Minda Tok Guru
“Saya tidak pandai Bahasa
Arab”:Perdana Menteri.
“It was a slip of tongue” (ia
tersilap cakap) ; demikian satu petikan dari New Straits Times
bertarikh 26 September 2002 . Ia berupa kenyataan saya untuk
membetulkan kenyataan saya yang terdahulu di dalam sebuah
ceramah di Beris Lalang , Bachok baru-baru ini yang
menyebutkan bahawa Perdana Menteri tidak tahu baca Quran . Apa
yang saya ingin sampaikan sebenarnya ialah Perdana Menteri
tidak pandai berbahasa Arab . Pengakuan ini terkandung dalam
penggulungan ucapan beliau di Perhimpunan Agong UMNO yang lalu
. Kalau perlu dikutip , ia berbunyi : “ Tuhan yang PAS sembah
Bismillahi samseng , hi penjahat , saya tak tahulah Bahasa
Arab. Samseng wa penjahat . Inilah tuhan yang PAS sembah sebab
itu dia sesat “ (Berita Minggu 23 Jun 2002- Mukasurat 14).
Dengan ini saya telah
membetulkan kenyataan saya . Tersilap cakap , maka tersilaplah
; kita perbetulkan . Ada juga wartawan yang meminta saya
memohon maaf . Saya berkata bahawa ia sudah cukup . Takkanlah
berhutang RM10 disuruh bayar RM11 . Ada orang mahu
menganalisa bahawa tidak tahu berbahasa Arab juga bermakna
tidak faham dan tidak boleh bertutur Bahasa Arab . Bagaimana
pula beliau(Perdana Menteri) boleh benar-benar menyelami ,
menafsir dan menguasai maksud sebenar ajaran Al-Quran
sedangkan beliau tidak mengetahui Bahasa Arab . Mereka
berkata lagi bahawa sebab itulah timbul banyak fitnah terhadap
Islam apabila beliau yang tidak menguasai Bahasa Arab cuba
pandai-pandai membuat tafsiran sendiri mengenai hukum-hukum
yang terdapat di dalam Al-Quran.Saya tidaklah pula mahu campur
tangan urusan yang terlalu mendalam melibatkan analisis yang
sejauh itu .
Cuma saya tetap merasa
kejanggalan yang amat melampau apabila mendengar Perdana
Menteri sampai hati mengubah lafaz mulia
“Bismillahirrahmanirrahim” dengan “Bismillah hisamseng
hipenjahat” atau “wa penjahat” dalam ucapan beliau (lihat
Berita Minggu 23 Jun 2002). Kalaupun mahu menyindir PAS
sekalipun, janganlah sampai terlajak sehingga sanggup mengubah
kalimat yang sebegitu mulia . Ini ayat Al-Quran . Mungkin
urusan ini elok kita pulangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan
samada untuk memanggil Perdana Menteri dan menasihati atau
memilih untuk terus berdiam diri kerana dianggap itulah cara
berhikmah . Orang UMNO tak adalah pula nampaknya membuat repot
polis tentang berlakunya penghinaan . Pelik juga. Biasanya
rajin membuat kerja repot –merepot ni . Saya pun tidak tahulah!
Tempat yang saya tersilap
cakap, saya mengaku tetapi tempat yang saya berdiri dan enggan
memohon maaf, saya tetap berbuat demikian . Dalam isu
“samseng” saya tetap dengan pendirian kebenaran . Saya akan
terus menunggu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan turut beliau
walau sampai ke lubang cacing . Saya enggan bertaubat seperti
yang didesak oleh beliau dan tetap menanti untuk mendengar
bagaimana Abdul Hamid menafsirkan nama Allah “Al-Mutakabbir”
dalam Bahasa Melayu yang tidak menyerupai sifat makhluk .
Bertaubat bagaimana kalau ianya memang tidak salah!
Selaras dengan ini , saya
teringatkan nasib Ezam Mohd. Nor dan Gobalakrishnan yang telah
didapati mahkamah sebagai ditahan secara salah . Penderitaan
yang ditanggung oleh kedua-dua mereka semasa dikurung di bilik
gelap tentunya berat . Mereka disoal siasat di bawah tahanan
reman yang hanya Allah s.w.t sahajalah Maha Mengetahui akan
kesulitannya . Isteri , anak-anak , ibubapa dan saudara-mara
yang turut mengalami penderitaan zahir dan batin adalah satu
lagi kezaliman . Tidak syak lagi mereka telah dikhianati .
Telah berlaku sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku . Jika
saya sanggup membetulkan kenyataan ini kerana ini anjuran
Islam , kenapa kita masih tidak mendengar pun pengakuan maaf
terbuka dari Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini? Di
mana maruah Menteri berkenaan? Mangsa, keluarga mangsa dan
seluruh rakyat Malaysia masih menunggu sikap berlapang dada
yang sedia bermohon maaf di atas kesilapan yang sebesar ini .
Kalau di negara luar , ianya mungkin akan melibatkan
perletakan jawatan Menteri di portfolio berkenaan . Ini , maaf
pun tidak , mengakui kesilapan pun tidak sedangkan kesilapan
telah disahkan sendiri oleh mahkamah . Masing-masing buat
tidak faham . Jika dibuat pemerhatian secara menyeluruh kepada
isu-isu semasa khususnya selepas penahanan Dato’ Seri Anwar
Ibrahim sejak tahun 1998 , ramai orang mengeluh kepada saya
dengan kata-kata ; faham-faham sajalah . Yang benar
disalah-salahkan . Yang salah didiamkan atau dibenar-benarkan
. Semuanya dalam keadaan serba salah .
Tak tahulah!
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
26 September 2002 |