Home ]

* 2003/01/13::: Kurung Remaja

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

KURUNG REMAJA?

 

Nampaknya  sindrom kurung tanpa bicara semakin berleluasa.   Tidak cukup dengan ISA,  cadangan daripada Menteri Besar Perlis minggu lepas telah mengejutkan ramai orang.   Jika diikutkan cadangan itu, semua remaja akan dikurung dalam bentuk “house arrest” hinggalah Subuh keesokan harinya.   Begitulah seterusnya.   Sudahnya rakyat hidup dalam semangat takut siang dan malam.  Jika dulu orang takutkan hantu tetapi zaman moden ini rakyat takutkan kerajaan yang dipilih olehnya.  Kebebasan menikmati hidup di Malaysia nampaknya sangat singkat.   Barangkali,  rakyat hanya mampu menikmati udara kebebasan diusia awal dari 1 tahun hingga 12 tahun sahaja.   Mulai umur 13 tahun hingga ke akhir hayat dia akan dikurung dalam pelbagai jenis penjara. Begitulah seolah-olah.   Dari tahanan dalam rumah cadangan Menteri Besar Perlis hinggalah ISA, OSA, Akta Universiti - Universiti Kolej, Akta Polis, Akta Mesin Cetak,  yang sedang berkuatkuasa, manusia di Malaysia dihantui dalam kurungan nampak dan ghaib yang mengikat kebebasan masing-masing.   Ruang hak asasi seperti yang dijamin oleh Islam, pelbagai piagam antarabangsa hatta Perlembagaan Negara sekalipun telah semakin sempit setiap hari.

 

Entah bagaimana perkataan kurung sentiasa mengingatkan saya kepada kehidupan ayam, lembu dan kerbau.   Sebaik-baik sahaja  kita  mengurung  kita  merampas  kebebasan.   Masalah sosial

yang gawat yang melanda remaja memang diakui.    Bagaimanapun, carilah jalan yang lebih kreatif untuk menanganinya.   Kalau Perlis mahu mendengar apa yang kreatif yang saya maksudkan di sini, maka boleh saya senaraikan daya usaha Kerajaan Kelantan yang telah diambil sejak 13 tahun yang lalu.  Ini adalah seperti berikut:

         

a)      Menekankan prinsip dan amalan ubudiyah, masuliyyah dan Itqan dalam pemerintahan;

 

b)      Mengadakan kempen dan undang-undang kecil bagi menggalakkan wanita Islam menutup aurat;

 

c)       Menganjurkan kempen tahunan ‘Bulan Sembahyang’, Ihya Ramadhan dan ‘Hari Hudud’ untuk menyediakan ruang terbuka bagi menyemai, memupuk kefahaman dan meningkatkan iltizam semua pihak tentang keindahan peraturan, undang-undang syariat dan cara hidup Islam untuk pelaksanaan;

 

d)      Menyediakan siaran tazkirah setiap pagi melalui 36 pembesar suara di dalam Kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk mengasuh akhlak warga kota;

 

e)       Mengiktiraf semua manusia pada amnya dan semua penduduk Kelantan secara khusus adalah bersaudara.   Tanpa mengira perbezaan bahasa, bangsa dan keturunan, Kerajaan Kelantan isytiharkan semua kita datang dari Adam dan Hawa yang satu.   Ini menimbulkan kesedaran “brotherhood”  yang tinggi dan melahirkan perasaan muhabbah yang sebenar;

 

f)       Memastikan semua Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) mempunyai 3 bilik sebagai usaha menangani gejala keruntuhan akhlak;

 

g)      Tidak menyediakan premis judi disamping sentiasa memberikan tazkirah terbuka tentang bahaya judi kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan;

         

h)      Mengemuka dan meluluskan Enakmen Kanun Syariah II dan Hudud ditahun 1993.   Komitmen terhadap Islam ini dibuat untuk memenuhi tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. yang sekaligus diyakini dapat mengeluarkan rakyat dari bencana krisis moral dan keruntuhan akhlak.   Soal ianya tidak dapat dilaksanakan adalah soal halangan dari Pusat;

 

i)       Memberikan Cuti Am 2 hari seminggu kepada semua penjawat awam negeri.   Unsur  “caring”  dan  “friendly” telah  dibuktikan dengan perbuatan;   bukan setakat kata-kata;

 

j)        Menteri Besar dan semua EXCO sendiri mengetuai ceramah, berkhutbah Jumaat dan memimpin kuliah agama di serata masjid dan surau bagi menegakkan maaruf dan menentang kemungkaran.

 

Ini semua adalah usaha.   Walaupun orang masih pertikaikan kekesanannya itu tidak mengapa.   Kami berusaha tanpa merampas hak remaja.   Kurung boleh merosakkan psikologi.   Ia menyekat kebebasan dan boleh melahirkan robot yang hanya dipaksa taat kepada pemerintah.   Gangguan psikologi akan melahirkan pelbagai penyakit lain yang boleh merosakkan pertumbuhan dan kesuburan mental, bahkan boleh merencatkan perkembagan intelektual manusia.   UMNO tidak khuatirkah ia berlaku ke atas rakyatnya sedangkan kita perlukan pemimpin dan generasi yang cergas untuk masa depan negara?

 

          Penyelesaian masalah remaja bermula dari pendidikan.    Agama adalah asas terpenting.   Ini telah diakui oleh semua agama dan sarjana zaman berzaman.   Oleh kerana itulah inisiatif yang telah diambil oleh rakyat melalui SAR sejak berpuluh tahun harus dihargai.   Jika kekurangan, berilah bantuan.   Jika gurunya lemah, berilah latihan.   Ini dipaksa; (sekali lagi dipaksa) terus ditutup.    Kerajaan semalam mulai kendur sedikit dari ditutup kepada tidak akan memberi sebarang bantuan kewangan.  Keadaan masih tidak banyak bezanya.  (Lihat  NST 10 Januari 2003). Tidak memberi bantuan kewangan samalah juga dengan mahu membunuh SAR.   Saya mahu tanya, dengan tiadanya SAR, disiplin remaja akan semakin pulih atau sebaliknya?  Mampukah Sekolah-Sekolah Kebangsaan menyediakan alternatif kurikulum  yang  mencukupi  seintensif  apa yang sedang disediakan di SAR?   Dalam keadaan adanya SAR  inipun, keadaan keruntuhan moral begitu meruncing.   Cuba bayangkan apa nasib remaja yang berada dalam acuan didikan sistem sekular Sekolah-Sekolah Kebangsaan sepenuhnya tanpa SAR.   Apa akan jadi 20 tahun akan datang.   Kerajaan  pula hanya pandai mencari penyelesaian dengan paksaan.   Tutup!  Kurung!  Lokap!    Sudah tandus benarkah kaedah yang lebih bijaksana dalam menangani kenakalan anak muda kita?

 

          Saya melihat begini.  Silapnya adalah kita cuma pentingkan ubat.    Punca penyakit tidak dihiraukan.   Jika dalam kes ancaman demam denggi, kerajaan boleh faham tentang perlunya pusat-pusat  penetasan nyamuk aedes dihapuskan, kenapa UMNO tidak boleh berfikir gejala keruntuhan moral juga ada puncanya.   Pusat penetasannya berada di majalah-majalah separa lucah, novel-novel berahi, rumah urut, night club, pusat-pusat dangdut, kedai-kedai gunting uniseks dan sarang-sarang judi yang dihalalkan oleh kerajaan diatas nama punca hasil dan cukai.   Perkara ini telah ratusan kali dibangkitkan di Parlimen tetapi nampaknya UMNO masih membawa ‘muka UMNO’  yang tetap selamba dengan teguran dan kritikan.   Lagi-lagi dituduhnya PAS berpolitik.   Kami mementingkan kesan buruk kepada generasi dan anak bangsa.   Jika UMNO tidak nampak, kita telah tunjukkan.   Di sini tempat yang silap  dan  memerlukan  pembetulan.    Langkah  mengurung  bukan penyelesaian.   Pergi ke akar masalah dan sembur racun di umbinya.   Matikan punca lalang dari merebak dengan menyembur racun rumpai ke perdu masalah.   Baru subur kebun getah.   Pokok-pokok getah yang subur itulah generasi kita.   Ini, baru orang panggil generasi yang produktif.

 

          Islam selama-lamanya percayakan kaedah rawatan yang mementingkan qalbu.   Setiap  hati yang ada dalam dada setiap warganegara adalah stesyen utama yang mesti dituju, disubur dan dipantau dalam mendidik warganegara.   Mengabaikan santapan qalbu yang tepat dalam pendidikan adalah punca segala penyakit.   Golongan sekular gagal memahami keajaiban hati.   Mereka hanya peka tentang bangunan sekolah, makmal dan pagar tetapi mereka tidak sedar mereka sedang cuba memagar para pelajar yang telah  ‘dilembukan’.   Jika tidak, kenapa UMNO kini sedang bercadang untuk mengurung?    Kurung terlalu sinonim dengan alam haiwan.

 

          Dalam Islam, pendidikan didasarkan kepada semangat taat atau maksiat kepada Allah.   Ia membawa kepada perkara dosa atau pahala.   Ia akan berakhir kepada elemen pembalasan sama ada balasan nikmat Syurga atau azab di Neraka.     Selagi golongan nasionalis masih cuba melenyapkan kesedaran ini selagi itulah jawapan  yang  tepat  kepada penyakit keruntuhan akhlak tidak akan ditemui.   Agama tidak boleh sekali-kali dianggap sebagai perkara individu.   Ia perkara ummah.   Islam bersifat sejagat.    Keindahan dan keadilannya mesti diyakini mampu menyelamat dan membahagiakan seluruh rakyat dari pelbagai kaum sama ada di dunia atau di akhirat.     Apabila manusia semuanya beriman dengan Hari Akhirat, manusia akan takut dan gerunkan sifat Allah S.W.T. yang bersifat dengan Al Jabbar dan Al Mutakabbir secara automatik.    Saya sengaja menimbulkan terjemahan ‘samseng’ diatas kedua-dua sifat ini untuk menimbulkan kegerunan kepada kemurkaan Allah.

 

          Selain dari pendidikan, suasana persekitaran juga turut perlu dipentingkan oleh kerajaan.   Segenap saluran yang boleh mencemari kemurnian akhlak hasil penyuburan di semua tapak-tapak semaian sejak tadika hingga ke Universiti wajib ditutup.   Ini, SAR pun nak ditutup, tazkirah di Masjid dihadkan, dua tiga majalah agama dan akhlak dikepung dengan ribuan majalah hiburan yang cukup mencabar keimanan generasi, pusat-pusat judi dan night club dibenarkan operasi sebebas-bebas.    Sama juga dengan rancangan-rancangan di televisyen, baik TV biasa atau ASTRO.   Ditambah pula dengan kenyataan Menteri-Menteri sendiri yang kadang kala mempermain-mainkan agama Islam secara terang-terangan.   Semua orang tahu bagaimana kisah janggut Nabi dihina.   Semulia-mulia Hukum  Hudud pun  kadang  kala  dipersoalkan  kewajarannya oleh Menteri-Menteri UMNO yang beragama Islam.   Empat lima tahun lalu, kita masih ingat bagaimana seorang Mufti ditamatkan tempoh kontrak semata-mata kerana tegas dalam isu tangkapan peserta ratu cantik.   Ada juga kes peminum arak yang ditangkap dalam Restoran ‘The Ship’ oleh JAIS tiba-tiba telah dianggap tidak wajar oleh pemimpin negara.    Ada pula dalam satu wawancara, seorang pemimpin Islam yang penting di Malaysia turut merasa terkilan diatas pandangan masyarakat yang tidak dapat menerima pakaian pelajar perempuan yang berskirt dan seluar pendek bagi pelajar lelaki.   Lebih daripada ini UMNO tergamak malah tanpa segan silu telah memutuskan untuk mengharam penggunaan perkataan Islam keatas mana-mana pertubuhan.   Rakyat amat terharu dengan campur tangan Majlis Raja-Raja yang tidak merestui  ‘hajat mulia’ UMNO ini yang sungguh mengaibkan.   Semua ini ada terdapat di dalam keratan akhbar dan boleh dibuktikan jika diperlukan.

 

          Inilah dilema  yang ada bila semua longkang tersumbat.   Air pun sebak.   Jalan keluar buntu, maka Menteri Besar Perlis

 

sekonyong-konyong melompat keluar dari kubah masalah lalu bercadang untuk membina pukat besar untuk mengurung semua anak muda di bawah 18 tahun menjelang jam 10.00 setiap malam.   Nampak macam logik tetapi …,    Barangkali tidak keterlaluan saya mahu istilahkan cadangan kurung begini adalah bersifat mini  ISA.   ISA besar ada di Kemunting, manakala mini ISA pula dipasang di semua tingkap dan pintu di setiap rumah.   Demikianlah kebebasan ala UMNO di Malaysia!

 

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:  10  Zulkaedah 1423 / 13 Januari 2003

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates