UMNO main kasar
PAS akan kekal selagi Umno kekal dengan
sikapnya Oleh Mazlan Jusoh PASIR MAS
- PAS yakin akan terus diberi
amanah oleh rakyat memerintah Kelantan dan Terengganu selagi sikap Umno
sekarang tidak berubah. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru dato' Nik Abdul Aziz
Nik Mat berkata, pendekatan yang digunakan Umno tanpa mengandungi
unsur-unsur psikologi menyebabkan rakyat semakin lari dari parti itu.
Menteri Besar Kelantan itu
berkata, Umno selalu menggunakan pendekatan kasar terhadap musuh
politiknya sehingga rakyat sudah hilang kepercayaan. "Keadaan ini
boleh dilihat dengan jelas apabila Barisan Nasional (BN) tumbang di
Kelantan pada 1990, selepas itu mereka segera menubuh Jabatan
Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk mentadbir negeri ini dari segi
projek pembangunan.
"Begitu juga di Terengganu apabila
BN tumbang pada pilihan raya 1999, mereka tidak lagi mengiktiraf wang
royalti yang diberi kepada Terengganu sejak sekian lama," katanya
pada ceramah di Stadium Mini Pasir Mas, malam tadi.
Ceramah itu turut dihadiri bekas-bekas
penyanyi terkenal termasuk, Akil Abdul Hai Rawa dan Ito (bekas kumpulan
Blues Gang). Ribuan rakyat Kelantan hadir biarpun keadaan padang berair
dan becak. Hujan dua hari dua malam menyebabkan padang tersebut dipenuhi
air sehingga orang ramai yang hadir terpaksa berdiri sepanjang ceramah
diadakan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata,
perangai tidak menarik yang ditunjukkan Umno menyebabkan tidak ada lagi
pihak sayang terhadapnya. Beliau juga membidas tindakan Umno yang
mengarahkan polis untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai yang
hadir pada perhimpunan aman dianjurkan Barisan Alternatif. Begitu juga
sekatan untuk berceramah agama di masjid dan di tempat terbuka tidak
lagi dibenarkan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang. "Ini jelas
menunjukkan Umno tidak mengggunakan pendekatan psikologi (halus) untuk
berdepan dengan musuh politiknya," katanya.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS
berkata, Umno bukan sahaja mendapat tentangan dari luar, malah rakyat
bukan Islam turut menentang parti itu secara terang-terangan. Katanya,
penentangan pertubuhan-pertubuhan mewakili masyarakat Cina terhadap
penubuhan sekolah wawasan secara jelas menggambarkan parti itu tidak
disukai mana-mana pihak.
Sementara itu, Akil berkata, ramai
artis yang pernah terlibat dengan dunia hiburan sekarang semakin sedar
dan kembali ke jalan benar. Menurutnya, rakan-rakan artis sekarang ramai
yang sudah sedar dan meninggalkan dunia mereka yang melalaikan.
"Begitu juga dengan
bekas-bekas artis wanita sekarang sudah ramai yang menutup aurat,"
tambahnya. Orang ramai yang hadir tidak kering gusi mendengar ceramah
Akil yang serba berkebolehan. Begitu juga Ito bijak berceloteh di depan
rakyat Kelantan dengan pelbagai isu-isu semasa.
|