MINDA
TOK GURU
NASIB SEKOLAH AGAMA
RAKYAT (SAR)
Belumpun reda isu
penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik, Sekolah Agama Rakyat (SAR) kini
‘diletupkan’ sebagai beban tambahan kerajaan.
Elok-elok tiada isu, UMNO timbul-timbulkan elemen
pembangkang di dalam Sekolah Agama Rakyat. Penyakit
lama UMNO tidak pernah diubati. Penyakit yang
dimaksudkan ialah mendahului keputusan sebagai
‘bersalah’ sebelum membuat siasatan dan mendapatkan
laporan. Kehadiran Timbalan Perdana Menteri dalam
Majlis Berbuka Puasa pada 10 November 2002 di Yayasan
Kemiskinan Kelantan, Peringat yang menyebut beliau
sedang menunggu laporan mengesahkan perangai lama ini.
Peruntukan Perkapita kepada semua SAR telah
dihentikan secara serta merta. Lihatlah, bagaimana
keputusan ‘bersalah’ dibuat dahulu sebelum siasatan
dijalankan.
Dalam hal ini, PAS
dituduh sebagai mempolitikkan Sekolah-Sekolah Agama
Rakyat. Bila diminta bukti, mereka menjawab mereka
sedang sibuk mencari bukti dan menyediakan laporan.
Saya, sampai sekarang tidak faham dengan istilah
mempolitikkan isu. Tidakkah UMNO juga parti politik
seperti PAS yang merupakan sebuah parti siasah yang
berdaftar. UMNO bukan pertubuhan sosial, badan
kebajikan atau badan khairat kematian. Dakwaan UMNO
itu sendiri bahawa PAS mempolitikkan sekolah-sekolah
SARpun sudah dikira berpolitik. Seluruh rakyat
yang berumur 21 tahun ke atas juga berhak untuk
menilai cara ‘politiking’ UMNO dalam isu ini kerana
mereka juga terlibat dalam politik pilihanraya dalam
menilai siapa yang lebih benar dan layak untuk dipilih
sebagai Wakil-Wakil Rakyat di Parlimen nanti.
Yang saya nampak
benar-benar berpolitik dibidang pendidikan dan
menggunakan platform pendidikan sebagai gelanggang
ialah UMNO.
Tidakkah Mesyuarat
Agung PIBG di serata ceruk negara menjemput
pemimpin-pemimpin UMNO untuk berucap dan melakukan
perasmian. Logo UMNO dan nama Ketua Bahagian
terpampang besar di pintu masuk Universiti, IPTA dan
IPTS termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah-Sekolah
Menengah. Malah, bangunan-bangunan sekolah yang sedang
dibina pun dinaikkan cogan kata “ Satu Lagi Projek BN
“. Siapa mahu menafikan bahawa pemimpin UMNO boleh
keluar masuk untuk berpidato di mana-mana kampus
Universiti tanpa berpintu. Mereka boleh menyindir,
mengherdik, menghina dan kadang kala memfitnah
pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dan
Terengganu yang dipilih secara sah melalui proses
demokrasi berpilihan raya. Majlis-majlis penyampaian
beg-beg sekolah dan bantuan alat tulis termasuk
basikal dan uniform sekolah turut melibatkan
pemimpin-pemimpin bersongkok tinggi dari UMNO. Hatta,
pertukaran dan naik pangkat guru-guru pun telah
dicampur aduk dengan rekod-rekod sama ada menyokong
UMNO atau sebaliknya. Orang yang kuat parti akan
cepat menjadi Pengetua/Guru Besar. Berjalanlah ke
mana-mana sekolah, rakyat Malaysia tidak akan berjumpa
barang secalitpun warna hijau melainkan kebanyakannya
biru. Perkara ini boleh disemak untuk pengesahan.
Demikian secebis ‘trauma’ tanda ketakutan yang amat
sangat UMNO kepada PAS. Dia yang berpolitik dan
mempolitikkan isu, kemudian telah melontarkan tuduhan
sebegini untuk ditanggung oleh PAS.
4. Kursus-Kursus
anjuran Biro Tata Negara (BTN) semakin menjelaskan
keadaan ini. Penceramah boleh dikatakan sentiasa
terdiri daripada orang-orang UMNO atau orang-orang
yang berkecenderungan UMNO. Kerahan tenaga yang kini
diperingkat cadangan diperhatikan sebagai lebih berupa
program gerak saraf untuk “brainwash” generasi muda
Malaysia supaya taksubkan UMNO dan melihat pihak-pihak
di luar UMNO sebagai musuh negara. Rakyat mula
meragui keikhlasan pelaksanaan Kerahan Tenaga kerana
rekod penglibatan Biro Tata Negara yang amat sinonim
dengan UMNO.
Berbalik kepada SAR,
saya kadang-kadang terasa amat berkecil hati dengan
sikap pemimpin UMNO. Tergamak, Bantuan Perkapita
yang telah sekian lama diberipun, kini telah
dihentikan secara serta merta. Sampai hati! Saya
khuatir UMNO sedang mendera anak bangsa dan anak
buahnya sendiri. SAR bukan milik PAS dan hanya untuk
anak-anak ahli PAS. Ia terbuka untuk semua orang
tanpa mengenal rupa bangsa dan faham politik. Kalau
hendak dikirakan, SARlah Institusi yang paling lama
berjuang untuk mempertahankan tulisan jawi. SAR juga
boleh dikatakan sebagai benteng pertahanan terakhir
tapak semaian generasi Islam yang mendapat benih
pendidikan awal mengikut Kurikulum Pendidikan Islam.
Tekanan ini boleh sampai keperingkat menyebabkan SAR
tidak dapat menjelaskan bil elektrik dan air.
Kepungan peruntukan yang berupa sekatan bantuan oleh
Kerajaan Pusat tajaan UMNO seakan-akan menyerupai
langkah diskriminasi Kaum Musyrikin di Mekah terhadap
Nabi Muhammad S.A.W. dan penyokong-penyokongnya 1,400
tahun yang lalu. Abdullah bin Ubai pernah mengetuai
langkah kepungan ekonomi semasa Nabi S.A.W berada di
Madinah. Peristiwa malang ini ada dirakamkan dalam
Al-Quran yang bermaksud, “ Janganlah Kamu
Membelanjakan Harta Kamu Kepada Orang-Orang Yang Ada
Bersama Rasulullah Supaya Mereka Bersurai (
Meninggalkannya ) - Lihat Sebahagian Dari Maksud Surah
Al-Munafiquun Ayat 7. Tidak banyak bezanya.
6. Saya masih
menekankan soal bukti. Tidak cermat namanya apabila
pemimpin negara asaskan keputusan bersandarkan laporan
lisan seorang kanak-kanak kecil, anak seorang UMNO
yang bila pulang ke rumah kononnya, meminta
diturunkan gambar ‘firaun’. Katakan jika ianya
benar sekalipun, takkanlah satu keputusan yang
sebesar itu boleh dibuat hanya dengan suara rungutan
seorang kanak-kanak. Mangsa adalah 68,463 orang dari
pelajar SAR dan 58,992 orang pelajar dari
sekolah-sekolah Agama negeri dipelbagai peringkat umur
di seluruh negara. Jika laporanlah yang TPM sedang
tunggu, maka mungkin artikel ini boleh membantu
memberi pandangan kedua bagi pihak seluruh ibu bapa
dan umat Islam di Malaysia. Hentikan kerja membuat
keputusan dengan gopoh gapah. Jika boleh saya merayu,
mohonlah kiranya semua pihak mengambil sikap dengan
lebih bertenang dan berlemah lembut. Kita berada di
bulan Ramadhan. Ini bulan Syahrul-Muwaasaati.
Kitapun kira-kira dah jadi Negara Islam. Lihatlah
kepentingan agama Islam dalam konteks yang menyeluruh.
Ketepikan soal nafsu. Kalaupun UMNO mahu berpolitik,
janganlah pula sampai melebihi paras yang patut.
Jangan ditambah kemarahan rakyat. Tanganilah
isu-isu sedia ada tanpa mencarikan punca
kebencian tambahan terhadap UMNO/BN. Jika PAS
sering dituduh sebagai parti yang tidak
memberikan nasihat, maka inilah salah satu dari
nasihat. Fikir-fikirkanlah. Kata pepatah; ikut
hati mati, ikut rasa binasa. UMNO sedang mengikut
apa?
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK
MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh:9 Ramadhan
1423 / 14 November 2002.
|