Home ]

Konsistensi Sikap PM

Back ] Next ]

 

PINDAAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI KELANTAN:

KONSISTANSI SIKAP


 

          Selaku warga negara Malaysia yang mengikuti pelbagai isu, rakyat Kelantan kehairanan dengan sikap PM yang “double standard” dalam ulasan beliau mengenai usaha Pindaan Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kelantan 2001.   Hairan sungguh rakyat Kelantan apabila dihubungkan gesaan PM semasa menuntut semua negeri untuk melakukan penyelarasan dalam kadar segera untuk menerima pakai Pindaan 1993 dan 1994 di peringkat Persekutuan dahulu dengan sikap beliau terkini. Gesaan beliau begitu dapat dirasakan begitu serius sehingga sampai ke tahap sanggup menyebutkan perkataan-perkataan yang sukar dilupakan seperti berikut:

 

i)                  “Jika Parlimen meluluskan rang undang-undang ini, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan kepada Yang di Pertuan Agong.   Jika Yang di Pertuan Agong memperkenankannya, maka ia akan menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sah.   Jika tidak diperkenankan ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.”

 

ii)                 “Adalah diharapkan kerajaan-kerajaan negeri akan menghormati keputusan raja-raja dan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat pindaan tersebut.”

 

iii)             “Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya peruntukan Perlembagaan Negeri sejajar dengan pindaan yang dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut kuasa yang diberi di bawah Perkara 71 Fasal Perlembagaan Persekutuan, satu undang-undang boleh dibuat di peringkat Persekutuan untuk memastikan bahawa peruntukan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu dapat juga dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri.   Dengan demikian kita berharap pindaan-pindaan yang dimaksudkan itu akan dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri.”

 

iv)              Kita tidak ada niat jahat terhadap Raja Kelantan.  Tetapi gerak geri Raja Kelantan dalam isu pindaan Perlembagaan ini amatlah tidak menyenangkan.  Bukan sahaja Kerajaan Pusat tidak dihormati, tetapi raja-raja lain juga tidak dihormati.”

 

v)                “Jika Dewan yang mulia ini didakwa tidak sah oleh Raja Kelantan, Dewan ini juga boleh mendakwa, dengan sebab-sebab berasas bahawa perlantikan dan penabalan Raja Kelantan sekarang sebagai sultan tidak sah.”

 

(Sedutan dari ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 8 Mac 1993 pukul 2.30 petang.)

 

Kini seolah-olah beliau dengan selambanya “is trying to be seen as comfortable while chewing  his own words.” 

 

Katanya:

“It is up to him.   If he does not give his assent, then the Amendment Bill will have no effect,” said Mahathir.”

Ini apa pula!

(New Straits Times 30 Julai 2001)

“Kita buat dengan niat lain, bukan niat fasal perkara remeh temeh seperti macam nak balas dendam.”

Ini apa pula!

(Utusan Malaysia 30 Julai 2001)

 

          Nampaknya PM tidak kisahkan sangat apa yang dia sebut dahulu dengan apa yang dia sebut kemudian.   Mungkin beliau yakin Melayu mudah dan sudah lupa.   Mungkinkah?

 

          Satu soalan yang terlalu penting untuk dijawab di sini ialah adakah PM berhajat agar KDYMM Yang DiPertuan Agong tidak menandatangani Pindaan semasa mengangkatnya ditahun 1993 dan 1994 dahulu?   Apa agaknya  harapan  beliau?     Tentunya  ia  diharapkan  untuk  ditandatangani.  

 

Tidakkah boleh beliau turut mengharapkan perkara yang sama dilakukan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan?  Dengan menandatanganinya, ia akan memenuhi hasrat PM untuk melihat semua Undang-Undang Negeri berada dalam keadaan yang terselaras.   Di sini tidak hairanlah apabila orang ramai mula mencari maksud sebenar niat PM disebalik sikap yang berkenaan yang beliau tunjukkan.

 

          Logiknya, PM wajar menasihati atau lebih tepat wajar mengeluarkan pandangan rasmi yang meminta Baginda Al-Sultan menandatangani..   Alasannya cukup mudah.   Dulu beliau menggesa semua Sultan menandatangani dan kini beliau masih menggesa Al-Sultan Kelantan menandatangani.   Kan ini dinamakan istiqamah.   Ini akan menambahkan penghormatan kepada PM sebagai bapa.

 

Dukacita nampaknya;   setakat ini ia tidak berlaku.

 

          Walaupun rakyat bersyukur bahawa PM tidak mengatakan yang proses pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan tidak sah,  tetapi rakyat masih kecewa dengan sikap beliau yang ditahun 1993 dan 1994 begitu mengharapkan semua Sultan menandatangani tetapi kini begitu kendur dengan “menyembah” pilihan pula kepada Al-Sultan Kelantan sama ada “boleh  menandatangani” atau “tidak menandatangani”.     Begitukah maksud sebenar Raja Berperlembagaan?

 

          Rata-rata pengamal undang-undang di pelbagai lapisanpun turut terpinga-pinga dengan pendirian ini.   Lihat sahaja Encik Karpal misalnya, yang mempersoalkan sama ada Al-Sultan mempunyai prerogatif sepenuh atau sememangnya tidak mempunyai langsung hak itu melainkan mesti menurun tandatangan!      Tolong rujuk artikel yang menjelaskan pendirian beliau dalam Malaysiakini.com bertarikh 30 Julai 2001.

 

          Sikap cuba membaca niat Kerajaan Negeri lalu diserkap dengan pelbagai andaian negatif agak sedikit mendukacitakan.   Biasanya PM seorang yang sangat objektif tetapi tidak untuk kali ini.   Sungguh menghairankan!   Benarkah Kelantan tidak berkongsi niat dengan Kerajaan Persekutuan apabila niat tersurat dan tersiratnya hanyalah satu dan itulah satu-satunya.   Mahukan erti nasihat dijelaskan dan mahukan setiap rang undang-undang akan menjadi undang-undang setelah tamat tempoh 30 hari.   Dimanakah letaknya perbezaan?   Adakah PM mahu melihat Kerajaan Negeri Kelantan terus menerus mengingkari Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan?

 

          Rakyat Kelantan sesungguhnya amat mengharapkan sebuah kejujuran dari PM termasuk restu simpati beliau untuk melihat sebuah hasrat rakyat yang telah dirasmikan melalui keputusan Sidang Dewan pada 25 Jun 2001 itu dihormati dalam semangat Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.   Secara demokratik ia diputuskan dan secara sah ia dipinda.   Tiadalah lagi kaedah berperlembagaan yang terbaik dan dapat difikirkan selain dan sesudah kaedah yang telah diatur dan dilalui oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim ini.   Jika rayuanlah yang masih diperlukan, maka kita tidak malu untuk merayu demi menunaikan sebuah tanggungjawab untuk sekaligus mengembalikan sebuah amalan Demokrasi Berparlimen ke tangan rakyatnya.

 

Kotalah kata bagai dikata!

 

  

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

 

Tanggal: 12 Jamadil Awal 1422  /   2 Ogos 2001.

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates