| 
                           
                          SEDIKIT SINOPSIS 
                          
                          SEDETIK BERSAMA 
                          KARYAWAN 
                          
                            
                          
                            
                          
                          Saya masih tidak dapat 
                          melupakan sesi pertemuan dengan Karyawan pada 2 
                          Oktober 2002 yang saya kira amat menarik dan 
                          bersejarah.    Ia menemukan dua pihak yang jarang 
                          berkomunikasi tetapi sering bersangka-sangkaan.    
                          Kesediaan kami untuk meraikan perbezaan pendapat dan 
                          menghargai pandangan antara satu sama lain telah 
                          menandakan pengiktirafan Kerajaan Negeri yang cukup 
                          istimewa  untuk cuba memahami kehendak seniman.   
                          Disamping itu seniman juga  akan turut berpeluang 
                          menghayati hujah dan justifikasi Islam dalam 
                          mendefinisikan hiburan itu sendiri. 
                          
                            
                          
                          Kalau pihak Karyawan 
                          lebih gemar mentakrifkan kegiatan hiburan itu sebagai 
                          sesuatu yang hanya tertumpu kepada bidang nyanyian, 
                          tarian dan profesion yang berkepentingan periuk nasi, 
                          maka saya melihat hiburan itu sebagai sesuatu yang 
                          terlalu luas.   Ia mencakup segala manifestasi yang 
                          boleh menghiburkan setiap orang dalam ragam kegiatan 
                          yang seluas kebudayaan dan cara hidup manusia itu 
                          sendiri.    Budaya pada pengertian ilmuan ialah satu 
                          bentuk pemikiran dan tindakan yang dizahirkan dalam 
                          kegiatan-kegiatan hidup mereka melalui pelbagai cara 
                          dan gaya hidup dalam sesebuah masyarakat sehingga 
                          menjadi kebiasaan dan norma dalam kehidupan masyarakat 
                          berkenaan.  Ruang lingkupnya sangat luas.  Seluas 
                          ruang lingkup kehidupan manusia itu sendiri. 
                          
                             
                          
                          Ringkasnya budaya ialah 
                          cara hidup sesebuah masyarakat yang merangkumi seluruh 
                          aspek kehidupan mereka bermula dari mereka berpakaian, 
                          bergaul, bermain, berpantang larang, berkomunikasi, 
                          berhibur, berhias dan pelbagai lagi.   Sebab itu 
                          sekarang kita selalu melihat dan mendengar 
                          slogan-slogan seperti membudayakan Al-Quran, budaya 
                          membaca, budaya komputer dan lain-lain lagi. 
                          
                            
                          
                          Memahami budaya hanya 
                          sekadar bermain dan berhibur sahaja adalah satu 
                          kesilapan yang terlalu jauh dari hakikat sebenar makna 
                          kebudayaan, budaya tidak bersifat statik.   Ia 
                          berkembang dan berubah di sana sini mengikut keperluan 
                          dan perubahan masyarakat.   Sejak manusia ini 
                          dijadikan setiap umat bagi setiap zaman mempunyai 
                          kebudayaan masing-masing, ia bergerak berkembang dan 
                          berubah mengikut zaman dan masa seiring dengan 
                          perkembangan yang berlaku pada manusia itu sendiri.   
                          Apabila manusia berubah maka kebudayaan juga turut 
                          berubah. 
                          
                            
                          
                          Neraca perubahan sesuatu 
                          kebudayaan ada dua;  pertama berasaskan pertimbangan 
                          akal semata-mata, kedua; berasaskan ketentuan wahyu 
                          Allah.   Bagi masyarakat Eropah budaya mereka 
                          berkembang dan berubah berasaskan akal dan kemahuan 
                          mereka.   Tetapi bagi umat Islam perubahan budaya 
                          mereka mestilah berasaskan wahyu Allah yang menjadi 
                          dasar kepada kehidupan umat Islam.    Oleh sebab kalau 
                          terpaksa budaya kita diubah kerana kita hendak  
                          selaras  dengan  arahan  Al-Quran.    Maka  kita 
                          jangan rasa berat hati.   Sebab 
                          Allah lebih mengetahui rahsianya daripada kita dan ia 
                          akan pasti membawa keuntungan kepada kita. 
                          
                            
                          
                             Saya sebagai anak 
                          kampung terhibur dengan melihat hasil dari apa sahaja 
                          yang saya tanam berpucuk, berbunga dan berbuah atau 
                          menembak tupai sebagai misalnya, manakala orang lain 
                          pula mungkin terhibur dengan lain-lain kegiatan 
                          bersantai dan berekreasi seperti jogging, melukis, 
                          berpuisi atau menulis.   Walaupun Karyawan melihat itu 
                          sebahagiannya adalah bidang sukan tetapi tidakkah 
                          tajuk kita  ialah  berhibur.   Bagi  saya,   
                          jika  kita bercakap soal hiburan,  ia seluas apa jua 
                          kegiatan yang boleh menghiburkan.   Lebih penting dari 
                          ini ialah kandungan hiburan itu sendiri yang perlu 
                          diperhatikan.   Ia sewajibnya mesti bertapak dan 
                          bertolak dari ubudiyah dan syariat Allah S.W.T.    
                          Selagi kita hidup di atas muka bumi Allah maka selagi 
                          itulah kita tidak boleh terlepas bebas untuk berhibur 
                          tanpa ikatan suruhan dan tegahan  pemilik mutlak muka 
                          bumi dan alam ini sendiri.  Dia tuan punya dan dia 
                          berhak menentukan disiplin hiburan atau apa sahaja 
                          supaya sentiasa berada di dalam suasana keredhaanNYA.  
                          Ini selaras dengan penegasan Allah S.W.T yang 
                          bermaksud:   
                          
                            
                          
                          “Dan Tuhanmu yang 
                          membuat (mencipta) apa yang dihendaki dan Dia memilih 
                          apa yang dikehendaki.”    
                          
                          (Surah Al-Qasas:  
                          Ayat 68) 
                          
                            
                          
                          Ini antara lain 
                          melibatkan kepatuhan  dalam berpakaian secara menutup 
                          aurat, pergaulan yang terkawal antara lelaki dan 
                          perempuan, terelak dari menggunakan kata-kata lucah 
                          dan lalai serta mempunyai mesej membesarkan Allah 
                          S.W.T. termasuk menghargai segala  keindahan alam 
                          ciptaan anugerah dariNYA.   Semangat inilah yang 
                          menjadi latarbelakang kepada penggubalan Enakmen 
                          Kawalan Hiburan 1998.   Namanya sudahpun menggambarkan 
                          isi kehendaknya yang bersifat mengawal.   Tidak timbul 
                          sama sekali ianya untuk menyekat kebebasan berhibur 
                          seperti yang pada awalnya telah disalah tanggap oleh 
                          pihak Karyawan. 
                          
                            
                          
                          Kemusykilan yang 
                          ditimbulkan oleh Karyawan seterusnya iaitu tentang 
                          negara-negara umat Islam lainpun turut membenarkan 
                          hiburan bercorak nyanyian dan tarian amat menarik 
                          untuk diulas.   Alhamdulillah.   Islam tidak pernah 
                          menjadikan tindak tanduk manusia, atau individu 
                          walaupun manusia Makkah atau Madinah atau  baka  
                          keturunan  Syed  sekalipun sebagai  rujukan kebenaran. 
                          
                          Dalam jawapan saya,  
                          Kerajaan Negeri yang ‘MEMBANGUN  BERSAMA  
                          ISLAM’  cuma merujuk kepada Al-Quran dan Hadith.   
                          Manusia, lebih-lebih lagi manusia sekarang tidak boleh 
                          sekali-kali dijadikan sandaran tunggal.    Mahu 
                          kembali kepada Islam samalah seperti kembali kepada 
                          sumber  Al-Quran dan Hadith.   Inilah yang telah dan 
                          sedang dilakukan oleh Kelantan sejak 12 tahun yang 
                          lalu dan InsyaAllah 12 tahun seterusnya dibawah teraju 
                          PAS.          
                          
                            
                          
                          Walaupun Karyawan 
                          selanjutnya menghubungkan kawalan yang dilakukan ini 
                          boleh menjejaskan periuk nasi, saya masih beriman dan 
                          percaya bahawa mengutamakan periuk nasi tidak boleh 
                          sampai ke peringkat melanggar Hukum Allah.   Firman 
                          Allah S.W.T bermaksud: 
                          
                          “Wahai orang-orang 
                          beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta 
                          benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati 
                          Allah (dengan menjalankan perintahNYA).” 
                          
                          
                                                                (Surah Al-Munafiquun:  
                          Ayat 9) 
                          
                            
                          
                          Memang diakui bahawa 
                          bakat seni yang ada pada sesetengah individu itu 
                          anugerah dari Allah tetapi sekali lagi ianya harus 
                          dipelihara.   Ia jangan sampai melanggar ketetapan 
                          syariat sehingga boleh mengundang kemurkaan dariNYA.    
                          Ia perlu dikawal dengan peraturan.   Mana ada Kerajaan 
                          di atas muka bumi  ini yang tidak mengenakan 
                          undang-undang dan peraturan.   Tidak ada kerajaan yang 
                          tidak mengawal rakyatnya.    Kerajaan yang peka kepada 
                          Islam tentunya bertanggungjawab untuk mengawal 
                          rakyatnya dengan disiplin yang ditetapkan oleh Allah 
                          S.W.T.    Tidakkah seluruh hidup kita adalah ibadat.  
                          Tentunya dalam hubungan ini, kegiatan menghibur itu 
                          sendiri perlu mematuhi kawalan dan etika akhlak Islam 
                          yang dipandukan oleh Al-Quran dan Hadith untuk 
                          menjadikan ianya ibadah.   Inilah pun yang sedang 
                          digariskan oleh Enakmen kita.    Pencuri dan pengusaha 
                          cetak rompak yang memeningkan polispun ada  bakat  
                          tetapi  tidakkah  ini  unsur  penyalahgunaan  dalam 
                          bakat. 
                            
                          
                                    Untuk itu 
                          segala-galanya terpulang kepada artis.  Dialog 
                          berkenaan  telah menjelaskan keperluan permit dipohon 
                          terlebih dahulu supaya kerajaan boleh membuat 
                          pertimbangan dari segi pematuhan kepada Enakmen 
                          Kawalan yang dimaksudkan.   Bagi persembahan artis 
                          lelaki, syarat-syarat biasa meliputi aspek pakaian, 
                          akhlak dan “track record” menjadi asas biasa untuk 
                          pertimbangan.   Bagi artis wanita pula, persembahan 
                          terbuka yang hanya terhad kepada penonton wanita 
                          adalah dibenarkan.   Untuk persembahan terbuka   
                          yang   melibatkan  khalayak  yang   bercampur,   ia  
                          tidak dibenarkan buat masa ini.    
                          Bagaimanapun, ini tertakluk jugalah kepada kesediaan 
                          artis-artis wanita untuk melakukan perubahan terutama 
                          dari aspek pemakaian dan penampilan akhlak secara 
                          keseluruhannya. 
                          
                            
                          
                                    Kata-kata 
                          penghargaan yang saya anggap sebagai jujur oleh 
                          Pengerusi Kehormat Karyawan, saya terima dengan 
                          sukacita.   Ia berbunyi:  “Kami merakamkan ucapan 
                          terima kasih dan terharu diatas kerjasama Kerajaan 
                          Kelantan yang sanggup menerima kedatangan rombongan.  
                          Kerajaan Negeri dilihat amat bersifat terbuka.”    
                            Demikianlah sebuah pengakuan.   Kami menerima 
                          perbezaan pandangan dengan penuh terbuka. 
                          
                            
                          
                            
                          
                          TUAN GURU DATO’ HJ. 
                          NIK ABD. AZIZ BIN NIK MAT 
                          
                          Menteri Besar Kelantan  
                          
                          Bertarikh:   1 Syaaban 
                          1423 / 8 Oktober 2002  |