Home ]

* 2002/10/12::: Sinopsis : Sedetik Bersama Karyawan

Back ] Next ]

 

SEDIKIT SINOPSIS

SEDETIK BERSAMA KARYAWAN

 

 

Saya masih tidak dapat melupakan sesi pertemuan dengan Karyawan pada 2 Oktober 2002 yang saya kira amat menarik dan bersejarah.    Ia menemukan dua pihak yang jarang berkomunikasi tetapi sering bersangka-sangkaan.    Kesediaan kami untuk meraikan perbezaan pendapat dan menghargai pandangan antara satu sama lain telah menandakan pengiktirafan Kerajaan Negeri yang cukup istimewa  untuk cuba memahami kehendak seniman.   Disamping itu seniman juga  akan turut berpeluang menghayati hujah dan justifikasi Islam dalam mendefinisikan hiburan itu sendiri.

 

Kalau pihak Karyawan lebih gemar mentakrifkan kegiatan hiburan itu sebagai sesuatu yang hanya tertumpu kepada bidang nyanyian, tarian dan profesion yang berkepentingan periuk nasi, maka saya melihat hiburan itu sebagai sesuatu yang terlalu luas.   Ia mencakup segala manifestasi yang boleh menghiburkan setiap orang dalam ragam kegiatan yang seluas kebudayaan dan cara hidup manusia itu sendiri.    Budaya pada pengertian ilmuan ialah satu bentuk pemikiran dan tindakan yang dizahirkan dalam kegiatan-kegiatan hidup mereka melalui pelbagai cara dan gaya hidup dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi kebiasaan dan norma dalam kehidupan masyarakat berkenaan.  Ruang lingkupnya sangat luas.  Seluas ruang lingkup kehidupan manusia itu sendiri.

  

Ringkasnya budaya ialah cara hidup sesebuah masyarakat yang merangkumi seluruh aspek kehidupan mereka bermula dari mereka berpakaian, bergaul, bermain, berpantang larang, berkomunikasi, berhibur, berhias dan pelbagai lagi.   Sebab itu sekarang kita selalu melihat dan mendengar slogan-slogan seperti membudayakan Al-Quran, budaya membaca, budaya komputer dan lain-lain lagi.

 

Memahami budaya hanya sekadar bermain dan berhibur sahaja adalah satu kesilapan yang terlalu jauh dari hakikat sebenar makna kebudayaan, budaya tidak bersifat statik.   Ia berkembang dan berubah di sana sini mengikut keperluan dan perubahan masyarakat.   Sejak manusia ini dijadikan setiap umat bagi setiap zaman mempunyai kebudayaan masing-masing, ia bergerak berkembang dan berubah mengikut zaman dan masa seiring dengan perkembangan yang berlaku pada manusia itu sendiri.   Apabila manusia berubah maka kebudayaan juga turut berubah.

 

Neraca perubahan sesuatu kebudayaan ada dua;  pertama berasaskan pertimbangan akal semata-mata, kedua; berasaskan ketentuan wahyu Allah.   Bagi masyarakat Eropah budaya mereka berkembang dan berubah berasaskan akal dan kemahuan mereka.   Tetapi bagi umat Islam perubahan budaya mereka mestilah berasaskan wahyu Allah yang menjadi dasar kepada kehidupan umat Islam.    Oleh sebab kalau terpaksa budaya kita diubah kerana kita hendak  selaras  dengan  arahan  Al-Quran.    Maka  kita jangan rasa berat hati.   Sebab Allah lebih mengetahui rahsianya daripada kita dan ia akan pasti membawa keuntungan kepada kita.

 

   Saya sebagai anak kampung terhibur dengan melihat hasil dari apa sahaja yang saya tanam berpucuk, berbunga dan berbuah atau menembak tupai sebagai misalnya, manakala orang lain pula mungkin terhibur dengan lain-lain kegiatan bersantai dan berekreasi seperti jogging, melukis, berpuisi atau menulis.   Walaupun Karyawan melihat itu sebahagiannya adalah bidang sukan tetapi tidakkah tajuk kita  ialah  berhibur.   Bagi  saya,   jika  kita bercakap soal hiburan,  ia seluas apa jua kegiatan yang boleh menghiburkan.   Lebih penting dari ini ialah kandungan hiburan itu sendiri yang perlu diperhatikan.   Ia sewajibnya mesti bertapak dan bertolak dari ubudiyah dan syariat Allah S.W.T.    Selagi kita hidup di atas muka bumi Allah maka selagi itulah kita tidak boleh terlepas bebas untuk berhibur tanpa ikatan suruhan dan tegahan  pemilik mutlak muka bumi dan alam ini sendiri.  Dia tuan punya dan dia berhak menentukan disiplin hiburan atau apa sahaja supaya sentiasa berada di dalam suasana keredhaanNYA.  Ini selaras dengan penegasan Allah S.W.T yang bermaksud: 

 

“Dan Tuhanmu yang membuat (mencipta) apa yang dihendaki dan Dia memilih apa yang dikehendaki.”  

(Surah Al-Qasas:  Ayat 68)

 

Ini antara lain melibatkan kepatuhan  dalam berpakaian secara menutup aurat, pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan, terelak dari menggunakan kata-kata lucah dan lalai serta mempunyai mesej membesarkan Allah S.W.T. termasuk menghargai segala  keindahan alam ciptaan anugerah dariNYA.   Semangat inilah yang menjadi latarbelakang kepada penggubalan Enakmen Kawalan Hiburan 1998.   Namanya sudahpun menggambarkan isi kehendaknya yang bersifat mengawal.   Tidak timbul sama sekali ianya untuk menyekat kebebasan berhibur seperti yang pada awalnya telah disalah tanggap oleh pihak Karyawan.

 

Kemusykilan yang ditimbulkan oleh Karyawan seterusnya iaitu tentang negara-negara umat Islam lainpun turut membenarkan hiburan bercorak nyanyian dan tarian amat menarik untuk diulas.   Alhamdulillah.   Islam tidak pernah menjadikan tindak tanduk manusia, atau individu walaupun manusia Makkah atau Madinah atau  baka  keturunan  Syed  sekalipun sebagai  rujukan kebenaran.

Dalam jawapan saya,  Kerajaan Negeri yang ‘MEMBANGUN  BERSAMA  ISLAM’  cuma merujuk kepada Al-Quran dan Hadith.   Manusia, lebih-lebih lagi manusia sekarang tidak boleh sekali-kali dijadikan sandaran tunggal.    Mahu kembali kepada Islam samalah seperti kembali kepada sumber  Al-Quran dan Hadith.   Inilah yang telah dan sedang dilakukan oleh Kelantan sejak 12 tahun yang lalu dan InsyaAllah 12 tahun seterusnya dibawah teraju PAS.        

 

Walaupun Karyawan selanjutnya menghubungkan kawalan yang dilakukan ini boleh menjejaskan periuk nasi, saya masih beriman dan percaya bahawa mengutamakan periuk nasi tidak boleh sampai ke peringkat melanggar Hukum Allah.   Firman Allah S.W.T bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNYA).”

                                      (Surah Al-Munafiquun:  Ayat 9)

 

Memang diakui bahawa bakat seni yang ada pada sesetengah individu itu anugerah dari Allah tetapi sekali lagi ianya harus dipelihara.   Ia jangan sampai melanggar ketetapan syariat sehingga boleh mengundang kemurkaan dariNYA.    Ia perlu dikawal dengan peraturan.   Mana ada Kerajaan di atas muka bumi  ini yang tidak mengenakan undang-undang dan peraturan.   Tidak ada kerajaan yang tidak mengawal rakyatnya.    Kerajaan yang peka kepada Islam tentunya bertanggungjawab untuk mengawal rakyatnya dengan disiplin yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.    Tidakkah seluruh hidup kita adalah ibadat.  Tentunya dalam hubungan ini, kegiatan menghibur itu sendiri perlu mematuhi kawalan dan etika akhlak Islam yang dipandukan oleh Al-Quran dan Hadith untuk menjadikan ianya ibadah.   Inilah pun yang sedang digariskan oleh Enakmen kita.    Pencuri dan pengusaha cetak rompak yang memeningkan polispun ada  bakat  tetapi  tidakkah  ini  unsur  penyalahgunaan  dalam bakat.

 

          Untuk itu segala-galanya terpulang kepada artis.  Dialog berkenaan  telah menjelaskan keperluan permit dipohon terlebih dahulu supaya kerajaan boleh membuat pertimbangan dari segi pematuhan kepada Enakmen Kawalan yang dimaksudkan.   Bagi persembahan artis lelaki, syarat-syarat biasa meliputi aspek pakaian, akhlak dan “track record” menjadi asas biasa untuk pertimbangan.   Bagi artis wanita pula, persembahan terbuka yang hanya terhad kepada penonton wanita adalah dibenarkan.   Untuk persembahan terbuka   yang   melibatkan  khalayak  yang   bercampur,   ia  tidak dibenarkan buat masa ini.    Bagaimanapun, ini tertakluk jugalah kepada kesediaan artis-artis wanita untuk melakukan perubahan terutama dari aspek pemakaian dan penampilan akhlak secara keseluruhannya.

 

          Kata-kata penghargaan yang saya anggap sebagai jujur oleh Pengerusi Kehormat Karyawan, saya terima dengan sukacita.   Ia berbunyi:  “Kami merakamkan ucapan terima kasih dan terharu diatas kerjasama Kerajaan Kelantan yang sanggup menerima kedatangan rombongan.  Kerajaan Negeri dilihat amat bersifat terbuka.”      Demikianlah sebuah pengakuan.   Kami menerima perbezaan pandangan dengan penuh terbuka.

 

 

TUAN GURU DATO’ HJ. NIK ABD. AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:   1 Syaaban 1423 / 8 Oktober 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates