MINDA
TOK GURU
KURUNG REMAJA?
Nampaknya sindrom
kurung tanpa bicara semakin berleluasa. Tidak cukup
dengan ISA, cadangan daripada Menteri Besar Perlis
minggu lepas telah mengejutkan ramai orang. Jika
diikutkan cadangan itu, semua remaja akan dikurung
dalam bentuk “house arrest” hinggalah
Subuh keesokan harinya. Begitulah seterusnya.
Sudahnya rakyat hidup dalam semangat takut siang dan
malam. Jika dulu orang takutkan hantu tetapi zaman
moden ini rakyat takutkan kerajaan yang dipilih
olehnya. Kebebasan menikmati hidup di Malaysia
nampaknya sangat singkat. Barangkali, rakyat hanya
mampu menikmati udara kebebasan diusia awal dari 1
tahun hingga 12 tahun sahaja. Mulai umur 13 tahun
hingga ke akhir hayat dia akan dikurung dalam pelbagai
jenis penjara. Begitulah seolah-olah. Dari tahanan
dalam rumah cadangan Menteri Besar Perlis hinggalah
ISA, OSA, Akta Universiti - Universiti Kolej, Akta
Polis, Akta Mesin Cetak, yang sedang berkuatkuasa,
manusia di Malaysia dihantui dalam kurungan nampak dan
ghaib yang mengikat kebebasan masing-masing. Ruang
hak asasi seperti yang dijamin oleh Islam, pelbagai
piagam antarabangsa hatta Perlembagaan Negara
sekalipun telah semakin sempit setiap hari.
Entah bagaimana perkataan kurung
sentiasa mengingatkan saya kepada kehidupan ayam,
lembu dan kerbau. Sebaik-baik sahaja kita
mengurung kita merampas kebebasan. Masalah sosial
yang gawat yang melanda remaja memang
diakui. Bagaimanapun, carilah jalan yang lebih
kreatif untuk menanganinya. Kalau Perlis mahu
mendengar apa yang kreatif yang saya maksudkan di sini,
maka boleh saya senaraikan daya usaha Kerajaan
Kelantan yang telah diambil sejak 13 tahun yang lalu.
Ini adalah seperti berikut:
a) Menekankan prinsip dan amalan
ubudiyah, masuliyyah dan Itqan dalam pemerintahan;
b) Mengadakan kempen dan
undang-undang kecil bagi menggalakkan wanita Islam
menutup aurat;
c) Menganjurkan kempen tahunan
‘Bulan Sembahyang’, Ihya Ramadhan dan ‘Hari Hudud’
untuk menyediakan ruang terbuka bagi menyemai, memupuk
kefahaman dan meningkatkan iltizam semua pihak tentang
keindahan peraturan, undang-undang syariat dan cara
hidup Islam untuk pelaksanaan;
d) Menyediakan siaran tazkirah
setiap pagi melalui 36 pembesar suara di dalam Kawasan
Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk mengasuh akhlak
warga kota;
e) Mengiktiraf semua manusia pada
amnya dan semua penduduk Kelantan secara khusus adalah
bersaudara. Tanpa mengira perbezaan bahasa, bangsa
dan keturunan, Kerajaan Kelantan isytiharkan semua
kita datang dari Adam dan Hawa yang satu. Ini
menimbulkan kesedaran “brotherhood” yang
tinggi dan melahirkan perasaan muhabbah yang sebenar;
f) Memastikan semua Rumah Awam
Kos Rendah (RAKR) mempunyai 3 bilik sebagai usaha
menangani gejala keruntuhan akhlak;
g) Tidak menyediakan premis judi
disamping sentiasa memberikan tazkirah terbuka tentang
bahaya judi kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan;
h) Mengemuka dan meluluskan
Enakmen Kanun Syariah II dan Hudud ditahun 1993.
Komitmen terhadap Islam ini dibuat untuk memenuhi
tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. yang sekaligus
diyakini dapat mengeluarkan rakyat dari bencana krisis
moral dan keruntuhan akhlak. Soal ianya tidak dapat
dilaksanakan adalah soal halangan dari Pusat;
i) Memberikan Cuti Am 2 hari
seminggu kepada semua penjawat awam negeri. Unsur
“caring” dan “friendly” telah
dibuktikan dengan perbuatan; bukan setakat kata-kata;
j) Menteri Besar dan semua EXCO
sendiri mengetuai ceramah, berkhutbah Jumaat dan
memimpin kuliah agama di serata masjid dan surau bagi
menegakkan maaruf dan menentang kemungkaran.
Ini semua adalah usaha. Walaupun
orang masih pertikaikan kekesanannya itu tidak mengapa.
Kami berusaha tanpa merampas hak remaja. Kurung
boleh merosakkan psikologi. Ia menyekat kebebasan
dan boleh melahirkan robot yang hanya dipaksa taat
kepada pemerintah. Gangguan psikologi akan
melahirkan pelbagai penyakit lain yang boleh
merosakkan pertumbuhan dan kesuburan mental, bahkan
boleh merencatkan perkembagan intelektual manusia.
UMNO tidak khuatirkah ia berlaku ke atas rakyatnya
sedangkan kita perlukan pemimpin dan generasi yang
cergas untuk masa depan negara?
Penyelesaian masalah remaja
bermula dari pendidikan. Agama adalah asas
terpenting. Ini telah diakui oleh semua agama dan
sarjana zaman berzaman. Oleh kerana itulah inisiatif
yang telah diambil oleh rakyat melalui SAR sejak
berpuluh tahun harus dihargai. Jika kekurangan,
berilah bantuan. Jika gurunya lemah, berilah latihan.
Ini dipaksa; (sekali lagi dipaksa) terus ditutup.
Kerajaan semalam mulai kendur sedikit dari ditutup
kepada tidak akan memberi sebarang bantuan kewangan.
Keadaan masih tidak banyak bezanya. (Lihat NST 10
Januari 2003). Tidak memberi bantuan kewangan
samalah juga dengan mahu membunuh SAR.
Saya mahu tanya, dengan tiadanya SAR, disiplin remaja
akan semakin pulih atau sebaliknya? Mampukah
Sekolah-Sekolah Kebangsaan menyediakan alternatif
kurikulum yang mencukupi seintensif apa yang
sedang disediakan di SAR? Dalam keadaan adanya SAR
inipun, keadaan keruntuhan moral begitu meruncing.
Cuba bayangkan apa nasib remaja yang berada dalam
acuan didikan sistem sekular Sekolah-Sekolah
Kebangsaan sepenuhnya tanpa SAR. Apa akan jadi 20
tahun akan datang. Kerajaan pula hanya pandai
mencari penyelesaian dengan paksaan. Tutup!
Kurung! Lokap! Sudah tandus benarkah kaedah
yang lebih bijaksana dalam menangani kenakalan anak
muda kita?
Saya melihat begini.
Silapnya adalah kita cuma pentingkan ubat. Punca
penyakit tidak dihiraukan. Jika dalam kes ancaman
demam denggi, kerajaan boleh faham tentang perlunya
pusat-pusat penetasan nyamuk aedes dihapuskan, kenapa
UMNO tidak boleh berfikir gejala keruntuhan moral juga
ada puncanya. Pusat penetasannya berada di
majalah-majalah separa lucah, novel-novel berahi,
rumah urut, night club, pusat-pusat dangdut,
kedai-kedai gunting uniseks dan sarang-sarang judi
yang dihalalkan oleh kerajaan diatas nama punca hasil
dan cukai. Perkara ini telah ratusan kali
dibangkitkan di Parlimen tetapi nampaknya UMNO masih
membawa ‘muka UMNO’ yang tetap selamba dengan
teguran dan kritikan. Lagi-lagi dituduhnya PAS
berpolitik. Kami mementingkan kesan buruk kepada
generasi dan anak bangsa. Jika UMNO tidak nampak,
kita telah tunjukkan. Di sini tempat yang silap dan
memerlukan pembetulan. Langkah mengurung bukan
penyelesaian. Pergi ke akar
masalah dan sembur racun di umbinya. Matikan punca
lalang dari merebak dengan menyembur racun rumpai ke
perdu masalah. Baru subur kebun getah. Pokok-pokok
getah yang subur itulah generasi kita. Ini, baru
orang panggil generasi yang produktif.
Islam selama-lamanya
percayakan kaedah rawatan yang mementingkan qalbu.
Setiap hati yang ada dalam dada setiap warganegara
adalah stesyen utama yang mesti dituju, disubur dan
dipantau dalam mendidik warganegara. Mengabaikan
santapan qalbu yang tepat dalam pendidikan adalah
punca segala penyakit. Golongan sekular gagal
memahami keajaiban hati. Mereka hanya peka tentang
bangunan sekolah, makmal dan pagar tetapi mereka tidak
sedar mereka sedang cuba memagar para pelajar yang
telah ‘dilembukan’. Jika tidak, kenapa UMNO
kini sedang bercadang untuk mengurung?
Kurung terlalu sinonim dengan alam
haiwan.
Dalam Islam, pendidikan
didasarkan kepada semangat taat atau maksiat kepada
Allah. Ia membawa kepada perkara dosa atau pahala.
Ia akan berakhir kepada elemen pembalasan sama ada
balasan nikmat Syurga atau azab di Neraka. Selagi
golongan nasionalis masih cuba melenyapkan kesedaran
ini selagi itulah jawapan yang tepat kepada
penyakit keruntuhan akhlak tidak akan ditemui. Agama
tidak boleh sekali-kali dianggap sebagai perkara
individu. Ia perkara ummah. Islam bersifat sejagat.
Keindahan dan keadilannya mesti diyakini mampu
menyelamat dan membahagiakan seluruh rakyat dari
pelbagai kaum sama ada di dunia atau di akhirat.
Apabila manusia semuanya beriman dengan Hari Akhirat,
manusia akan takut dan gerunkan sifat Allah S.W.T.
yang bersifat dengan Al Jabbar dan Al Mutakabbir
secara automatik. Saya sengaja menimbulkan
terjemahan ‘samseng’ diatas kedua-dua sifat ini
untuk menimbulkan kegerunan kepada kemurkaan Allah.
Selain dari pendidikan,
suasana persekitaran juga turut perlu dipentingkan
oleh kerajaan. Segenap saluran yang boleh mencemari
kemurnian akhlak hasil penyuburan di semua tapak-tapak
semaian sejak tadika hingga ke Universiti wajib
ditutup. Ini, SAR pun nak ditutup, tazkirah di
Masjid dihadkan, dua tiga majalah agama dan akhlak
dikepung dengan ribuan majalah hiburan yang cukup
mencabar keimanan generasi, pusat-pusat judi dan night
club dibenarkan operasi sebebas-bebas. Sama juga
dengan rancangan-rancangan di televisyen, baik TV
biasa atau ASTRO. Ditambah pula dengan kenyataan
Menteri-Menteri sendiri yang kadang kala
mempermain-mainkan agama Islam secara terang-terangan.
Semua orang tahu bagaimana kisah janggut Nabi dihina.
Semulia-mulia Hukum Hudud pun kadang kala
dipersoalkan kewajarannya oleh Menteri-Menteri UMNO
yang beragama Islam. Empat lima tahun lalu, kita
masih ingat bagaimana seorang Mufti ditamatkan tempoh
kontrak semata-mata kerana tegas dalam isu tangkapan
peserta ratu cantik. Ada juga kes peminum arak yang
ditangkap dalam Restoran ‘The Ship’ oleh JAIS
tiba-tiba telah dianggap tidak wajar oleh pemimpin
negara. Ada pula dalam satu wawancara, seorang
pemimpin Islam yang penting di Malaysia turut merasa
terkilan diatas pandangan masyarakat yang tidak dapat
menerima pakaian pelajar perempuan yang berskirt dan
seluar pendek bagi pelajar lelaki. Lebih daripada
ini UMNO tergamak malah tanpa segan silu telah
memutuskan untuk mengharam penggunaan perkataan Islam
keatas mana-mana pertubuhan. Rakyat amat terharu
dengan campur tangan Majlis Raja-Raja yang tidak
merestui ‘hajat mulia’ UMNO ini yang sungguh
mengaibkan. Semua ini ada terdapat di dalam keratan
akhbar dan boleh dibuktikan jika diperlukan.
Inilah dilema yang ada bila
semua longkang tersumbat. Air pun sebak. Jalan
keluar buntu, maka Menteri Besar Perlis
sekonyong-konyong melompat keluar dari
kubah masalah lalu bercadang untuk membina pukat besar
untuk mengurung semua anak muda di bawah 18 tahun
menjelang jam 10.00 setiap malam. Nampak macam
logik tetapi …, Barangkali tidak keterlaluan saya
mahu istilahkan cadangan kurung begini adalah
bersifat mini ISA. ISA besar ada di Kemunting,
manakala mini ISA pula dipasang di semua tingkap dan
pintu di setiap rumah. Demikianlah kebebasan ala
UMNO di Malaysia!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK
MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 10 Zulkaedah 1423 / 13 Januari 2003 |