Home ]

Pembangkang Pembohong dan Pemfitnah

Back ] Next ]

 

 PEMBANGKANG BERBOHONG DAN MEMFITNAH?

 

 Hampir  semua Berita di TV, radio dan akhbar pada 30 Disember 2001 sibuk sungguh dengan tuduhan pembangkang suka memfitnah dan berbohong.   Semua kerja dia, dia pindahkan kepada kita.   Kita fitnah macam mana?    Fitnah-fitnah ialah mengadakan apa yang tiada.   Bohong pula ialah tidak bercakap benar. 

Orang sekarang suka minta bukti.   Ambil sahaja 4 contoh sudahlah: 

i)         Kes kehilangan wang Tabung Haji sebanyak RM8 juta; 

ii)        Kisah penyalahgunaan wang untuk membantu golongan termiskin (PPRT) melibatkan peruntukan sejumlah RM47 juta; 

iii)        Kerugian terkumpul Perwaja Steel yang berjumlah RM2 bilion yang sudah sekian lama menjadi kes BPR dan tidak selesai-selesai sampai sekarang; 

iv)        Apa jadi laporan Polis Dato’ Fauzi Abd. Rahman, seorang ADUN Senior UMNO terhadap seorang pemimpin kanan UMNO mengenai amalan rasuah termasuk penyalahgunaan kuasa. 

Ketiga-tiga contoh adalah konkrit.  Masakan fitnah.   Tentunya bukan pembohongan.   Ini tidak ada kena mengena dengan pembangkang.   Ini yang dikatakan  “kerja dia, dia pindah kepada kita”. 

 

Perdana Menteri jangan lupa yang UMNO adalah parti pembangkang di Kelantan dan Terengganu.   Jika diambil perkembangan di Kelantan misalnya, Dewan bersidang untuk meluluskan Pindaan Perlembagaan Negeri agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan pada 25 Jun 2001.   Apa yang berlaku ialah 2 Wakil UMNO ponteng.   Protes tak kena tempat.    Mereka sibuk berdemonstrasi pula di luar dewan.    Orang ajak berbahas secara sihat di dewan, mereka sibuk bertempik di bawah pokok.   Macam mana nak faham.   Ini bukan cerita bohong.   Kemudian, pemimpin UMNO di Kelantan mencabar untuk berdebat.   Masa orang berdebat, lari.  Apabila  tempoh debat tamat, mereka ajak orang berdebat.   Seronok juga memerhatikan telatah pembangkang di Kelantan.

 

Di Terengganu pula, royalti yang dimaktubkan dengan perjanjian yang sah dan menjadi hak Kerajaan Negeri sejak berpuluh tahun telah tiba-tiba di tukar menjadi wang ehsan.   Mereka rampas hak Kerajaan Negeri lalu dibahagi-bahagikan sesuka hati macam menabur kacang butir.    Apabila keadaan akaunting, pengagihan wang dan pemantauan projek kucar kacir dan tidak memuaskan, ada pemimpin yang dilapurkan menghilangkan diri.   Jangan salahkan Kementerian Kewangan jika Kuala Lumpur meminta Laporan Penuh  Penyata Kewangan bagaimana pengagihan duit-duit tersebut dilakukan.   Ini keperluan prosidur.    Keperluan Jawatankuasa Keutuhan Kerajaan.   Jawatankuasa ini bukan bahan kosmetik sahaja.  

 

Jika difikir-fikirkan rakyat berdepan dengan dilema untuk memilih yang mana satukah yang benar.   Kalau royalti itu haram, bagaimana kedudukan Menteri Besar yang terdahulu dalam menggunakan wang yang ‘haram’  itu?.   Jika royalti yang dinikmati oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini betul, apa pula kedudukan Kerajaan Pusat yang merampas wang tersebut setelah Kerajaan Terengganu kini dipimpin oleh PAS?  Benar atau salah? Mengikut undang-undang atau melanggar undang-undang? Atau sudah tidak penting lagi untuk difikir soal undang-undang?   Siapa yang benar di sini dan siapa pula yang difitnah.   Kerajaan Negeri Terengganu dahulu yang salah atau Kerajaan Negeri Terengganu kini yang salah atau kedua-duanya yang benar?  Mungkinkah yang salah ialah Kerajaan Pusat?   Inilah keadaan serba salah kerana terlalu banyak amalan yang salah dan tidak dipersalahkan.   Usaha untuk membengkokkan yang lurus dan meluruskan yang bengkok semakin dibudayakan.    Rakyat sedang diajar untuk menerima kehidupan tanpa kayu ukur dan tanpa disiplin serta peraturan.

 

Ini fitnah atau pembohongan atau fakta atau kebenaran?

 

          Jika betullah pembangkang yang memfitnah dan berbohong, untuk apa kerajaan haramkan ceramah.   Apa ditakutkan kalau benar-benar semua yang disampaikan adalah bohong.   Semua kita tahu, jika perkara bohong, ia tidak akan dipercayai.   Ia tidak akan kekal lama dan biasanya akan memakan diri sendiri.   Sepatutnya biarlah orang ramai  mendengar dan menilai semuanya terlebih dahulu.   Ini dia kebebasan.  Ini dia demokrasi.   Ini dia hak bersuara.  Ini dia langit terbuka.   Ini dia masyarakat bermaklumat.   Kalau benarlah pembangkang berbohong dalam ceramahnya kenapa rakyat masih datang dalam jumlah yang cukup mengkagumkan.

 

Biarkan maklumat bersimpang siur.   Masyarakat menjadi kaya dengan fakta dari pelbagai arah.   Lalu mereka membuat penyertaan dalam proses dan pembangunan negara dengan aktif.    Ini berlaku di mana-mana negara maju.    Bagaimana mahukan kemajuan jika rakyat dipasung pemikirannya dalam pelbagai kongkongan?

 

          Lagipun jika pembangkang berhujah, kerajaan juga boleh berhujah.   Gunakan semua media untuk buktikan hujah pembangkang adalah  “corupt” dan fitnah.    Proses inilah yang sihat.   Rakyat makin menjadi peka dengan keadaan dan isu semasa.   Kerajaan pula lebih telus, berhati-hati dan bertanggungjawab.   Pembangkang terus memainkan peranan sebagai “watch dog” bagi menjaga kepentingan rakyat.   Inilah dia yang disebut orang sebagai “check and balance”. 

         

Keseluruhan proses ini akan menjamin kelahiran saf pemimpin negeri dan negara baik di Dewan-Dewan Undangan Negeri dan Parlimen - mereka yang benar-benar jujur, berpotensi, berketerampilan, amanah, cekap, bersih dan bertanggungjawab.    Rakyat yang berada dalam persekitaran begini akan sentiasa menikmati   “learning curve”  yang  amat  sihat.    Demokratizasi  politik (political democratazation) negara   akan menjadi semakin segar dengan proses penyertaan rakyat yang aktif dan bersifat menyumbang.

 

          Ini semuanya ditutup.   Sampaikan telinga rakyatpun nak ditutup.  Cuma satu sahaja saluran yang dibuka.  “Saluran yang memuji kerajaan”.   Saluran mana lagi! Stailnya seakan-akan mendiang sistem komunis.    Rangkaian radio, televisyen, akhbar dan majalah hampir beratus tetapi semuanya stereotaip.   Puji.  Puji.  Puji.   Ratib.  Ratib.  Ratib. Semua penyakit disorok.   Kurap, kerapu, angau, ahmar, darah tinggi, lemah jantung, kencing manis dan buah pinggang terus disembunyi  -  jauh sekali dari diakui  -  apa lagi untuk dirawat.  Bila penyakit nak sembuh?    Ini boleh membawa mati.   Jangan-jangan mati mengejut!.

 

          Beginilah barangkali nasib yang akan menimpa UMNO.   Dekat dah agaknya.    Apakah mungkin di 2003?. 

 

 

Anual Bakhri Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:16 Syawal 142231 Disember 2001

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates