MINDA
TOK GURU
SELAK
KAIN, SIAPA BERPOLITIK?
PAS
sekali lagi dituduh cuba mempolitikkan isu keputusan
Mahkamah yang mendapati Saudara Ab. Razak Abas (Abe
Jak) sebagai tidak bersalah. Dengan
keputusan ini sahlah bahawa tertuduh tidak bersalah.
Apa lagi? Yang jelas berpolitik
ialah UMNO. Dari awal lagi kes dicetuskan iaitu
semasa Pilihan Raya Kecil DUN Anak Bukit dan Parlimen
Pendang pada 18 Julai 2002, rakyat sudah dapat
mengagak yang ianya politik UMNO. Siapa
yang mendakwa Abe Jak kalau tidak Puteri UMNO.
Malah dalam Mahkamah sekalipun para pemerhati
sering melihat kehadiran tidak kurang dari 3 orang
peguam UMNO yang sering berkeliaran.
Bagaimana pula bekas Setiausaha Parlimen yang kini
dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri
Penerangan telah dengan tiba-tiba menuduh PAS
berpolitik.
Jika benar-benar
mahu mencari siapa lebih berpolitik selepas keputusan
Mahkamah, tidakkah kenyataan Perdana Menteri pada 2
Januari 2003 dalam Utusan Malaysia yang didakwa Karpal
Singh sebagai menghina Mahkamah telah menjelaskan
kedudukannya. Dato’ Seri Dr. Mahathir
berkata:
“Dato’
Seri Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, pihak
berkuasa hanya akan dapat menangani secara baik
kes-kes menyelak kain dan menunjuk kemaluan pada masa
akan datang dengan cara merampas segera kain tersebut.”
“Saya
tidak tahulah macam mana kain itu hendak buktikan
bahawa dia (tertuduh) menyelak kain.”
Tidakkah
mungkin kenyataan ini boleh membawa kepada tuduhan
menghina keputusan Mahkamah. Ia
seakan-akan mempertikaikan keperluan kain pelikat yang
telah diputuskan oleh Mahkamah dijadikan sebagai bahan
kes. Apakah sangka baik yang boleh kita
berikan kepada UMNO dalam hal ini.
Nampaknya, UMNO bukan setakat berpolitik tetapi
seolah-olah mempersoalkan kewajaran keputusan Mahkamah.
PAS tidak sampai ke situ.
Perihal kalutnya UMNO untuk mempertahankan diri kerana
dituduh mungkin telah menghina Mahkamah boleh dilihat
dalam percubaan menjawab yang dibuat oleh Dato’ Rais
Yatim. Walaupun tercungap-cungap, beliau
gagahkan diri juga untuk mempertahankan Perdana
Menteri. Mari kita perhatikan betapa
sukarnya Rais:
“Dr.
Rais berkata sama ada ia menghina atau tidak, ini soal
kehakiman. Beliau berkata, Perdana Menteri
tidak melakukan tindakan mencerca proses kehakiman
kerana seseorang berhak mengeluarkan pendapat mengenai
proses perbicaraan. Menurut
beliau, mana-mana pihak sama ada PAS atau UMNO
mestilah menghormati keadilan.”
Sekali
bercakap boleh, sekali tak boleh dan sekali lagi mesti
menghormati keadilan pula. Mana satu yang betul?
(Lihat Berita Harian 4 Januari 2003)
Kenyataan Dato’ Mustapa Mohamad pula lagi pelik.
Katanya “PAS harus menegur pemimpin berkenaan supaya
tidak mengulangi kesilapan tesebut dan parti itu (PAS)
harus meminta maaf kepada masyarakat” (Berita Harian
5 Januari 2003). Apa yang hendak ditegur
apabila Mahkamah sendiri memutuskan bahawa beliau
tidak bersalah? Begitu juga dengan
tuntutan Mustapa supaya beliau meminta maaf kepada
masyarakat. Soal Ab. Razak yang dijadikan
‘hero’ tidak berbangkit kerana disepanjang hampir
separuh abad di dalam UMNO, beliau memang telah
dijadikan ‘hero’. Ab. Razak
boleh menceritakan satu persatu
peristiwa pembakaran sebuah jambatan di
Rantau Panjang dalam satu pilihan raya
untuk menyekat
penyokong PAS dari keluar mengundi. Ini
adalah hasil ‘kerja mulia’ pemimpin UMNO.
Mustapa perlu membuat “homework” selaku Pengerusi
Perhubungan UMNO Negeri. Jangan asyik
ghairah mahu bercakap sahaja tanpa fakta.
Ab. Razak adalah orang lama UMNO yang telah masak
dengan kezaliman UMNO. Beliau
memasuki PAS kerana yakinkan kebenaran; bukan
kerana subsidi pangkat atau wang.
Apa yang telah dilakukan beliau dalam PAS kini ialah
mendedahkan kezaliman UMNO.
Ini punca sebenar yang mendedahkan beliau kepada
seribu satu macam gangguan.
Keupayaan Mustapa sering dipersoalkan oleh rakyat
dalam pelbagai isu. Semasa menuduh
pegawai BPR Kelantan yang tidak mengambil tindakan
apabila pemimpin UMNO membuat laporan terhadap
pemimpin PAS yang kononnya rasuah dipertengahan tahun
lepas, sekali lagi Mustapa menampakkan kegopohan.
Isu menjadi senyap apabila Pengarah BPR mengeluarkan
satu Kenyataan Akhbar. Pengundi
hantu dan pemegang dua Kad Pengenalan di negeri-negeri
sempadan adalah satu lagi isu yang cuba dimainkan
Mustapa. Kementerian Dalam Negeri yang
bertanggungjawab sepenuhnya dalam kerja-kerja Kad
Pengenalan. Apa kaitannya dengan
PAS? Kenapa harus
marah-marahkan PAS. Ini
semua menjadi
bahan ketawa. Saya melihat gesaan
Timbalan Perdana Menteri di UiTM Cawangan
Machang, Kelantan pada 20 Disember 2002 yang lalu ada
relevannya. Telah tiba masanya bagi UMNO
untuk memberikan laluan kepada pemimpin yang lebih
muda bagi berdepan dengan PAS.
Barangkali Mustapa sendiripun sudah hilang kelayakan
untuk bertanding di dalam Pilihan Raya yang akan
datang. Apapun, itu semua
adalah perkara-perkara dalaman UMNO. Saya
tidak ada masalah. Saya malah seronok
sebenarnya dengan adanya Mustapa.
Sekali sekala boleh ketawa!
Saya
melihat, kami lebih menjadi mangsa dalam kes ini.
Ab. Razak dituduh. Ab. Razak dibawa ke Mahkamah.
Ab. Razak berdepan dengan pelbagai jenis soalan.
Beliau bertindak dalam kandang ‘orang yang dituduh’
dari awal hingga ke akhir. Pihak yang
menuduh pula tidak lain tidak bukan ialah seorang ahli
Puteri UMNO yang bernama Yusnita bt. Romly.
Tidakkah pemimpin-pemimpin besar UMNO pada hari
pertama kes disebut berpesan agar biarlah Mahkamah
yang membuat keputusan. Sekarang,
apa masalahnya? UMNO kalah dan PAS menang.
Itulah keputusannya.
Daripada
saudara Zainudin Maidin menghabiskan masa untuk
menuduh PAS sebagai berpolitik, lebih baik
beliau perbaiki diri beliau yang semakin hilang
kepercayaan rakyat. Akhir-akhir ini,
rakyat mulai melihat Zainudin dengan pelbagai keraguan.
Hampir semua serangan politik beliau tidak menjadi.
Tidakkah penyediaan resepi ‘Kelantan Dalam
Gerhana’ yang menjadikan ramai rakyat
termuntah-muntah terang-terang membuktikan kegagalan
ZAM dalam kerja-kerja politiknya yang cemar.
Siri-siri yang tersedia dalam 21 slot,
yang telah menyalahgunakan “air time” RTM yang
cukup mahal itu telah secara terang-terangan
membuktikan UMNO yang terlebih berpolitik.
Rupanya dalam UMNO, lain pula ukurannya.
Seseorang itu barangkali akan dinaikkan pangkat
apabila berjaya membuktikan yang ‘dia’ sanggup
melakukan apa yang tidak sanggup dilakukan oleh
lain-lain orang yang waras. Rakyat
melihat, seorang lagi Timbalan Menteri di Kementerian
Pendidikan yang ada kini juga mendapat habuan apabila
nama beliau dipercayai terlibat dalam kerja-kerja
konspirasi untuk menjatuhkan seorang Timbalan Perdana
Menteri di tahun 1998. Malah seorang
bekas Ahli Parlimen Pasir Mas yang turut lantang dalam
usaha membela Perdana Menteri dalam kes DSAI juga
turut dianugerahkan pangkat Timbalan Menteri di satu
masa. Kini, beliau ditolak rakyat dan
entah tersadai di mana.
Pendek
kata, UMNO adalah parti politik.
Berpolitiklah dan tiada siapa yang boleh menyekatnya.
PAS pun parti politik. Walau bagaimanapun
berpolitiklah ke arah memartabatkan Islam.
Gunakan kuasa yang Allah pinjamkan untuk membawa
keadilan. Gunakan kuasa untuk melaksanakan
hukum Allah. Bebaskan mereka yang tidak
bersalah. Bawa mereka yang ditahan di
bawah ISA ke Mahkamah terbuka.
Hentikan pembekuan bantuan perkapita ke
Sekolah-Sekolah Agama Rakyat. Berikan
ruang kebebasan berhimpun dan berceramah seperti yang
dijamin oleh perlembagaan. Kembalikan
royalti yang dirampas dari Kerajaan Negeri Terengganu.
Bawa mereka yang dituduh rasuah ke muka pengadilan
biarpun ia melibatkan Menteri atau kroni.
Hentikan kezaliman. Hanya inilah sahaja
peluang untuk ZAM dan rakan-rakan yang sewaktu dengan
beliau untuk menebus segala dosa. Jika
tidak, tunggulah hukumannya; tidak di dunia kena juga
di akhirat. ZAM pun dah mulai pandai sebut
akhirat. Baguslah. Ujian
peringkat pertama ialah Pilihan Raya Umum akan datang.
Di mana agaknya Zainudin akan bertanding? Jangan
bimbang. PAS akan tentukan regu calon yang
setimpal dengan beliau. Jangan tinggalkan
gelanggang dan asyik masuk ikut pintu belakang.
Eloklah beliau bersedia dari sekarang.
Rasanya rakyat sudah faham siapa itu ‘ZAM’.
HJ.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri
Besar Kelantan
Bertarikh:
2 Zulkaedah 1423 / 5 Januari 2003 |