Home ]

Pahala Menentang RIBA

Back ] Next ]

 

 PAHALA KERANA MENYOKONG MENENTANG AMALAN RIBA (SEKALIGUS MENJAWAB SDR. SHAMSUL AKMAR NST 27 JANUARI 2002)

 

            Pertamanya, saya perlu mengucapkan syabas kepada Sdr. Shamsul diatas kepantasan melahirkan sebuah rencana yang mengulas pendirian Menteri Besar Kelantan yang terbaru.   Dengan baiknya, beliau telah mengatur analisa melalui penggaluran peristiwa yang ringkas bermula dari “decree” pengharaman Al-Arqam pada 5 Ogos 1994.   Dihubungkan sedikit dengan pengakuan (confession) David Koresh di Amerika lalu disebut sedikit kekaburan konsep penjelmaan Imam Mahdi sebelum beliau sentuh kelahiran dan kenabian palsu Musailamah Al Kazzab.   Semuanya nampak biasa.   Bagaimanapun ia mula kelihatan luar biasa apabila tulisan itu cuba menghantar pembaca kepada satu kesedaran yang Dato’ Nik Abd. Aziz adalah sebahagian dari rentak penyelewengan yang pernah lahir mengikut zaman.   Tuan Guru Nik Abd. Aziz adalah sebahagian  daripadanya.   Begitulah seolah-olah.  Oleh kerana cara ia dimainkan dikhuatiri boleh berakhir dengan sebuah fitnah dan salah tanggapan, saya mohon izin untuk berkongsi pena dalam membetulkan keadaan.   Itupun jika saya diberikan kemampuan oleh Allah S.W.T.    Tulisan Sdr. Shamsul Akmar yang bertajuk ‘pahala’ and the Pas link’  (NST. 27 Jan. 2002) adalah dengan ini dibuka kepada perbahasan.

 

           Sebagai muqaddimah, elok kita perbetulkan yang Menteri Besar Kelantan tidak pernahpun sebut bahawa wajib atau sunat untuk mengundi PAS.   Beliau hanya menjelaskan konsep asas yakni menyokong usaha menentang kemungkaran itu mendapat pahala.   Tidakkah riba itu sebuah dosa?    Menentangnya adalah termasuk di bawah nahyu mungkar.   Bersama menyokong pihak yang berusaha untuk menghapuskan riba tentunya mendapat pahala.    Ini kaedah yang ditentukan oleh Allah S.W.T.   Mana ada “parochialisme”.  Sdr. Shamsul yang cuba menyempitkan Islam.   Timbullah masalah.   Terdapat terlalu banyak bukti dari  Al-Quran dan Hadith yang dapat disandarkan.   Sebagai contoh, mari kita lihat 2 petikan Al-Quran dan 2 petikan Hadith seperti berikut:

 

1)      “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu dapat keberuntungan.”

(Surah Al-Baqarah:  Ayat 130)

 

 2)      “Orang-orang yang makan (mengambil riba) tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila.   Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

(Surah Al-Baqarah:  Ayat 275)

 

  3.      “Seseorang itu belum beriman dengan Al-Quran, selagi ia menghalalkah apa-apa yang diharamkan oleh Allah.”

(Al-Hadith)

  

4.          Semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi S.A.W. telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah.   Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, beliau telah dilontar dengan batu.   Penjelasan yang diberikan oleh Malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba.

(Matan dari Hadith)

 

          Sama juga dengan usaha baik untuk membina sebuah jambatan kampung.   Menyokong mereka yang membina untuk memudahkan orang ramai kerana Allah akan mendapat pahala.   Ini tidak payah tanya Mufti.   Demikian juga dengan kerja gotong royong untuk membersihkan kubur atau berjaga malam untuk mententeramkan  kampung  dari  ancaman  penjenayah.   Analoginya adalah sama.   Mana-mana orang yang menyokong makruf dan menentang kemungkaran yang boleh membawa kepada kesejahteraan akan mendapat pahala.   Ini soal kaedah.   Hatta sistem komunis pun menentang  kapitalisme dan riba kerana adanya elemen penindasan.   Jadi, menentang riba adalah menentang kemungkaran.

 

          Soal andaian Sdr. Shamsul selanjutnya yang cuba membuat tanggapan-tanggapan sendiri iaitu   “it means that those who vote for other political parties in this case UMNO, are committing a sin”.    Itu bukan kata-kata Dato’ Nik Abd. Aziz.   Itu hak Sdr. Shamsul untuk berbuat demikian.   Dalam hal ini, soalan mudah boleh ditanya sama ada  terdapatkah parti saingan selain PAS  yang mengharamkan riba dalam dasar dan pelaksanaan?    Jika jawapannya tiada, maka tentunya parti berkenaan tidak mendapat pahala kerana tidak mengharamkan riba.   Dalam konteks riba ini juga, mereka yang mengundi parti yang tidak mengharamkan riba akan mendapat pahala atau tidak?    Saya bertanya.  Tolong jawab!    Kita tidak bercakap tentang kenyataan lain selain daripada kenyataan Dato’ Nik Abd. Aziz yang menyentuh mengenai berpahalanya pengundi yang mengundi PAS dalam Pilihanraya 1990 kerana kerajaan yang menang di Kelantan dalam pilihanraya itu telah mengharamkan riba.   Kita  jangan lari dari maudhu’ ini.

 

          Semestinya Nik Abd. Aziz bukan Tuhan   seperti yang dengan sinisnya di sindir oleh PM.   Semua orang tahu itu.   Tuhan kita ialah Allah.   Tuan Guru Nik Abd. Aziz cuma mahu menjalankan tugas asasi sebagai insan yang dilantik sebagai khalifah yakni tujuan asal Allah menjadikan manusia (Khalifatan Fil Ard).    Apa yang diharamkan oleh Allah mesti diharamkan oleh pemerintah.    Begitulah juga sebaliknya.   Dan ini telah dibuktikan oleh beliau dalam bentuk pelaksanaan selepas tahun 1990 di Kelantan.   Soal nak dapat pahala banyak mana ini terpulanglah kepada Allah.   Salahkah bagi pemerintah yang diberi amanah oleh rakyat dengan izin Allah untuk mendaulatkan kebaikan Islam dalam kes riba ini?.   Jika tidak salah, apa lagi.

 

          Sepatutnya, jika parti saingan terasa yang langkah PAS ini terlalu progresif dan terkehadapan, marilah sertai proses berdakwah dan berjuang untuk mengurang dan menghapuskan riba secara bersama.   Ini bukan monopoli PAS.    Bukankah ini kerja mulia.   Diketika itu, UMNO pun boleh sebutkan bahawa pengundi yang mengundi UMNO mendapat pahala.   Percayalah!    PAS tiada halangan.   Jika mereka nak dakwa yang mengundi mereka dapat pahala; sekarang inipun PAS tidak ada halangan.   Dalam negara demokrasi yang mengamalkan pilihanraya, UMNO boleh tiru PAS jika mahu dan jika difikirkan perlu.    Kemudian terpulanglah kepada pengundi sama ada mahu percayakan perjuangan ikut kaedah UMNO atau PAS dalam mencari pahala.   Sepatutnya, atau logiknya, oleh kerana UMNO dah namakan negara ini Negara Islam, maka UMNO tiada halanganlah malah menyokonglah usaha yang dibuat oleh sebuah Kerajaan Negeri.   Mengharamkan riba adalah pendirian Islam, pendirian Nik Abd. Aziz, pendirian bersama dan pendirian sebuah Negara Islam.   Habis cerita.   Tiada isu lagi.  Mereka yang menyokong pihak yang menghapuskan riba dapat pahala.   Tidakkah kita bersama di sini.   Kita tidak berbeza.   Atau bagaimana    sebenarnya???   Lainlah jika yang kita hendak adalah lain sedangkan yang kita kata dan isytiharkan adalah lain.   Kalau begitu, susahlah! tak upayalah!

 

          Khuatirkan terlencung, saya ingin menarik kembali perhatian kita kepada isu sebenar.   Dato’ Nik Abd. Aziz cuma menyebutkan 3 perkara iaitu:

 

i)                Pengundi yang mengundi PAS di Kelantan;

ii)               Dalam Pilihanraya Umum 1990;

iii)              Dapat pahala kerana kerajaan yang menang menghapuskan riba.

 

Jangan kita terlencung atau sengaja melencung dengan judi, hudud, keganasan dan ajaran sesat kerana ini boleh menghilangkan perspektif.   Mencampur aduk dan menggaul isu untuk seakan-akan dilihat kalut tentunya kurang berfaedah.

 

          Diatas pembetulan premis ini, suka kita tanyakan Sdr. Shamsul iaitu jika saya orang UMNO (Melayu dan Muslim) dan saya sungguh-sungguh tidak mahu riba kerana beriman dengan Allah yang mengharamkan riba,  bagaimana  saya  boleh  yakin bahawa dengan mengundi UMNO saya akan mendapat pahala.   Sedangkan saya tahu UMNO tidak ada pendirian tentang riba.   Sebaliknya jika saya mengundi PAS yang menentang riba, tidakkah saya beroleh pahala kerana menyokong pihak yang menentang kemungkaran?   Siapa berani kata riba itu makruf dan kebaikan?    Dalam konteks inilah logik kaedah Menteri Besar Kelantan itu terlalu relevan untuk difahami.

 

          Sdr. Shamsul juga ada berselindung disebalik adanya setengah pemimpin UMNO yang mengatakan yang kegagalan Kelantan untuk meningkatkan taraf hidup umat keluar dari kemiskinan adalah satu dosa besar.   Kita mahu bertanya beliau yang tidakkah pengenalan dan pelaksanaan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahn) yang dipelopori oleh PAS di Kelantan dan kini baru dicontohi oleh lain-lain pihak adalah satu ikhtiar untuk menghapuskan riba.   Ia menyediakan alternatif dari amalan riba terus dibenarkan menindas rakyat.   Ini alternatif dan ini usaha yang dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam memerangi kemiskinan.   Sebenarnya terdapat pelbagai faktor penyumbang kepada lambatnya proses pemulihan taraf hidup rakyat termiskin.   Ini Sdr. Shamsul perlu tahu.   Amalan diskriminasi Kerajaan Pusat, atau skandal menggelapkan wang peruntukan PPRT dari sampai ke sasaran pun adalah antara faktor penting yang wajar diperhatikan.   Ia melambatkan proses penghapusan kemiskinan!  Hakikat kegagalan kerajaan sebelumnya untuk menghapuskan kemiskinan di Kelantan walaupun diberi peluang selama 12 tahun turut penting disebutkan di sini dalam memahami fenomena punca kemiskinan di Kelantan.   PAS cuma ambil alih sebuah perjuangan yang belum selesai.   Bahkan Kerajaan Persekutuan pun sampai ke hari ini masih belum mampu menghapuskan kemiskinan sama ada kemiskinan mutlak atau relatif.

 

          Selain daripada itu, komitmen Kerajaan Negeri yang anti riba turut terbukti dengan memindahkan semua Akaun Simpanan Perbendaharaan Negeri ke Bank yang bebas daripada riba.   Ini disebut dan dibuktikan sebaik-baik sahaja memenangi pilihanraya tahun 1990.   Dalam konteks inilah juga ucapan Dato’ Menteri Besar Kelantan pada 23 Januari 2002 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim itu harus difahami.    Ia ada latar belakang.   Ada teksnya yang boleh dibukti secara rakaman dari segi kandungan “verbetim”.   Menyebutkan Nik Abd. Aziz menjanjikan Syurga, atau hanya menyebutkan kononnya Menteri Besar Kelantan itu kata bahawa “undi PAS tahun 1990 dapat pahala” adalah putar belit, fitnah atau tidak jujur dalam mengambil apa yang sebenarnya yang dikata.   Sepatutnya sebelum mengulas, pengulas perlu dapatkan fakta yang sebenar terlebih dahulu.

 

          Selanjutnya, artikel Sdr. Shamsul yang cuba melalut dengan  mengaitkan Nik Abd. Aziz dengan  insiden Kerling, serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat, Al-Maunah, Al-Arqam dan KMM telah menjadi semakin lesu.   Ia sepatutnya mengkhususkan diri dengan apa yang Dato’ Nik Abd. Aziz ucapkan.    Kelima-lima golongan yang disenaraikan ini mahu mengambil alih kerajaan melalui cara lain.  PAS pula mahu nafikan kerajaan yang memerintah “by voting it out”   melalui  proses  demokrasi.    Ini  disahkan  sendiri  oleh  Sdr. Shamsul.   Kedua-dua perkara terlalu berlainan.   Jadi adalah sedikit mengarut bagi beliau untuk mengakhirkan rencana berkenaan dengan sebuah analogi yang begitu lemah.   Langsung tidak menyerlahkan sebuah relevan.   Hanya Allah S.W.T. sahajalah yang Maha Mengetahui maksud artikel beliau yang sebenar.

 

          Bagaimanapun, kita masih perlu mengucapkan syabas diatas percubaan beliau.   Sekurang-kurangnya ada juga kesempatan untuk kita sekali sekala menguji perbahasan.   Dalam semangat menghargai perbezaan pendapat, mungkinkah ada sebuah pembetulan?

 

Anual Bakhri Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Tarikh:17 Zulkaedah 1422 / 31 Januari 2002

Back ] Next ]

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates