Sifat murah hati Malaysia yang memberi
pinjaman mudah berbentuk “concessionary loan”
berjumlah RM1.14 billion (US$300 juta) kepada
Negara Lubnan (lihat NST 25 November 2002)
menjadikan Malaysia pemberi pinjaman yang ketiga
terbesar selepas Negara Arab Saudi dan Perancis.
Sikap sebegini kelihatan makin terpuji apabila ia
dilakukan dalam bulan Ramadhan Al Mubarak. Itu jika
dilihat budi baik ini secara terpisah tanpa membuat
perbandingan.
2.Walau bagaimanapun, ia
kelihatan sedikit janggal apabila kita cuba bandingkan
langkah ini dengan lain-lain langkah yang juga utama
atau mungkin lebih utama. Semua orang tahu bahawa
hutang luar Malaysia dicatat oleh setengah pihak kini
sebagai akan mencecah RM167 billion ditahun 2003.
Dalam tahun ini (2002)sahaja, ia
berjumlah RM145 billion. (Lihat Berita Suara PRM
Keluaran 15 November 2002). Jika diasaskan kepada
maklumat ini, saya cuma terfikir mana lebih utama
untuk melangsaikan hutang sendiri terlebih dahulu atau
memberi hutang kepada orang lain? Saya melihat dari
sudut keutamaan. Walaupun mereka adalah saudara kita,
tetapi rakyat kita lebih hampir dengan kita. Firman
Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan berikanlah kepada
kerabat-kerabatmu, dan orang miskin serta orang
musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah
engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau-lampau.”
(Surah
Al Israa’: Ayat 26)
3. Perdana Menteri Malaysia jangan
pula terlupa yang pemberian Geran Wajib untuk Negeri
Kelantan masih belum ditunaikan sehingga ke tarikh
artikel ini ditulis. Ia berjumlah melebihi RM100
juta. Inidisebut wajib dalam
Perlembagaan; bukan sunat. Begitu juga dengan
Bantuan Perkapita kepada Sekolah-Sekolah Agama Rakyat
yang telah dibekukan dan dihentikan serta merta di
seluruh negara. Untuk Negeri Kelantan, ia melibatkan
jumlah bantuan melebihi RM2.0juta.
Walaupun orang boleh kata ianya sedikit tetapi ia
tetap besar bagi kami yang sering digerhanakan dengan
kemiskinan. Apakah masih mahu terus mendera kami
dan menganak tirikan anak sendiri untuk nantinya
diejek sebagai negeri miskin. Jangan salahkan rakyat
jika amalan ini digelar sebagai satu lagi bentuk
diskriminasi Kerajaan UMNO/BN ke atas negeri yang
diperintah oleh PAS secara sah. Jangan sampai orang
sebut bahawa UMNO/BN suka menyusu pihak lain di hutan
dan meninggalkan anak kandung untuk mengalami
kelaparan di atas riba sendiri.
4. Saya hanya khuatir kita cuma
berbakti untuk semata-mata dilihat berdiri sama tinggi
dengan Negara Arab Saudi atau Perancis yang
sememangnya cukup kaya. Sekaya merekakah kita? Jika
kaya, kenapa hutang negara kini sedemikian
menggerunkan. Kalau nak masak nasi, biarlah ikut
ukuran periuk kita. Potong bajupun sama; biar ikut
badan sendiri. Saya tidak sekali-kali menyekat orang
untuk berbuat kebaikan. Apa yang dipersoalkan ialah
dari segi meletak dan mengukur keutamaan. Siapa
agaknya yang akan
membayar hutang negara Malaysia yang
kian meningkat? Jika jawapannya ialah rakyat, maka
berhati-hatilah dalam menggunakan setiap sen wang yang
ada di Kementerian Kewangan. Kurang cermat namanya
jika soal itu dilihat sebagai perkara masa depan dan
perlu difikirkan oleh pemimpin berikutnya. Yang
kasihannya ialah rakyat.
5.Di Kelantan sebaliknya,
kami amat mengambil sikap yang berhati-hati. Kita
tidak akan meminjam kecuali terdesak. Kita rela
membangun dengan seperlunya asalkan rakyat tidak
dibebankan dengan kos hidup yang tertekan. Jika kita
sebut belanjawan yang mesra rakyat, kita jelmakan
kemesraan itu dengan harga barang yang terkawal, cukai
pintu yang rendah, caj bekalan air yang minimum, hasil
dan cukai tanah yang sederhana serta kehidupan yang
bebas dari kenaan tol. Di lain-lain tempat, banding-bandingkanlah.
6.Mungkin jugalah
Perdana Menteri Malaysia sedang berkira-kira untuk
membuat kebajikan sebanyak mungkin sebelum beliau
benar-benar meletakkan jawatan 10 bulan dari sekarang
iaitu pada bulan Oktober 2003.