Home ]

Perceraian:PAS-DAP?

Back ] Next ]

 

PERCERAIAN?  JANGAN KERANA

PREJUDIS ANTARA KITA

                               ----------------------------------------

 Jika adalah perenggan terbaik dalam liputan akhbar perdana mengenai perbezaan pendapat antara PAS dan DAP  tentang Negara Islam yang boleh ditumpang, maka satu kenyataan di muka surat 4 Berita Harian bertarikh 20 Ogos 2001 wajar diberikan “highlight”.  Ia berbunyi:

  Namun DAP masih bersikap terbuka dan sedia meneruskan perbincangan dengan PAS”.  Pendirian lunak yang “level headed” ini hampir sekali gus membawa kita kepada keraguan tentang benarkah DAP begitu tidak toleran sehingga dilaporkan “memberikan kata dua” atau menunjukkan lain-lain sikap yang sedikit menghairankan.  Faktor kemungkinan akhbar yang gemar menimbulkan “kejutan” bahkan hasutan juga tidak dapat ditolak dalam menegangkan suasana.

 

 

Bertolak dari baik sangka, kita optimis dengan sikap DAP.  Kekaburan timbul dari kurang kefahaman.  Ini mungkin juga kerana “rapport” yang meluas antara kedua pihak masih kekurangan.  Sambil mengharapkan lebih banyak sesi taaruf dan “get to know” antara satu sama lain yang lebih kerap dan lebih mendalam, kita tidak boleh nafikan bahawa permulaan yang diasaskan oleh BA melalui penerimaan sumpah “manifesto bersama” pada November 1999 adalah terlalu baik.  Ia merupakan sebuah menifestasi pengisytiharan hasrat “ ... untuk melahirkan sebuah sistem demokrasi di mana perbezaan pandangan dan pendapat bukan sahaja dihormati, malah dimunafaatkan untuk membaiki kesilapan akibat kekurangan faktor insaniyah “ (dipetik dari manifesto bersama muka surat 7).

 

 

Tidak cukup dengan itu, BA terus diikat dengan ikrar ”... untuk melahirkan sebuah sistem demokrasi yang jujur, dinamik dan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat termasuk mempunyai sistem berparlimen yang dapat mewakili kepentingan-kepentingan rakyat jelata “ (dipetik dari manifesto bersama muka surat 7).

 

 

Lebih menarik lagi apabila keempat-empat komponen parti telah sekali lagi bersetuju “... untuk melahirkan sebuah sistem demokrasi dengan masyarakat yang adil dan demokratik yang kita hasratkan itu mestilah dibina atas asas nilai-nilai rohani dan akhlak yang tersimpul dalam ajaran Islam dan ajaran-ajaran ugama lainnya.  Pengamalan Islam sebagai Ad-deen dan penghayatan nilai-nilai kerohanian - baik pada tahap individu mahupun pada tahap masyarakat - adalah benteng yang melindungi kita daripada korupsi, tamak haloba dan keruntuhan moral. “  (dipetik dari manifesto bersama muka surat 7).

 

 

Seterusnya sumpah bersama ini diperkasakan lagi dengan sebuah deklarasi yang berbunyi “ maka kami berikrar akan mewujudkan suasana yang menggalakkan melalui penyediaan prasarana, pendidikan dan perundangan - ke arah penghayatan Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh (Ad-deen) di kalangan umat Islam, di samping memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan ugama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin “  (dipetik dari manifesto bersama muka surat 9).

 

 

Tidakkah disini jelas tentang wujudnya persefahaman untuk berjuang di atas sebuah landasan bersama yang murni demi kebaikan maksimum pelbagai ugama, bangsa dan suku kaum.  Kenapa harus kalut di atas sebuah istilah yang berbunyi “negara Islam” sedangkan dalam manifesto bersama atau perlembagaan PAS sendiripun tidak disebut sepatah perkataan mengenainya. 

Untuk bersifat objektif dan transparent, maka kita petik dari apa yang disebutkan dengan nyata di dalam Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia pula.  Ia berbunyi:

 

FASAL 5.  Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

          (Dipetik dari Perlembagaan PAS Cetakan 1993 muka surat 2)

 

FASAL 6.       

(9)  Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

          (Dipetik dari Perlembagaan PAS  Cetakan 1993 muka surat 3).

 

Berhubung dengan anjuran En. Lim Kit Siang untuk melihat terjemahan perlaksanaan Islam yang lebih liberal mengenai konsep Negara Islam dilakukan oleh PAS, kita melihatnya lebih kepada “keperluan untuk memahami Islam itu sendiri”. Ini boleh diatasi melalui sesi-sesi “get to know” yang kita sebutkan.  Seminar, forum, inter religious dialogue, cross cultural understanding atau yang seumpama dengannya yang dihadiri oleh pemimpin PAS dan DAP secara bersama akan menyemarakkan proses kenal mengenal yang kita maksudkan ini.  Dalam hal ini, Murshidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan telah menunjukkan kesediaan awal beliau yang cukup gentleman.  Telah berkali-kali beliau menyahut cabaran dalam semangat keterbukaan dan ketelusan ini untuk tampil ke  majlis-majlis yang telah berlangsung di Hotel Nikko, Kuala Lumpur pada 1 April 2000, di Dewan Chin Woo, Ipoh pada 12 Ogos 2000, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 3 Mac 2000, di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 15 Oktober 2000,    dan di Paradise Club, Gombak, Kuala Lumpur pada 11 November 2000     anjuran pelbagai pihak seperti DAP Pusat, Badan Perhubungan PAS Pusat, Parti Ke Adilan Nasional dan Majlis Gereja-Gereja. Majlis-majlis anjuran DAP Perak yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Taiping pada 4 Februari 2001, anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan pada 11 Mac 2001 di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan dan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka pada 14 April 2001 di Hotel Imperial, Melaka yang melibatkan dialog antara kaum di pelbagai peringkat tentunya boleh disebutkan seterusnya dalam konteks ini. Pernah juga isu-isu keadilan Islam telah ditangani dalam bentuk dialog dengan mesranya oleh Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz di Gombak, K.L., anjuran sayap Pemuda dari Parti Ke Adilan Nasional yang berdepan dengan Sisters In Islam. Ini adalah antara contoh-contoh konkrit amalan sikap “senang didekati” yang dibawa oleh PAS yang sentiasa senang dengan sesiapa sahaja.  Suka kita memberi keyakinan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa PAS akan terus telus dan terus bersedia untuk menyertai apa jua sesi untuk membicarakan Islam dalam wajahnya yang toleran seperti yang sedang dilahirkan di Kelantan dan Terengganu.  Toleransi Islam ini bukan kerana sandiwara atau seperti bermain “wayang cina’ tetapi ia sememangnya lahir dari tuntutan agama itu sendiri.  Jika kita membenarkan masyarakat cina mengamalkan kepercayaan ugama mereka tanpa diganggu di Kelantan, ini bukan kerana Menteri Besar Kelantan itu bermain politik tetapi sememangnya Islam yang didokong oleh PAS itu menjamin kebebasan beragama.  Begitulah seterusnya dengan lain-lain contoh tuntutan dan perlaksanaan Islam di Kelantan dan kini sedang disusuli di Terengganu.

 

Sebagaimana terbuktinya sikap lapang dada yang diamalkan oleh PAS alangkah eloknya jika DAP atau lain-lain kerabat dalam BA turut mengambil pendirian yang sama.  Jauhkan diri dari terburu-buru.  Mengenali Islam dalam wajahnya yang komprehensif, asli dan menyeluruh dari sumber “first hand”amat penting didahulukan.  Pendirian-pendirian tajam yang boleh menimbulkan “rethoric” semata-mata barangkali wajar ditangguhkan buat sementara waktu.  Siapa tahu apa yang tergambar dalam kotak fikiran kefahaman DAP mengenai Islam adalah hasil dari lakaran nakal pelukis-pelukis UMNO/BN yang sedang dengan enaknya menikmati ‘mileage’ politik.  Mereka sememangnya sinis terhadap PAS sejak tahun 1951 lagi.  Jika inilah cermin yang ditilik oleh DAP lalu mengharapkan wajah Islam yang diperjuangkan oleh PAS lahir dalam warna hijaunya yang asli maka tentulah amat mustahil.  UMNO adalah UMNO dan dia adalah sebuah parti yang sekular!  Dendamnya sebiru bajunya!

Apa yang dibimbangkan ialah Islam yang original yang boleh dimisalkan sebagai sebuah kereta Mercedes dan dikenali oleh PAS dalam wajah itu mungkin cuma tergambar dalam kerangka persepsi rakan-rakan DAP sebagai sebuah jentera pembajak tanah seganas bull dozer.  Biarlah kesempatan untuk mengenali Islam itu diberikan ruangnya yang selesa.  Ini tidak dapat tidak akan memakan sedikit masa.  Di tengah-tengah proses itu, kita tidak sangat memerlukan “pihak ketiga”.

 

Marilah kita sama-sama bersifat jujur memberikan sedikit masa bagi terus mengenali hati budi antara kita.  Semoga tiada dusta di celah-celah dinding yang telah terbina dari kayu-kayu lurus untuk dipaku ke bangunan BA yang sama-sama kita kasihi ini.  Untuk memberi jawapan yang berbunyi “Kami biasa bersendirian” terlalu mudah untuk menghalalkan sebuah perceraian.

 

  Wahai Tuhan kami

    Tunjukkilah kami jalan yang lurus

    iaitu jalan orang-orang yang telah

    anugerahkan nikmat kepada mereka

    bukan jalan mereka yang dimurkai (Yahudi)

    dan bukan pula jalan mereka yang sesat (Nasrani)”

                                            (Surah Al-Fatihah Ayat 6 - 7)

 

 

 

Anual Bakhri Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar

Kelantan

Bertarikh:  20 Ogos 2001

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates