 

 

Saya mahu mulakan komentar ini dengan mengutip kata-kata Awang Sulung yang berbunyi  “Percayalah, disebabkan Mahathir hanya berkelulusan doktor perubatan, maka cakap beliau akan dianggap sekadar cakap politik.”   (Bisik-Bisik, Utusan Malaysia 17 Ogos 2002).

 

            Saya kurang pastilah sama ada bolehkah saya beranggapan bahawa dengan ini bermakna Dr. Mahathir hanya benar dan hanya boleh dipercayai pandangan beliau dalam isu-isu perubatan sahaja.   Lain-lain pandangan beliau, baik dalam perkara pendidikan, pertanian, agama, sukan, pembangunan dan undang-undang; semuanya sekadar cakap dan gimik politik.   Saya tidak nampak huraian lain selain daripada ini.   Dari segi perubatanpun, setakat yang saya ingat, Dr. Mahathir tidaklah pula mengeluarkan panduan-panduan saintifik dibidang itu disepanjang 21 tahun menjadi Perdana Menteri untuk manfaat rakyat Malaysia.   Dengan demikian bolehkah kita mengatakan bahawa selama ini beliau cuma bergimik dan bermain dengan kata-kata politik dalam cuba-cuba membangunkan rakyat, bangsa dan negara.   Hakikat betapa bercelarunya segenap cabang pemerintahan baik kehakiman, bahasa, pendidikan, seni, Islam, sosial dan perhubungan antara kaum yang boleh kita sama-sama saksikan terkini mungkin berpunca dari  terlalu  banyak  amalan  Dr. Mahathir  yang  cuma  bergimik.   

Segala  sesuatu  diberikan  selera  politik berkepentingan perseorangan yang menjadikan agama, bangsa, bahasa dan tanah air tidak lebih dari menjadi sebagai bahan pertaruhan semata-mata.

 

          Sebaliknya, PAS tidak percaya dan tidak suka bermain dengan gimik.   Kita berjuang diatas landasan keyakinan.   Bila saya mengatakan  “Siapa yang mengundi PAS ditahun 1990 mendapat pahala kerana menyokong menentang amalan riba (Lihat NST 27 Januari 2002  -  Pahala and the PAS link), saya bercakap dari suara keimanan.  Dr. Mahathir dan Dr. Ab. Hamid Othman yang begitu tersinggung dengan kata-kata ini lantas melenting mengatakan tidak siapa berhak menentukan pahala atau dosa.  Anehnya, dalam nafsu yang tinggi mengkritik Hukum Hudud, Dr. Mahathir telah membuat kenyataan mengenai dosa yang berbunyi:

 

“Dia (Hadi) akan buat dosa kerana lulus undang-undang tak adil dan kalau mati esok dia akan hadapi neraka kerana buat undang-undang yang tidak sebenarnya undang-undang Islam.” 

(Utusan Malaysia, 19 Jun 2002, PM:  PAS hina Islam jika laksana hukum tak adil) 

 

Baru semalam pula Dr.  Mahathir masih bercakap lagi mengenai dosa.    Ia berbunyi:   “Pengikut PAS telah sesat dan mereka berdosa.”   Ditempat yang lain, kata Dr. Mahathir, “Orang PAS yang ikut PAS ikut berdosa dan akan terima balasan di akhirat.”

(Lihat Berita Harian 17 Ogos 2002). 

 

Perkara yang berkaitan di sini ialah pahala dosa.   Semasa Dr. Mahathir marahkan saya menggunakan pahala dosa pada 23 Januari 2002 dahulu adakah itu gimik politik atau semasa beliau “berfatwa” kini bahawa  “menyokong PAS berdosa”  inikah gimik.   Mana satukah gimik atau keseluruhan cara hidup dan kenyataan Dr. Mahathir adalah gimik?    Dia boleh kata saya merasuahkan pengundi bila sebut dosa pahala dan Syurga Neraka dan dia pula boleh sebut perkara “dosa pahala” jika dia suka.     Mana satu gimik dan mana satu yang betul-betul antara dua larangan ini?

 

          Kini UMNO ghairah benar menyebut “Tolak PAS boleh pahala.”   Ini sekaligus membuktikan yang politik dan agama ini perkara yang tidak boleh dipisahkan.  Dosa dan pahala adalah perkara agama.   Dulu UMNO kata politik suku agama suku.   Sekarang bagaimana? Mana satu yang gimik dan mana satu yang sebenar?    PAS sudah berpuluh tahun menyebutkan tentang konsep dosa pahala dalam perjuangan mendaulatkan Islam melalui politik dan kuasa pemerintahan.   Cuma sekarang sahaja, baru UMNO mulai faham.   Baguslah.

 

          Nampak jelaslah di sini bahawa UMNO sekarang sudah tersepit.   Dia hampir angkat kedua-dua belah tangannya.   Kaedah dosa pahala yang menjadi pegangan PAS telah diakui mujarab dan berkesan.   UMNO dah mula “curi-curi”  pakai kaedah kami.   Ini dah  kira  kali  ketiga  UMNO  tersungkur.    Pusingan  pertama  ialah ketika UMNO ghairah sangat mahu haramkan penggunaan Islam dalam mana-mana pertubuhan.   Ia dihalang oleh Majlis Raja-Raja Melayu.   Kali kedua ialah apabila terpaksa mengisytihar Malaysia sebagai negara Islam.   Sebelum ini, PASlah satu-satunya parti politik berdaftar  yang menuntut Negara Malaysia agar diIslamkan.   Ertinya di sini, UMNO sudah tersasul, rebah dan terjatuh di gelanggang politik di banyak tempat.   Dalam sorak sorai penonton yang secara majoriti mahukan perubahan, UMNO perlu faham signal-signal penolakan yang semakin lantang.   UMNO harus nilai kesan luka baru dan parut luka-luka lama yang berdarah kembali.   Memang saya akui Dr. Mahathir seorang doktor perubatan seperti yang disahkan oleh Awang Sulung tetapi tidak semestinya setiap penyakit itu terubat dengan hunusan pisau bedah yang menggertak sesiapa sahaja baik dalam isu penggunaan Bahasa Inggeris atau kes dakwaan rasuah Menteri oleh BA yang akhirnya menghantar pejuang keadilan ke pukat ISA.

 

          Jadi, sebelum jatuh dan terjatuh lagi dalam gelanggang silat, saya mohonlah pemimpin UMNO supaya menerima dasar-dasar Al-Quran dan Hadith secara bertulis dalam Perlembagaan Malaysia.   Jika perlukan pindaan, pindalah.   PAS dan BA akan sokong, InsyaAllah.  Kalau Dr. Mahathir pun sudah mulai menyebut soal dosa dan pahala sedangkan kedua-dua perkara ini adalah agama, maka alihlah dan letakkan kedua-dua belah kaki ke dalam Islam.   Hentikan sikap munafik dan amalan bermuka-muka.   Anjakan paradigma kepada Al-Quran dan Hadith sebagai asas baru adalah jaminan pemulihan keadilan, perpaduan dan kebenaran bagi seluruh rakyat Malaysia.   Malaysia telah tergelincir dari landasan Islam sebegitu lama.   Apakah  menjelang 31 Ogos 2002 nanti, UMNO sedia mengakui kelemahan dan kesilapan dengan penuh keberanian?   Atau terus mahu bergimik di atas liuk lintuk pragmatisme, terpulanglah.   Dalam sejarah Islam, Abdullah bin Ubai telah lama mempelopori kaedah ini dan beliau berakhir dengan kegagalan yang amat memalukan.   Bila serangan berdepan menemui kegagalan, beliau mengubah strategi dengan membina masjid dan berceramah dalam masjid untuk menyaingi dakwah dan tazkirah Rasulullah S.A.W.   UMNO pun saya lihat hampir serupa.

 

          PAS, disepanjang berdepan dengan UMNO, lebih mengambil pendekatan antara doktor dengan pesakit.   Kita menegur, mengkritik dan menyediakan hidangan ubat alternatif.    Diatas nama keimanan dan keyakinan yang sungguh-sungguh terhadap Islam, kami berdiri.   Kami mahu melihat pemulihan.   Kami percaya Islam mempunyai segala rahsia ke arah ini.   Jika UMNO boleh terima premis ini secara bertulis, kita boleh ikhtiarkan proses pengislaman negara secara berperingkat tetapi jitu dan bermatlamat.

 

          Saya masih menaruh harapan yang tinggi dalam menunggu saat kewarasan UMNO.   Tibakah?

 

 

(NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh :  11 Jamadil Akhir 1423 / 20 Ogos 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates