Sikap dan hajat UMNO yang sebenar
mengenai Sekolah Agama Rakyat (SAR) akhirnya
terbongkar juga. Alasannya beralih
mengikut naik turun matahari. Dihari
pertama ia mendedahkan rahsia kononnya seorang anak
orang UMNO iaitu pelajar SAR yang meminta ayahnya
menurunkan gambar ‘firaun’. Dua
hari kemudian diisytiharkanlah berita sedih
pemberhentian Bantuan Perkapita ke semua sekolah SAR.
Sementara itu, pada 10 November 2002, semasa
menghadiri majlis Berbuka Puasa di Peringat, Kelantan
Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa
Kerajaan masih menyediakan laporan sedangkan bantuan
telah dibekukan. Kemudian alasan
dipindahkan pula kepada dua faktor lain iaitu
kekurangan kemudahan asas disemua SAR dan kekurangan
guru-guru terlatih. Ini disebut sendiri
oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri iaitu Tan
Sri Dr. Ab. Hamid Othman. Berasaskan
dua kekurangan itulah maka semua Sekolah Agama
kemungkinan ditutup. Daripada
bekukan Bantuan Perkapita, sedang membuat laporan dan
siasatan kepada kemungkinan menutup terus semua SAR.
Di dalam NST bertarikh 9 dan 10 Disember 2002, Dato’
Zainuddin Maidin dan Timbalan Menteri Pendidikan
memperkukuhkan lagi kemungkinan ini dengan mengacah
cadangan untuk menyerap semua pelajar SAR ke
Sekolah-Sekolah Kebangsaan diatas alasan untuk
mengintegrasi dan menyeragamkan pendidikan dalam satu
sistem pendidikan yang selaras untuk
memenuhi aspirasi masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum.
Demikianlah anjakan setapak ke setapak alasan demi
alasan untuk akhirnya mewajarkan penutupan SAR.
Saya sampai sekarang masih melihat langkah
kerajaan dalam isu pendidikan terkini dengan penuh
kehairanan. Jika dalam usaha untuk
mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris
kerajaan sanggup menjadikan mata pelajaran Sains dan
Matematik sebagai kuda tunggangan, tidakkah dalam soal
Islam, Kerajaan Pusat boleh memakai kaedah yang sama.
Jika ada kelemahan dari segi infrastruktur atau tenaga
pengajarnya yang kurang kelayakan maka kenapa tidak
diatasi. Begitu juga dengan tuduhan yang
kononnya ada guru-guru SAR yang mempolitikkan sekolah.
Sila tunjukkan buktinya supaya senang bagi pihak
berkuasa mana-mana negeri mengambil tindakan.
Semuanya tidak berjawab. Yang ada hanyalah
sogokan tuduhan terhadap SAR dan tindakan yang
tergopoh gapah. Hanya dengan nyamuk
seekorkah kerajaan mahu membakar seluruh kelambu dan
mengorbankan pendidikan agama seluruh umat Islam.
Walaupun nampaknya kerajaan beria-ia setakat ini untuk
memindahkan seluruh pelajar SAR ke sistem
Sekolah-Sekolah Kebangsaan tetapi apakah mungkin
Sekolah-Sekolah Kebangsaan mampu menyediakan resepi
pendidikan agama yang menyeluruh dan komprehensif.
Kurikulum pendidikan di semua SAR amat khusus.
Tekanan kepada Bahasa Arab adalah salah satu daripada
elemen yang paling penting.
Apakah mungkin Sekolah-Sekolah Kebangsaan mampu
memainkan peranan asuhan yang seintensif
Sekolah-Sekolah SAR. Saya sangat khuatir
dalam jangka panjang nanti umat Islam akan mempelajari
dan memahami Islam melalui teks-teks terjemahan.
Tidakkah ini mendedahkan umat dan generasi akan datang
kepada bahaya tulisan orientalis?
Saya sangat tertarik dengan amalan dan layanan
Kerajaan Thailand terhadap sekolah-sekolah
agama. Kerajaan Thailand telah memberi
bantuan kepada semua sekolah-sekolah agama kerana
mereka meniru amalan yang dibuat oleh Kerajaan
Malaysia.
Saya bangga kerana mereka meniru kita.
Tahu-tahu, Malaysia pula telah menghentikan bantuan
itu tanpa sebarang alasan yang konkrit. Mereka (Kerajaan
Thailand) nampaknya lebih lunak dalam dalam
memberikan perhatian, bantuan kewangan dan sokongan
kepada sekolah-sekolah agama. Ini
sekaligus telah mengurangkan ketegangan antara
masyarakat Melayu dengan Kerajaan Thailand.
Saya sesungguhnya khuatir langkah kerajaan yang
dilihat sangat memusuhi SAR ini akan menambahkan lagi
ketegangan dan kegelisahan antara orang Melayu dengan
kerajaannya. Adakah UMNO faham tetapi buat-buat
tak tahu dengan langkah ini. Sesuatu dasar
awam jangan dipandang mudah kerana orang awam itu juga
merupakan warga sebuah sistem dalam kerajaan demokrasi.
Mereka juga pengundi. Mustahil UMNO tidak
sedar bahawa mereka sedang mengganggu cara hidup,
kepercayaan dan keyakinan orang Melayu yang beragama
Islam.Ini amat sensitif .
UMNO nampaknya tidak sudah-sudah
mengamalkan pendekatan permusuhan dengan orang-orang
Melayu. Peristiwa Memali, Peristiwa Lubuk
Merbau, rampasan royalti minyak di Terengganu, amalan
diskriminasi dalam subsidi baja di Kelantan,
penindasan kepada para kontraktor yang menyokong
pembangkang, paksaan kepada guru-guru untuk
menunjukkan no. keahlian UMNO dalam kenaikan pangkat
dan pertukaran; penubuhan Kelab-Kelab UMNO di luar
negara. Malah terlalu banyak
contoh-contohnya.
UMNO telah banyak memecah belahkan
perpaduan orang Melayu walaupun sangat gemar menyebut
tentang pentingnya perpaduan. Tiga
Perdana Menteri yang lepas tidak pernah mengamalkan
kaedah permusuhan seteruk Perdana Menteri yang ada
sekarang. Sebab itu, telah berlaku
detik-detik perpecahan orang Melayu yang amat ketara
dalam tempoh 20 tahun ini.
Sekurang-kurangnya, UMNO pernah berpecah dalam Team A
dan Team B. Kemunculan Parti Melayu
Semangat 46 adalah kemuncak kepada perpecahan yang
berlaku ditahun 1987. Tidak serik dengan
kejadian itu, Presiden UMNO menendang keluar Timbalan
Presidennya yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim
ditahun 1998. Orang Melayu berpecah
lagi di bawah bendera Parti Keadilan Nasional.
Sejak tahun 1998, UMNO terus terusan menindas orang
Melayu dengan pelbagai dasar yang menekan.
Dengan selamba UMNO mengherdik bangsanya sebagai
satu bangsa yang jumud, miskin dan lemah.
Dalam Perhimpunan Agung pada bulan
Jun 2002, orang Melayu telah
disahkan sebagai kumpulan yang tidak
setanding dengan bangsa-bangsa lain.
Melayu mudah lupa. Melayu perlu dibuang
tongkatnya. Semua bukti menunjukkan
kegagalan UMNO dalam mempertahankan maruah orang
Melayu. Apa tak gagalnya apabila
semua bukti menunjukkan:
·
Penagih dadah terbesar negara adalah
orang Melayu;
·
Golongan termiskin rata-ratanya orang
Melayu. Peratus yang rasuah dan pecah
amanah tinggi di kalangan orang Melayu;
·
Tidak kurang juga dengan skandal
penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu;
·
Mereka yang ketinggalan dalam pelajaran
adalah anak Melayu;
·
Penguasaan di bidang teknologi dan
perniagaan menampakkan kekurangan orang Melayu;
termasuk pelbagai jenayah kolar putih
rata-ratanya melibatkan anak Melayu.
Jika dibuat kajian, penagih dadah, GRO, pemuda lepak,
sindrom hidu gam, perogol, peminat pil khayal,
pengunjung nite club dan jenayah kolar putih adakah
ianya dari lepasan SAR atau sekolah-sekolah Kebangsaan?
Saya cuma bertanya. Mungkin satu kajian
bebas boleh dilakukan untuk membandingkan bahaya
sekolah-sekolah SAR secara berbanding dengan lepasan
dari Sekolah-Sekolah Kebangsaan.
Dalam kesibukan mencadangkan pelajar SAR diserap masuk
ke sekolah-sekolah kebangsaan, Perdana Menteri
sebaliknya turut mendedahkan penyelewengan
Sekolah-Sekolah Kebangsaan dari matlamat asal.
Penyelewengan dikira berpunca dari adanya penekanan
yang berlebihan kepada kurikulum dan disiplin agama
Islam yang diamalkan oleh sesetengah tenaga pengajar.
Ini dianggap telah menakut-nakutkan ibu bapa bukan
Islam dari menghantar anak-anak ke Sekolah-Sekolah
Kebangsaan. Jika inipun sudah dianggap sebagai
menyeleweng, saya sudah tidak dapat membayangkan apa
lagi jenis kelonggaran yang akan dibuat di
Sekolah-Sekolah Kebangsaan dalam menguatkuasakan
disiplin Islam. Bagaimana pula pemimpin UMNO
boleh yakin bahawa Sekolah Kebangsaan sudah memadai
bagi menyediakan pendidikan
agama untuk mengajar anak-anak mengenai
ajaran Islam. Sudahnya, SAR terhapus dan
Sekolah Kebangsaan yang hanya memberikan pendidikan
asas Fadhu Ain selama 45 minit sehari yang akan
menggantikan seluruh kurikulum Islam.
Dipertengahan tahun ini pula, kita mendengar langkah
mahu menggunakan Bahasa Inggeris dengan secara yang
lebih luas dalam Sistem Pendidikan Negara.
Lihatlah makalah-makalah yang ditulis oleh ahli-ahli
dan pakar-pakar bahasa dalam majalah-majalah seperti
Dewan Sastera dan Pelita Bahasa tentang keluhan protes
bangsa Melayu terhadap langkah UMNO ini.
Hakikat terlancarnya satu kempen pungutan sejuta tanda
tangan adalah manifestasi keluh kesah rakyat terhadap
UMNO yang sudah kehilangan pedoman kemelayuannya.
Permusuhan dengan orang Melayu diteruskan lagi dengan
mengancam kehendak orang Melayu yang cenderung
menghantar anak-anak mereka ke SAR. Tanpa
menghiraukan kegelisahan rakyat, UMNO nampaknya sangat
sombong dengan kuasanya.
Hatta di Mesir sekalipun masih terdapat dua sistem
pendidikan yang diizinkan. Ada
sekolah-sekolah kerajaan dan ada sekolah-sekolah
rakyat yang dipelopori oleh pihak swasta.
Universiti Al Azhar itu adalah sebuah Universiti Islam
yang terunggul yang direstui dan dibiayai oleh rakyat.
Perkembangan ini tidak pernah menjadikan Kerajaan
Mesir mahu menutupnya diatas nama mahu
menyeragamkan sistem pendidikan.
Ini soal pendemokrasian pendidikan. Ia
soal kebebasan memilih untuk menentukan apa yang
terbaik yang difikirkan oleh setiap ibu bapa.
Salahkah jika lahirnya lepasan-lepasan pelajar SAR
yang alim tentang agamanya. Saya tidak
faham bagaimana boleh Perdana Menteri Malaysia risau
apabila sekolah-sekolah SAR mampu melahirkan lebih
banyak ulama’ - (Lihat Berita Harian 28
November 2002). Lebih-lebih lagi
dalam perkembangan SAR terkini, telah ada aliran sains
dan mata pelajaran-mata pelajaran akademik.
Kenapa harus keliru dan mengelirukan istilah ulama’.
Asalkan generasi muda kita bertaqwa kepada Allah maka
itu sudah cukup dan SARlah salah satu dari kilang
penting yang menghasilkan generasi ini.
Generasi yang lahir dari acuan SAR yang terbaru ini
akan tidak syak lagi mampu menyumbangkan kepakaran
dalam pelbagai bidang.
Saya amat yakin bahawa pihak luar yang pertama
bersukacita dengan langkah UMNO ini ialah kaum Yahudi.
Mereka sangat setuju jika pemimpin Islam sendiri mahu
sekolah-sekolah agama Islam dihapuskan.
Tidakkah UMNO sedar bahawa setiap kali kita membaca Al
Faatihah, maka kita sedang menolak ajaran dan pegangan
kaum Yahudi dan Nasora - (Ghoiiril
Magh dhu Bi ‘alaihimWaladh dho lliin).
Sikap UMNO yang mahu menekan SAR sangat-sangat selari
kira-kiranya dengan perangai kaum Yahudi.
Takut sangat orang terpengaruh dengan PAS apabila
anak-anak dihantar ke SAR. Saya mahu tanya
bentuk Kurikulum baru yang konon dikatakan mencukupi
bagi mendidik pendidikan agama Islam sedangkan acuan
Sekolah-Sekolah Kebangsaan adalah acuan
pendidikan sekular.
Pendidikan agama hanya tidak lebih dari 45 minit
sehari. Mata pelajaran selainnya
adalah bebas lepas dari dihubungkan dengan kepentingan
Islam.
Kita sudah ada pengalaman pahit apabila keputusan
kerajaan yang menghapuskan tulisan jawi.
Kini kita menyesal. Kita kembali pula
kepada tulisan jawi. Apa kata jika
dengan langkah pembubaran SAR ini, kita menyesal
setelah melihat generasi yang lahir sudah tidak
mendalam amalan Islamnya. Tazkirahpun
tiada. Usrah dipersempitkan.
Pintu Masjid kadang kala disempitkan untuk
Sembahyang Jemaah sahaja. 30 tahun
akan datang , berpatah balikkah kita untuk kali kedua?
Usah diperjudikan nasib agama semata-mata diatas
perkiraan politik dan nafsu untuk mempertahankan kuasa.
Carilah jalan lain untuk popular.
Jangan jadikan Islam sebagai cagaran.
Korbannya adalah umat Islam itu sendiri.
Boleh jadi UMNO mahu mengambil hati pengundi-pengundi
dari masyarakat Cina. UMNO mungkin mahu
memancing orang
Cina dengan menjadikan bukti toleransi
mereka yang menekan agamanya sendiri. Saya
sungguh tidak sangka sebuah negara yang
baru menamakan dirinya Negara Islam
sanggup menindas generasi Islam dan ibu bapa yang
kasihkan pendidikan dalam acuan SAR.
Logiknya sebuah Negara Islam sangat dahagakan ulama’
untuk membantu proses bagi memartabatkan Islam.
SARlah kira-kiranya
menjadi wasilah bagi melahirkan
semangat sayangkan Islam dan kasihkan agama.
Jika pengisytiharan Malaysia sebagai Negara Islam pada
29 September 2001 itu benar-benar jujur, tidak ada
sebab SAR mahu diganggu gugat dan ditutup.
Pendek kata , pendirian UMNO dalam isu
ini benar-benar memecahkan tembelang siapa UMNO yang
sebenarnya.
Adakah dengan menutup semua Sekolah Agama Rakyat, UMNO
telah membela Islam atau ada niat buruk yang lain di
sebaliknya. Saya pulangkan kepada seluruh
ibu bapa untuk meneka jawapannya.